Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 3

Yehuwa Menyingkapkan Tujuan-Nya

Yehuwa Menyingkapkan Tujuan-Nya

FOKUS BAB INI

Yehuwa menyingkapkan tujuan-Nya secara beransur-ansur, tetapi hanya kepada orang yang takut kepada-Nya

1, 2. Bagaimanakah Yehuwa menyingkapkan tujuan-Nya bagi umat manusia?

 IBU BAPA yang penyayang akan melibatkan anak-anak mereka dalam perbincangan keluarga. Namun, anak-anak tidak akan diberitahu semua maklumat. Ibu bapa hanya akan memberitahu anak mereka butiran tertentu apabila mereka berasa bahawa anak mereka sudah cukup matang untuk menerimanya.

2 Begitu juga, Yehuwa menyingkapkan tujuan-Nya bagi umat manusia secara beransur-ansur. Namun, Dia berbuat demikian hanya pada masa yang sesuai. Mari kita lihat secara ringkas bagaimana Yehuwa telah menyingkapkan kebenaran tentang Kerajaan-Nya sepanjang sejarah manusia.

Mengapakah Kerajaan Tuhan Diperlukan?

3, 4. Adakah Yehuwa mentakdirkan segala yang berlaku dalam sejarah manusia? Jelaskan.

3 Kerajaan Mesias bukanlah sebahagian daripada tujuan Yehuwa pada mulanya. Mengapa? Kerana Yehuwa tidak mentakdirkan segala yang berlaku dalam sejarah manusia. Sebaliknya Dia telah memberi manusia kebebasan untuk memilih. Oleh itu, Dia memberitahu Adam dan Hawa tujuan-Nya bagi manusia, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak, supaya keturunan kamu menduduki seluruh muka bumi dan menguasainya.” (Kej. 1:28) Yehuwa juga menghendaki mereka mematuhi perintah yang diberikan oleh-Nya sehubungan dengan apa yang baik dan apa yang jahat. (Kej. 2:16, 17) Adam dan Hawa boleh memilih sama ada mereka ingin setia kepada Tuhan atau tidak. Jika mereka dan keturunan mereka setia, bumi sekarang sudah dipenuhi dengan penyembah Yehuwa yang sempurna, dan kita tidak akan memerlukan Kerajaan yang diperintah oleh Kristus untuk melaksanakan tujuan Tuhan.

4 Pemberontakan Syaitan, Adam, dan Hawa tidak menyebabkan Yehuwa membatalkan tujuan-Nya untuk memenuhi bumi dengan manusia yang sempurna. Sebaliknya, Dia menggunakan jalan yang lain untuk mencapai tujuan-Nya. Tujuan Tuhan tidak seperti sebuah kereta api yang hanya boleh mengikut satu landasan untuk sampai ke destinasinya. Sekiranya ada halangan di salah satu “landasan” yang digunakan, Yehuwa dapat menggunakan “landasan” yang lain untuk mencapai tujuan-Nya. a (Kel. 3:14, 15) Tindakan orang lain tidak dapat menjejaskan tujuan Tuhan. Apabila Yehuwa menyatakan tujuan-Nya, tiada apa pun di alam semesta yang dapat menghalang-Nya daripada melaksanakan tujuan itu. (Baca Yesaya 55:11.) Pada masa yang sesuai bagi Tuhan, Dia memberitahu hamba-hamba-Nya tentang kaedah baru yang akan digunakan-Nya bagi menjayakan tujuan-Nya.

5. Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa setelah pemberontakan di Taman Eden tercetus?

5 Setelah pemberontakan di Taman Eden tercetus, penubuhan Kerajaan Mesias menjadi sebahagian daripada tujuan Yehuwa. (Mat. 25:34) Pada detik yang gelap itu, Yehuwa telah membawa sinar harapan. Dia mula menyingkapkan sarana yang akan digunakan oleh-Nya untuk memulihkan manusia dan membaiki segala kerosakan yang disebabkan oleh cubaan Syaitan untuk merampas kuasa-Nya. (Kej. 3:14-19) Sungguhpun demikian, Yehuwa tidak menyingkapkan semua butiran tentang Kerajaan-Nya sekali gus.

Yehuwa Mula Menyingkapkan Kebenaran tentang Kerajaan-Nya

6. Apakah yang dijanjikan oleh Yehuwa? Namun, apakah butiran yang tidak disingkapkan oleh-Nya?

6 Dalam nubuat yang pertama, Yehuwa berjanji untuk memberikan benih, atau keturunan, yang akan meremukkan ular itu. (Baca Kejadian 3:15.) Namun pada masa itu, Tuhan tidak menyingkapkan identiti benih dan benih ular itu. Sebenarnya, Yehuwa tidak memberikan butiran selanjutnya sehingga kira-kira 2,000 tahun kemudian. b

7. Mengapakah Tuhan memilih Abraham? Apakah pengajaran penting yang kita peroleh daripada hal ini?

7 Apabila masanya tiba, Yehuwa telah memilih Abraham sebagai nenek moyang kepada benih yang dijanjikan. Abraham dipilih kerana dia ‘mentaati perintah Yehuwa.’ (Kej. 22:18) Apakah pengajaran penting yang kita peroleh daripada hal ini? Yehuwa hanya akan menyingkapkan tujuan-Nya kepada orang yang takut dan hormat kepada-Nya.​—Baca Mazmur 25:14.

8, 9. Apakah butiran tentang benih itu yang disingkapkan oleh Yehuwa kepada Abraham dan Yakub?

8 Semasa Yehuwa berfirman kepada sahabat-Nya Abraham menerusi satu malaikat, buat kali pertama Dia menyingkapkan fakta penting ini: Benih itu ialah seorang manusia. (Kej. 22:15-17; Yak. 2:23) Bagaimanakah orang ini akan meremukkan ular itu? Siapakah ular itu? Butiran yang disingkapkan kemudian akan menjawab soalan-soalan tersebut.

9 Yehuwa telah menyatakan bahawa benih yang dijanjikan itu akan datang daripada keturunan Yakub. Yakub ialah cucu Abraham yang sangat beriman kepada Tuhan. (Kej. 28:13-22) Menerusi Yakub, Yehuwa menyingkapkan bahawa benih itu akan datang daripada keturunan anak Yakub, iaitu Yehuda. Yakub menubuatkan bahawa benih itu akan “memegang tongkat kerajaan,” iaitu kuasa untuk memerintah, dan orang akan “sujud dengan taat di hadapannya.” (Kej. 49:1, 10) Melalui kata-kata itu, Yehuwa menunjukkan bahawa benih yang dijanjikan itu akan menjadi seorang raja, atau pemerintah.

10, 11. Mengapakah Yehuwa menyingkapkan tujuan-Nya kepada Daud dan Daniel?

10 Kira-kira 650 tahun selepas zaman Yehuda, Yehuwa menyingkapkan lebih banyak butiran mengenai tujuan-Nya kepada salah seorang daripada keturunan Yehuda, iaitu Raja Daud. Yehuwa menggambarkan Daud sebagai ‘seorang lelaki yang menyenangkan hati-Nya.’ (Kis. 13:22; 1 Sam. 13:14; 17:12) Oleh sebab Daud takut dan hormat kepada Tuhan, Yehuwa telah membuat perjanjian dengannya. Yehuwa berjanji bahawa salah seorang daripada keturunan Daud akan memerintah untuk selama-lamanya.​—2 Sam. 7:8, 12-16.

11 Sekitar 500 tahun kemudian, Yehuwa telah menggunakan nabi Daniel untuk menyingkapkan secara jitu masanya Mesias, atau Dia Yang Terurap, akan muncul di bumi. (Dan. 9:25) Yehuwa “sangat mengasihi” Daniel. Mengapa? Kerana Daniel amat menghormati Yehuwa dan menyembah-Nya dengan setia.​—Dan. 6:17; 9:22, 23.

12. Apakah arahan Tuhan kepada Daniel? Apakah sebabnya?

12 Yehuwa telah mengilhami nabi-nabi yang setia seperti Daniel untuk mencatatkan banyak butiran tentang benih yang dijanjikan, iaitu Mesias. Namun, mereka tidak memahami erti di sebalik apa yang ditulis, kerana masa yang ditentukan oleh Yehuwa belum tiba lagi. Sebagai contoh, setelah diberikan penglihatan tentang penubuhan Kerajaan Tuhan, Daniel disuruh untuk memeterai dan merahsiakan nubuat itu sehingga masa yang ditetapkan oleh Yehuwa tiba. Pada masa itu, “pengetahuan yang benar akan melimpah.”​—Dan. 12:4, NW.

Yehuwa menggunakan orang yang setia seperti Daniel untuk mencatatkan butiran tentang Kerajaan Mesias

Yesus Menyingkapkan Lebih Banyak Butiran tentang Tujuan Tuhan

13. (a) Siapakah benih yang dijanjikan itu? (b) Bagaimanakah Yesus memberikan lebih banyak maklumat tentang nubuat di Kejadian 3:15?

13 Yehuwa menyatakan dengan jelas bahawa benih yang dijanjikan, yang berasal daripada keturunan Daud, ialah Yesus. Dia akan memerintah sebagai Raja. (Luk. 1:30-33; 3:21, 22) Semasa Yesus mula menjalankan aktiviti penyebaran, pengetahuan manusia tentang tujuan Tuhan seolah-olah disinari cahaya matahari. (Mat. 4:13-17) Misalnya, Yesus mendedahkan identiti “ular” yang disebut di Kejadian 3:14, 15 dengan menggelar Iblis sebagai “pembunuh” dan “bapa segala dusta.” (Yoh. 8:44) Dalam penglihatan Yohanes, Yesus menunjukkan bahawa “ular tua” itu “dipanggil Iblis dan Syaitan.” c (Baca Wahyu 1:1; 12:9.) Yesus juga menunjukkan bagaimana dia, selaku benih yang dijanjikan, akan meremukkan dan melenyapkan Syaitan seperti yang dinubuatkan di Taman Eden.​—Why. 20:7-10.

14-16. Adakah murid-murid Yesus pada abad pertama selalu memahami maksud di sebalik kebenaran yang disingkapkan oleh Yesus? Jelaskan.

14 Kita telah belajar di Bab 1 bahawa Yesus sering bercakap tentang Kerajaan Tuhan. Namun, dia tidak selalu menyingkapkan semua butiran yang ingin diketahui oleh murid-muridnya. Sungguhpun dia memberi mereka keterangan yang terperinci, murid-muridnya tidak segera memahami kata-kata Yesus. Kadangkala kata-kata Yesus hanya dapat difahami dengan sepenuhnya beratus-ratus tahun kemudian. Mari kita lihat beberapa contoh.

15 Pada tahun 33 M, Yesus menyatakan dengan jelas bahawa para pemerintah yang bakal membantu Raja Kerajaan Tuhan merupakan orang dari bumi yang dibangkitkan sebagai makhluk roh di syurga. Namun, murid-murid Yesus tidak memahami maksudnya pada masa itu. (Dan. 7:18; Yoh. 14:2-5) Pada tahun yang sama, Yesus menggunakan beberapa perumpamaan untuk menjelaskan bahawa selepas dia kembali ke syurga, suatu jangka waktu yang panjang perlu berlalu sebelum Kerajaan Tuhan ditubuhkan. (Mat. 25:14, 19; Luk. 19:11, 12) Murid-muridnya tidak mengerti hal penting itu. Selepas Yesus dibangkitkan, mereka masih bertanya, “Adakah Tuan akan memulihkan pemerintahan Tuhan bagi bangsa Israel pada masa sekarang?” Namun, Yesus tidak memberi mereka butiran yang selanjutnya pada masa itu. (Kis. 1:6, 7) Yesus juga mengajar bahawa dia akan mempunyai “biri-biri lain.” Kumpulan ini bukan sebahagian daripada “kawanan kecil” yang akan memerintah bersama-samanya. (Yoh. 10:16; Luk. 12:32) Para pengikut Kristus tidak mempunyai pemahaman yang tepat mengenai identiti dua kumpulan ini. Mereka hanya mengetahuinya bertahun-tahun selepas Kerajaan Tuhan diasaskan pada tahun 1914.

16 Ada banyak lagi perkara yang dapat disampaikan oleh Yesus kepada murid-muridnya semasa dia masih di bumi, tetapi dia tahu bahawa mereka belum dapat memahaminya. (Yoh. 16:12) Meskipun banyak pengetahuan tentang Kerajaan Tuhan telah disingkapkan pada abad pertama, belum tiba masanya untuk pengetahuan yang benar melimpah.

Pengetahuan yang Benar akan Melimpah pada “Akhir Zaman”

17. Apakah yang mesti kita lakukan agar dapat memahami kebenaran tentang Kerajaan Tuhan? Apakah yang juga diperlukan?

17 Yehuwa berjanji kepada Daniel bahawa pada “akhir zaman,” ramai orang akan “mencari-cari, dan pengetahuan yang benar” tentang tujuan Tuhan akan melimpah. (Dan. 12:4, NW) Sesiapa yang ingin mendapatkan pengetahuan itu harus bekerja keras. Menurut sebuah karya rujukan, kata kerja bahasa Ibrani yang diterjemahkan sebagai “mencari-cari” menggambarkan seseorang yang mengkaji sebuah buku dengan sangat cermat dan teliti. Namun demikian, biarpun kita mengkaji Bible dengan sangat teliti, kita tidak dapat memahami kebenaran tentang Kerajaan Tuhan tanpa bantuan Yehuwa.​—Baca Matius 13:11.

18. Bagaimanakah orang yang takut akan Yehuwa menunjukkan bahawa mereka beriman dan rendah hati?

18 Yehuwa telah menyingkapkan kebenaran tentang Kerajaan-Nya secara beransur-ansur sebelum tahun 1914, dan Dia terus berbuat demikian pada hari-hari terakhir. Bab 4 dan 5 akan menunjukkan perubahan yang perlu dilakukan oleh umat Tuhan dalam sesetengah pemahaman mereka sepanjang 100 tahun yang lalu. Adakah perubahan sedemikian menunjukkan bahawa mereka tidak mendapat sokongan Yehuwa? Tidak! Yehuwa tetap menyokong orang yang takut kepada-Nya, kerana mereka memperlihatkan dua sifat yang menyenangkan hati-Nya: Iman dan kerendahan hati. (Ibr. 11:6; Yak. 4:6) Hamba-hamba Yehuwa percaya bahawa semua janji dalam Firman Tuhan akan menjadi kenyataan. Apabila mereka mengakui bahawa jangkaan mereka tentang cara janji Tuhan ditunaikan kurang tepat, hal ini membuktikan bahawa mereka rendah hati. The Watch Tower terbitan 1 Mac 1925 menyatakan, “Kita tahu bahawa Tuan kita akan menjelaskan erti Firman-Nya kepada umat-Nya dalam cara yang terbaik bagi-Nya dan pada masa yang ditentukan oleh-Nya.”

“Tuan kita akan menjelaskan erti Firman-Nya kepada umat-Nya dalam cara yang terbaik bagi-Nya dan pada masa yang ditentukan oleh-Nya”

19. Apakah pemahaman yang telah diberikan oleh Yehuwa kepada kita sekarang? Apakah sebabnya?

19 Semasa Kerajaan Tuhan ditubuhkan pada tahun 1914, umat Tuhan belum memahami sepenuhnya bagaimana nubuat-nubuat tentang Kerajaan Tuhan akan menjadi kenyataan. (1 Kor. 13:9, 10, 12) Kita tidak sabar-sabar ingin melihat janji Tuhan ditunaikan, tetapi ada kalanya hal ini menyebabkan kita membuat kesimpulan yang salah. Majalah The Watch Tower yang disebut sebelum ini juga menyatakan, “Nampaknya kesimpulan yang selamat ialah: Kita tidak dapat memahami sesebuah nubuat Bible, sehingga nubuat itu menjadi kenyataan atau sedang menjadi kenyataan.” Peredaran masa telah menunjukkan bahawa kata-kata tersebut memang bijak. Kini, kita hidup pada penghujung hari-hari terakhir. Banyak nubuat tentang Kerajaan Tuhan sudah atau sedang menjadi kenyataan. Memandangkan umat Tuhan rendah hati dan rela dibetulkan, Yehuwa telah memberi kita pemahaman yang lebih lengkap tentang tujuan-Nya. Sesungguhnya, pengetahuan yang benar kini melimpah!

Pemahaman yang Bertambah Jelas Menguji Umat Tuhan

20, 21. Bagaimanakah pemahaman yang bertambah jelas menguji orang Kristian pada abad pertama?

20 Semasa Yehuwa memberi kita pemahaman yang lebih jelas tentang kebenaran, keadaan hati kita diuji. Adakah iman dan kerendahan hati akan mendorong kita untuk menerima perubahan? Orang Kristian pada pertengahan abad pertama pernah menghadapi ujian sebegitu. Bayangkan anda ialah orang Kristian berbangsa Yahudi yang hidup pada masa itu. Anda sangat menghormati Hukum Musa, dan sangat berbangga atas warisan bangsa anda. Tetapi sekarang anda menerima surat daripada rasul Paulus yang menyatakan bahawa anda tidak diwajibkan mematuhi Hukum Musa lagi. Surat-surat yang diilhami Tuhan itu juga menyatakan bahawa Yehuwa sudah menolak Israel jasmani dan sedang membentuk Israel rohani yang terdiri daripada orang Yahudi dan orang bukan Yahudi. (Rm. 10:12; 11:17-24; Gal. 6:15, 16; Kol. 2:13, 14) Jika hal itu berlaku, apakah reaksi anda?

21 Orang Kristian yang rendah hati diberkati kerana mereka menerima penjelasan Paulus yang diilhami oleh Yehuwa. (Kis. 13:48) Yang lain pula enggan menerima perubahan dan berkeras mengikut pemahaman sendiri. (Gal. 5:7-12) Jika mereka enggan mengubah pandangan sendiri, mereka akan kehilangan peluang untuk memerintah bersama Kristus.​—2 Ptr. 2:1.

22. Apakah perasaan anda semasa menerima pemahaman yang lebih jelas tentang tujuan Tuhan?

22 Sejak puluhan tahun yang lalu, Yehuwa telah memberi kita pemahaman yang lebih jelas tentang Kerajaan-Nya. Sebagai contoh, Dia membantu kita memahami dengan lebih jelas bila rakyat Kerajaan Tuhan akan dipisahkan daripada orang yang tidak mempedulikan berita baik, sebagaimana biri-biri dipisahkan daripada kambing. Dia juga mengajar kita bila jumlah 144,000 orang Kristian terurap akan digenapkan, makna perumpamaan-perumpamaan Yesus tentang Kerajaan Tuhan, dan bila orang Kristian terurap yang terakhir akan dibangkitkan ke syurga. d Apakah reaksi anda terhadap pemahaman yang bertambah jelas itu? Adakah iman anda bertambah kukuh? Adakah anda memandangnya sebagai bukti bahawa Yehuwa sedang mendidik umat-Nya yang rendah hati? Maklumat dalam buku ini akan meyakinkan anda bahawa Yehuwa sedang menyingkapkan tujuan-Nya secara beransur-ansur kepada orang yang takut kepada-Nya.

a Nama Tuhan merupakan satu bentuk kata kerja dalam bahasa Ibrani yang bermaksud “menjadi.” Nama Yehuwa menunjukkan bahawa Dia pasti mengotakan semua janji-Nya. Lihat kotak “Erti di Sebalik Nama Tuhan,” di Bab 4.

b Meskipun 2,000 tahun nampaknya sangat lama bagi kita, kita perlu ingat bahawa umur manusia dahulukala jauh lebih panjang. Hanya jangka hayat empat orang diperlukan untuk meliputi jangka masa itu, iaitu dari zaman Adam sehingga Abraham. Adam telah hidup sezaman dengan Lamekh, iaitu bapa Nuh. Lamekh telah hidup sezaman dengan Sem, iaitu anak Nuh. Sem telah hidup sezaman dengan Abraham.​—Kej. 5:5, 31; 9:29; 11:10, 11; 25:7, 8.

c Perkataan “Syaitan” muncul dalam Kitab Ibrani sebanyak 18 kali, tetapi muncul lebih daripada 30 kali dalam Kitab Yunani Kristian. Dalam Kitab Ibrani, lebih banyak penekanan diberikan pada cara mengenal pasti Mesias. Apabila Mesias tiba, dia telah mendedahkan identiti Syaitan dengan sepenuhnya. Hal itu dicatatkan dalam Kitab Yunani Kristian.

d Sesetengah pemahaman yang bertambah jelas itu terdapat dalam terbitan The Watchtower yang berikut: 15 Oktober 1995, muka surat 23-28; 15 Januari 2008, muka surat 20-24; 15 Julai 2008, muka surat 17-21. Lihat juga majalah pembelajaran 15 Julai 2013, muka surat 9-14.