Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Evolusi​—Mitos dan Fakta

Evolusi​—Mitos dan Fakta

“Evolusi merupakan fakta sebagaimana haba daripada matahari juga merupakan fakta,” kata Profesor Richard Dawkins, seorang ahli sains evolusi yang terkemuka.16 Sudah tentu eksperimen dan pemerhatian secara langsung membuktikan bahawa matahari memang panas. Tetapi dapatkah eksperimen dan pemerhatian secara langsung membuktikan bahawa evolusi adalah suatu fakta yang tidak dapat dipertikaikan?

Sebelum menjawab soalan ini, kita perlu memahami sesuatu. Ramai ahli sains memerhatikan bahawa dengan berlalunya masa, keturunan benda-benda hidup boleh mengalami sedikit perubahan. Sebagai contoh, manusia boleh membiakkan baka anjing secara selektif supaya generasi yang akan datang mempunyai kaki yang lebih pendek atau bulu yang lebih panjang berbanding dengan leluhurnya. * Sesetengah ahli sains menggunakan istilah “mikroevolusi” untuk menggambarkan perubahan kecil sedemikian.

Walau bagaimanapun, pendukung evolusi mengajarkan bahawa perubahan kecil yang menjangkau beberapa bilion tahun telah bertambah secara beransur-ansur lalu menghasilkan perubahan besar yang menyebabkan ikan menjadi amfibia dan beruk menjadi manusia. Perubahan besar ini yang dianggap telah berlaku dipanggil “makroevolusi.”

Charles Darwin dan bukunya Origin of Species

Sebagai contoh, Charles Darwin mengajarkan bahawa perubahan kecil yang dapat diperhatikan, secara tidak langsung menunjukkan bahawa perubahan lebih besar yang tidak pernah diperhatikan oleh sesiapa pun dapat berlaku.17 Dia berasa bahawa dengan berlalunya masa yang sangat panjang, sesetengah bentuk hidupan asal, yang juga dipanggil bentuk hidupan “ringkas,” berevolusi secara beransur-ansur​—melalui “perubahan yang sangat kecil”​—lalu menjadi jutaan bentuk hidupan yang beraneka jenis di bumi.18

Ramai orang berasa bahawa ajaran ini munasabah. Mereka berfikir, “Jika perubahan kecil dapat berlaku dalam lingkungan suatu spesies, bukankah evolusi dapat menghasilkan perubahan yang besar dalam jangka masa yang panjang?” * Namun, pada hakikatnya, ajaran evolusi adalah berlandaskan tiga mitos yang berikut.

Mitos 1. Mutasi menyediakan bahan mentah yang diperlukan untuk menghasilkan spesies baru. Ajaran makroevolusi adalah berdasarkan dakwaan bahawa mutasi, iaitu perubahan yang berlaku secara rawak dalam kod genetik tumbuhan dan haiwan, bukan sahaja dapat menghasilkan spesies yang baru malah dapat menghasilkan famili tumbuhan dan haiwan baru yang tidak pernah wujud sebelum ini.19

Mutasi hanya boleh membawa perubahan yang terhad dalam tumbuhan, seperti mutan ini yang mempunyai bunga besar

Faktanya. Banyak ciri yang terdapat pada suatu tumbuhan atau haiwan ditentukan oleh arahan yang terkandung dalam kod genetik yang terletak dalam nukleus setiap sel. * Para penyelidik mendapati bahawa mutasi dapat menghasilkan perubahan dalam keturunan tumbuhan dan haiwan. Tetapi adakah mutasi benar-benar menghasilkan spesies baru yang belum pernah wujud sebelum ini? Apakah yang disingkapkan menerusi kajian selama satu abad dalam bidang genetik?

Pada lewat tahun 1930-an, ahli sains mendukung suatu idea baru dengan penuh semangat. Mereka sudah pun berpendapat bahawa pemilihan semula jadi dapat menghasilkan spesies tumbuhan yang baru daripada mutasi yang berlaku secara rawak. (Pemilihan semula jadi merupakan proses yang mana organisma yang paling sesuai dengan persekitarannya mempunyai peluang yang lebih baik untuk terus hidup dan membiak.) Maka, mereka kini membuat andaian bahawa pemilihan mutasi tiruan, iaitu pemilihan yang dibuat oleh manusia, berupaya melakukan hal yang sama tetapi dengan lebih cekap lagi. “Euforia merebak dalam kalangan kebanyakan ahli biologi dan khususnya dalam kalangan ahli genetik dan pembiak baka,” kata Wolf-Ekkehard Lönnig, ahli sains dari Max Planck Institute for Plant Breeding Research (Institut Max Planck untuk Penyelidikan Pembiakbakaan Tumbuhan) di negara Jerman. * Mengapakah berlakunya euforia? Lönnig yang telah mengkaji mutasi genetik dalam tumbuhan selama kira-kira 30 tahun berkata, “Para penyelidik ini berfikir bahawa masanya telah tiba untuk merevolusikan kaedah tradisional pembiakbakaan tumbuhan dan haiwan. Mereka sangka bahawa dengan merangsang dan memilih mutasi yang sesuai, mereka dapat menghasilkan tumbuhan dan haiwan baru yang lebih baik.”20 Malahan, sesetengah ahli sains berharap dapat menghasilkan spesies baru yang tidak pernah wujud.

Lalat buah-buahan mutan yang cacat masih merupakan lalat buah-buahan

Ahli sains di Amerika Syarikat, Asia, dan Eropah melancarkan program-program penyelidikan berdana besar yang menggunakan kaedah yang mereka percaya akan mempercepat proses evolusi. Selepas lebih daripada 40 tahun melakukan kerja penyelidikan intensif, apakah hasilnya? Menurut seorang penyelidik yang bernama Peter von Sengbusch, “Meskipun banyak wang telah dibelanjakan, namun percubaan untuk memupuk semakin banyak variasi yang produktif dengan menggunakan kaedah penyinaran [untuk menghasilkan mutasi], terbukti gagal sama sekali.”21 Lönnig juga berkata, “Menjelang tahun 1980-an, harapan dan euforia dalam kalangan ahli sains berakhir dengan kegagalan global. Pembiakbakaan mutasi sebagai cabang penyelidikan yang berasingan telah diabaikan di negara-negara Barat. Hampir semua mutan . . . mati atau lebih lemah daripada tumbuhan dan haiwan yang terdapat di alam.” *

Namun begitu, data yang kini dikumpulkan daripada rata-rata 100 tahun kajian mutasi pada umumnya, dan 70 tahun pembiakbakaan mutasi secara khususnya, membolehkan ahli sains untuk membuat kesimpulan mengenai kebolehan mutasi untuk menghasilkan spesies yang baru. Selepas mengkaji bukti yang telah dikumpulkan, Lönnig menyimpulkan, “Mutasi tidak dapat mengubahkan satu spesies asal [tumbuhan atau haiwan] kepada spesies baru yang tidak pernah wujud. Kesimpulan ini adalah selaras dengan gabungan semua pengalaman serta hasil daripada kajian mutasi pada abad ke-20 dan juga selaras dengan hukum kebarangkalian.”

Jadi, dapatkah mutasi menyebabkan satu spesies berevolusi menjadi sejenis makhluk baru yang tidak pernah wujud sebelum ini? Tidak! Buktinya menunjukkan bahawa hal ini mustahil. Kajian Lönnig telah mendorongnya untuk menyimpulkan bahawa “suatu spesies yang mempunyai struktur genetik yang berbeza daripada struktur genetik spesies yang lain mempunyai batas yang tidak dapat dilanggar atau dimansuhkan oleh mutasi yang berlaku secara kebetulan.”22

Pertimbangkan implikasi fakta-fakta di atas. Jika ahli sains yang berkelulusan tinggi tidak berupaya menghasilkan spesies yang baru dengan merangsang dan memilih mutasi yang sesuai, mungkinkah satu proses yang tidak berminda menghasilkan spesies yang baru? Jika kajian menunjukkan bahawa mutasi tidak dapat menjelmakan suatu spesies asal kepada suatu spesies yang baru, bagaimana mungkin makroevolusi dapat berlaku?

Mitos 2. Pemilihan semula jadi menyebabkan terciptanya spesies yang baru. Darwin percaya bahawa bentuk hidupan yang paling mampu menyesuaikan diri dengan persekitarannya akan terus hidup, manakala bentuk hidupan yang kurang sesuai akan pupus. Dia memanggil konsep ini pemilihan semula jadi. Pendukung evolusi moden mengajarkan bahawa semasa sesetengah spesies tersebar dan menjadi terpencil, pemilihan semula jadi memilih spesies yang mempunyai mutasi gen yang membolehkannya menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Sebagai hasil, pendukung evolusi mengandaikan bahawa kumpulan yang terpencil ini akhirnya berubah menjadi spesies yang baru.

Faktanya. Seperti yang telah diperhatikan, kajian jelas membuktikan bahawa mutasi tidak dapat menghasilkan jenis tumbuhan atau haiwan baru yang tidak pernah wujud sebelum ini. Namun begitu, apakah bukti yang diberikan oleh pendukung evolusi yang menyokong dakwaan bahawa pemilihan semula jadi memilih mutasi yang berfaedah untuk menghasilkan spesies yang baru? Brosur yang diterbitkan pada tahun 1999 oleh Akademi Sains Kebangsaan (NAS) di Amerika Syarikat merujuk kepada “13 spesies burung ciak yang dikaji oleh Darwin di Kepulauan Galapagos, yang kini dikenali sebagai burung ciak Darwin (Darwin’s finches).”23

Pada tahun 1970-an, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Peter R. dan B. Rosemary Grant dari Universiti Princeton mula mengkaji burung-burung ciak ini dan mendapati bahawa selepas berlakunya kemarau di kepulauan itu selama setahun, burung ciak dengan paruh yang lebih besar mempunyai peluang yang lebih baik untuk terus hidup berbanding dengan burung ciak yang mempunyai paruh yang lebih kecil. Memandangkan saiz dan bentuk paruh merupakan salah satu cara utama untuk menentukan 13 spesies burung ciak tersebut, penemuan ini dianggap sangat penting. Brosur NAS juga menyatakan, “Pasangan Grant telah menganggarkan bahawa jika kemarau berlaku kira-kira sekali dalam setiap 10 tahun di kepulauan itu, satu spesies burung ciak yang baru mungkin muncul dalam kira-kira 200 tahun sahaja.”24

Namun begitu, brosur NAS gagal menyatakan bahawa dalam tahun-tahun berikutan kemarau itu, burung ciak dengan paruh yang lebih kecil sekali lagi mendominasi populasi burung ciak. Para penyelidik itu mendapati bahawa seraya keadaan cuaca di pulau itu berubah, burung ciak dengan paruh yang lebih panjang menjadi dominan untuk setahun, tetapi kemudiannya burung ciak dengan paruh yang lebih kecil menjadi dominan. Mereka juga mendapati bahawa sesetengah “spesies” burung ciak membiak dengan “spesies” burung ciak yang lain, lalu menghasilkan anak yang mempunyai peluang yang lebih baik untuk terus hidup berbanding dengan induknya. Mereka menyimpulkan bahawa jika pembiakan kacukan diteruskan, mungkin dua “spesies” akan bergabung menjadi hanya satu “spesies.”25

Paling baik pun, burung ciak Darwin menunjukkan bahawa suatu spesies boleh menyesuaikan diri dengan perubahan iklim

Jadi, adakah pemilihan semula jadi benar-benar menghasilkan spesies baru yang tidak pernah wujud? Berpuluh-puluh tahun dahulu, seorang ahli biologi evolusi yang bernama George Christopher Williams mula mempersoalkan sama ada pemilihan semula jadi mempunyai keupayaan sedemikian.26 Pada tahun 1999, pakar teori evolusi yang bernama Jeffrey H. Schwartz menulis bahawa pemilihan semula jadi mungkin membantu spesies menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah-ubah, tetapi tidak menciptakan sesuatu yang baru.27

Sememangnya, burung ciak Darwin tidak menjadi “sesuatu yang baru.” Burung-burung itu tetap merupakan burung ciak. Dan oleh sebab burung-burung itu saling membiak maka timbullah keraguan terhadap kaedah yang digunakan oleh sesetengah pendukung evolusi untuk mentafsirkan erti “spesies.” Selain itu, maklumat tentang burung-burung ini mendedahkan bahawa akademi sains yang berprestij pun kadangkala menyampaikan bukti dalam cara yang tidak objektif untuk menyokong dakwaan mereka.

Mitos 3. Catatan fosil membuktikan perubahan makroevolusi. Brosur NAS yang disebut sebelum ini memberi pembaca tanggapan bahawa fosil yang dijumpai oleh ahli sains memberikan bukti yang cukup untuk menyokong makroevolusi. Majalah itu menyatakan, “Begitu banyak makhluk perantaraan telah ditemui antara ikan dengan amfibia, antara amfibia dengan reptilia, antara reptilia dengan mamalia, dan sepanjang garis keturunan primat sehinggakan sering kali sukar untuk mengenal pasti secara tepat bila peralihan berlaku daripada satu spesies kepada spesies yang lain.”28

Faktanya. Penyataan brosur NAS yang begitu yakin agak menghairankan. Mengapa? Niles Eldredge yang berpegang kuat pada ajaran evolusi menyatakan bahawa catatan fosil menunjukkan bahawa perubahan tidak berlaku secara beransur-ansur. Sebaliknya, catatan fosil menunjukkan bahawa buat jangka masa yang panjang, “hanya sedikit atau tidak ada perubahan evolusi yang berlaku dalam kebanyakan spesies.” *29

Menurut catatan fosil, semua kumpulan utama haiwan muncul secara tiba-tiba dan keadaan asalnya tidak banyak berubah

Sehingga kini, ahli sains di serata dunia telah menggali dan mengkatalogkan kira-kira 200 juta fosil yang besar dan berbilion-bilion fosil yang kecil. Ramai penyelidik bersetuju bahawa catatan yang banyak dan terperinci ini menunjukkan bahawa semua kumpulan haiwan yang utama muncul secara tiba-tiba, tidak banyak berubah, dan banyak spesies pupus secara tiba-tiba juga.

“Kepercayaan” diperlukan untuk menerima ajaran evolusi

Mengapakah ramai pendukung evolusi yang terkemuka berkeras mengatakan bahawa makroevolusi ialah suatu fakta? Richard Lewontin, seorang pendukung evolusi yang berpengaruh, menulis secara terus terang bahawa ramai ahli sains bersedia menerima dakwaan saintifik yang tidak terbukti. Mengapa? Kerana mereka “mempunyai komitmen terhadap teori bahawa segala sesuatu di alam semesta, termasuk semua bentuk hidupan, wujud tanpa sebarang campur tangan peribadi yang luar biasa.” Ramai ahli sains enggan mempertimbangkan kemungkinan adanya Pereka Cipta yang bijak kerana, seperti yang ditulis oleh Lewontin, “kita tidak boleh menerima kewujudan seorang Pencipta.”30

Sehubungan hal ini, majalah Scientific American memetik kata-kata ahli sosiologi Rodney Stark, “Selama 200 tahun, idea yang disyorkan ialah jika anda ingin menjadi pendukung sains, anda perlu bebas daripada belenggu agama.” Selanjutnya dia menyatakan bahawa di universiti yang membuat penyelidikan,“orang yang beragama membisu” sahaja.31

Maka, jika anda ingin menerima ajaran makroevolusi sebagai sesuatu yang benar, apakah yang mesti anda percaya? (1) Anda mesti percaya bahawa penemuan saintifik yang ditafsirkan oleh ahli sains agnostik atau ateis tidak dipengaruhi oleh kepercayaan peribadi mereka. (2) Anda mesti percaya bahawa mutasi dan pemilihan semula jadi telah menghasilkan semua bentuk hidupan yang kompleks, meskipun kajian selama satu abad menunjukkan bahawa mutasi tidak pernah mengubahkan satu spesies kepada spesies yang baru. (3) Anda mesti percaya bahawa semua makhluk berevolusi secara beransur-ansur daripada leluhur yang sama, walaupun catatan fosil menunjukkan bahawa semua jenis tumbuhan dan haiwan yang utama muncul secara tiba-tiba dan tidak berevolusi menjadi jenis yang lain, biarpun berzaman-zaman telah berlalu. Adakah kepercayaan sedemikian didasarkan pada fakta atau pada mitos? Sesungguhnya “kepercayaan” diperlukan untuk menerima ajaran evolusi.

^ per. 3 Perubahan yang dapat dihasilkan oleh pembiak baka anjing sering kali disebabkan oleh kehilangan fungsi gen. Misalnya, saiz anjing dachshund yang kecil disebabkan oleh tulang rawannya yang tidak dapat bertumbuh secara normal.

^ per. 6 Meskipun perkataan “spesies” sering digunakan dalam bahagian ini, perkataan ini tidak digunakan dalam buku Kejadian dalam Bible. Di dalam buku Kejadian, kita menjumpai istilah “jenis” yang mempunyai makna yang lebih luas. Sering kali, apa yang disebut oleh ahli sains sebagai evolusi spesies baru sebenarnya merupakan variasi yang terdapat dalam satu “jenis” hidupan.

^ per. 8 Kajian menunjukkan bahawa sitoplasma sel, membrannya, dan struktur lain juga membantu dalam pembentukan suatu organisma.

^ per. 9 Lönnig percaya bahawa kehidupan telah diciptakan. Komennya dalam brosur ini merupakan pandangan peribadinya dan tidak mewakili pandangan Max Planck Institute for Plant Breeding Research.

^ per. 10 Eksperimen mutasi berkali-kali menunjukkan bahawa bilangan mutan baru semakin merosot, sedangkan mutan yang sama jenis terus muncul. Tambahan lagi, kurang daripada 1 peratus daripada tumbuhan mutan dipilih untuk kajian lanjut, dan kurang daripada 1 peratus daripada kumpulan ini didapati sesuai untuk kegunaan komersial. Walau bagaimanapun, tiada satu spesies baru pun yang terhasil. Hasil pembiakbakaan mutasi dalam haiwan lebih teruk lagi, dan eksperimen mutasi ini dihentikan sama sekali.

^ per. 21 Sebenarnya beberapa contoh catatan fosil yang digunakan oleh para penyelidik untuk membuktikan evolusi boleh diperdebatkan. Lihat muka surat 22 hingga 29 dalam brosur, The Origin of Life​—Five Questions Worth Asking (Asal Usul Kehidupan​Lima Soalan yang Patut Ditanya) yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.