Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 5

Kebenaran Menjadi Semakin Terang

Kebenaran Menjadi Semakin Terang

FOKUS BAB INI

Umat Tuhan mula memahami kebenaran-kebenaran yang penting tentang Kerajaan Tuhan, para pemerintahnya, dan rakyatnya. Mereka juga mula memahami bagaimana mereka harus menunjukkan kesetiaan kepada Kerajaan itu

1, 2. Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa Yesus membimbing murid-muridnya dengan cara yang paling bijak?

 BAYANGKAN seorang pemandu pelancong yang berpengalaman sedang membawa anda untuk melawat sebuah kota yang menakjubkan. Anda dan pelancong-pelancong lain tidak pernah melawat kota itu, maka anda memberikan sepenuh perhatian kepada setiap penjelasan pemandu pelancong itu. Anda mempunyai seribu satu soalan tentang sesetengah tempat di kota itu, tetapi apabila anda bertanya kepada pemandu pelancong tersebut, dia tidak menjawab dengan serta-merta. Sebaliknya, dia akan menjawab apabila masanya sesuai, biasanya apabila anda hampir tiba di tempat itu. Anda semakin kagum dengan kebijaksanaan pemandu pelancong itu, kerana dia memberitahu anda maklumat yang perlu anda tahu pada masa yang paling sesuai.

2 Orang Kristian sejati bagaikan para pelancong tersebut. Kita sedang belajar tentang kota yang paling menakjubkan, sebuah “kota yang mempunyai asas yang kukuh,” iaitu Kerajaan Tuhan. (Ibr. 11:10) Yesus pula seperti pemandu pelancong itu. Semasa dia di bumi, dia membimbing para pengikutnya agar mereka lebih mengenal Kerajaan itu. Adakah Yesus menjawab setiap pertanyaan mereka tentang Kerajaan Tuhan dan menyingkapkan semua maklumat sekali gus? Tidak. Dia berkata, “Banyak lagi yang hendak aku katakan kepada kamu, tetapi kamu tidak dapat memahaminya buat masa ini.” (Yoh. 16:12) Ya, Yesus membimbing murid-muridnya dengan cara yang paling bijak. Memandangkan mereka belum bersedia, dia tidak membanjiri mereka dengan terlalu banyak pengetahuan.

3, 4. (a) Bagaimanakah Yesus terus mengajar umat Tuhan yang setia tentang Kerajaan Tuhan? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam bab ini?

3 Yesus telah mengucapkan kata-kata yang tercatat di Yohanes 16:12 pada malam sebelum dia mati. Kalau begitu, bagaimanakah dia dapat terus mengajar orang yang setia tentang Kerajaan Tuhan selepas kematiannya? Dia memberikan jaminan berikut kepada para rasul: “Daya aktif Tuhan yang menyingkapkan kebenaran . . . akan membimbing kamu supaya memahami seluruh kebenaran.” a (Yoh. 16:13) Yesus akan menggunakan daya aktif Tuhan untuk membimbing para pengikutnya. Seperti seorang pembimbing yang sabar, daya aktif Tuhan akan mengajar mereka kebenaran tentang Kerajaan Tuhan, dan akan melakukannya pada masa yang paling sesuai.

4 Mari kita kaji bagaimana daya aktif Yehuwa telah membimbing orang Kristian yang berhati jujur supaya mereka memahami Kerajaan Tuhan dengan lebih baik. Pertama sekali, kita akan membincangkan cara kita mengetahui bila Kerajaan Tuhan mula memerintah. Kemudian, kita akan mengkaji identiti para pemerintah dan rakyat Kerajaan itu, dan mengkaji harapan yang dimiliki oleh mereka. Akhirnya, kita akan melihat bagaimana para pengikut Kristus dapat memahami dengan lebih jelas cara mereka harus menunjukkan kesetiaan kepada Kerajaan Tuhan.

Memahami Tahun yang Penting

5, 6. (a) Bagaimanakah Pelajar Bible tersilap dalam pemahaman mereka tentang penubuhan Kerajaan Tuhan dan musim menuai? (b) Meskipun para pengikut Yesus membuat kesilapan, apakah yang membuktikan bahawa Yesus sedang membimbing mereka?

5 Bab 2 dalam buku ini menyatakan bahawa selama berpuluh-puluh tahun, Pelajar Bible menunjukkan bahawa tahun 1914 ialah tahun yang penting dalam nubuat Bible. Namun, ketika itu, mereka percaya bahawa kehadiran Kristus bermula pada tahun 1874, dia memerintah di syurga pada tahun 1878, dan Kerajaan Tuhan tidak akan berkuasa sepenuhnya sehingga Oktober 1914. Mereka juga percaya bahawa musim menuai akan berlangsung dari tahun 1874 sehingga tahun 1914, dan akhirnya semua orang Kristian terurap akan dibawa ke syurga. Jangkaan mereka memang silap, tetapi adakah hal ini bermaksud bahawa Yesus tidak membimbing mereka menerusi daya aktif Tuhan?

6 Sama sekali tidak! Fikirkan lagi tentang perumpamaan pada awal bab ini. Jika para pelancong menanyakan banyak soalan dan mempunyai pandangan yang kurang tepat sebelum mereka melihat tempat tertentu, patutkah pemandu pelancong itu disalahkan? Pastinya tidak! Begitu juga, ada kalanya, umat Tuhan mencuba memahami cara Tuhan melaksanakan tujuan-Nya, tetapi jangkaan mereka silap kerana belum tiba masanya bagi daya aktif Tuhan membimbing mereka untuk memahami sesetengah kebenaran. Namun, para pengikut Yesus yang setia rela dibetulkan dan mereka sungguh rendah hati kerana mahu mengubah pandangan mereka. Hal itu membuktikan bahawa Yesus sedang membimbing mereka.​—Yak. 4:6.

7. Apakah cahaya rohani yang menyinari umat Tuhan?

7 Ekoran tahun 1919, semakin banyak pancaran cahaya rohani menyinari umat Tuhan. (Baca Mazmur 97:11.) Pada tahun 1925, sebuah rencana penting yang bertajuk “Kelahiran Sebuah Bangsa” telah diterbitkan dalam majalah The Watch Tower. Rencana itu membentangkan bukti yang kukuh daripada Bible untuk menunjukkan bahawa nubuat di Wahyu bab 12 tentang wanita di syurga yang melahirkan anak telah menjadi kenyataan apabila Kerajaan Mesias dilahirkan pada tahun 1914. b Rencana itu juga menyatakan bahawa penganiayaan dan kesusahan yang melanda umat Tuhan sepanjang zaman perang jelas membuktikan bahawa Syaitan telah dibuang dari syurga, dan bahawa dia turun ke bumi “dengan kemarahan yang besar, kerana dia tahu bahawa masanya tinggal sedikit.”​—Why. 12:12.

8, 9. (a) Bagaimanakah kepentingan Kerajaan Tuhan ditegaskan? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincang?

8 Seberapa pentingkah Kerajaan Tuhan? Pada tahun 1928, majalah The Watch Tower mula menegaskan bahawa Kerajaan Tuhan lebih penting daripada penyelamatan yang diperoleh menerusi tebusan. Sesungguhnya, Kerajaan Mesias merupakan sarana yang digunakan oleh Yehuwa untuk menyucikan nama-Nya, menegakkan kedaulatan-Nya, dan melaksanakan semua tujuan-Nya berkenaan umat manusia.

9 Siapakah yang akan memerintah bersama-sama Kristus dalam Kerajaan Tuhan? Siapakah yang akan menjadi rakyat Kerajaan itu di bumi? Apakah kerja yang harus diutamakan oleh para pengikut Kristus?

Kerja Menuai Bertumpu pada Golongan Terurap

10. Apakah yang difahami oleh umat Tuhan tentang 144,000 orang Kristian terurap sejak dahulu lagi?

10 Puluhan tahun sebelum tahun 1914, orang Kristian sejati sudah faham bahawa 144,000 orang pengikut Kristus yang setia akan memerintah bersamanya di syurga. c Mereka juga faham bahawa angka itu ditafsirkan secara harfiah dan anggota-anggota daripada golongan itu mula dipilih sejak abad pertama Masihi.

11. Bagaimanakah mereka yang bakal menjadi “pengantin perempuan” Kristus memahami tugas mereka di bumi dengan lebih jelas?

11 Namun, apakah tugas yang diberikan kepada mereka yang bakal menjadi “pengantin perempuan” Kristus semasa mereka masih di bumi? Mereka sedar bahawa Yesus mementingkan kerja penyebaran dan mengaitkan kerja itu dengan musim menuai. (Mat. 9:37; Yoh. 4:35) Seperti yang dibincangkan di Bab 2, buat suatu ketika mereka menyangka bahawa musim menuai akan berlangsung selama 40 tahun dan akhirnya orang Kristian terurap akan dibawa ke syurga. Namun, kerja itu masih berterusan 40 tahun kemudian. Jadi penjelasan yang selanjutnya diperlukan. Kini, kita tahu bahawa musim menuai, iaitu musim untuk membezakan gandum (orang Kristian sejati) daripada lalang (orang Kristian palsu), telah bermula pada tahun 1914. Masanya sudah tiba untuk bertumpu pada kerja mengumpulkan baki golongan terurap!

Musim menuai telah bermula pada tahun 1914 (Lihat perenggan 11)

12, 13. Bagaimanakah perumpamaan Yesus tentang 10 orang anak dara dan wang talenta menggambarkan golongan terurap pada hari-hari terakhir?

12 Sejak tahun 1919, Kristus sentiasa membimbing hamba yang setia dan bijaksana untuk mengutamakan kerja penyebaran. Dia telah mengamanahkan kerja itu kepada para pengikutnya pada abad pertama. (Mat. 28:19, 20) Melalui perumpamaan tentang 10 orang anak dara, Yesus telah menunjukkan sifat-sifat yang diperlukan oleh pengikutnya yang terurap agar mereka dapat melaksanakan kerja penyebaran. Perumpamaan itu menunjukkan bahawa golongan terurap mesti tetap berjaga-jaga secara rohani, barulah mereka dapat menyertai jamuan perkahwinan di syurga. Di situ Kristus akan bersatu dengan ‘pengantin perempuannya,’ iaitu 144,000 orang Kristian terurap. (Why. 21:2) Seterusnya, dalam perumpamaan tentang wang talenta, Yesus mengajarkan bahawa hamba-hambanya yang terurap harus melaksanakan kerja penyebaran dengan sungguh-sungguh.​—Mat. 25:1-30.

13 Dalam seabad yang lalu, golongan terurap terbukti berjaga-jaga dan melaksanakan kerja mereka dengan sungguh-sungguh. Sudah tentu mereka akan diberkati kerana sentiasa berjaga-jaga! Namun, adakah kerja menuai hanya merujuk kepada kerja mengumpulkan baki 144,000 orang yang akan memerintah bersama Kristus?

Rakyat Kerajaan Tuhan di Bumi Dikumpulkan!

14, 15. Menurut buku The Finished Mystery, empat kumpulan yang akan diselamatkan terdiri daripada siapa?

14 Sudah lama umat Tuhan yang setia ingin mengetahui identiti “kumpulan besar manusia” yang disebut di Wahyu 7:9-14. Maka tidak hairanlah, sebelum masanya tiba bagi Kristus untuk menyingkapkan identiti kumpulan besar itu, terdapat banyak ulasan tentang topik itu yang jauh terpesong daripada kebenaran yang menjadi pegangan kita hari ini.

15 Pada tahun 1917, buku The Finished Mystery menjelaskan bahawa ada dua kumpulan orang yang akan diselamatkan untuk hidup di syurga, dan dua kumpulan orang yang akan diselamatkan untuk hidup di bumi. Empat kumpulan itu terdiri daripada siapa? Kumpulan pertama terdiri daripada 144,000 orang yang akan memerintah bersama Kristus di syurga. Kumpulan kedua terdiri daripada “kumpulan besar manusia” yang disebut di buku Wahyu. Pada masa itu, kumpulan itu disangka terdiri daripada ahli-ahli gereja yang beriman. Meskipun mereka akan pergi ke syurga, kedudukan mereka lebih rendah kerana mereka belum lagi berpegang teguh pada integriti. Kumpulan ketiga dan keempat pula akan hidup di bumi. Kumpulan ketiga terdiri daripada “tokoh-tokoh setia dahulukala” seperti Abraham dan Musa. Kumpulan ini akan berkuasa ke atas kumpulan yang keempat, iaitu semua manusia yang lain.

16. Apakah cahaya rohani yang terpancar pada tahun 1923 dan tahun 1932?

16 Bagaimanakah daya aktif Tuhan membimbing para pengikut Kristus untuk memahami kebenaran yang begitu berharga bagi kita dewasa ini? Mereka telah diberi cahaya rohani secara beransur-ansur. Pada tahun 1923, The Watch Tower menyatakan bahawa ada sekumpulan orang yang tidak memiliki harapan untuk hidup di syurga, tetapi yang akan hidup di bumi di bawah pemerintahan Kristus. Pada tahun 1932, The Watchtower menyebut tentang Yonadab (Yehonadab) yang pergi bersama-sama Yehu, Raja Israel yang diurapi Tuhan, untuk menyokongnya memerangi ibadat palsu. (2 Raj. 10:15-17) Rencana itu menyatakan bahawa ada sekumpulan orang pada zaman moden seperti Yonadab, yang akan hidup di bumi setelah Yehuwa membantu mereka “mengharungi kesengsaraan di Armagedon.”

17. (a) Apakah pancaran cahaya rohani yang menyinari umat Tuhan pada tahun 1935? (b) Apakah reaksi orang Kristian yang setia setelah mendapat tahu pemahaman baru tentang identiti “kumpulan besar manusia”? (Lihat kotak “ Menarik Nafas Lega.”)

17 Pada tahun 1935, satu pancaran cahaya rohani yang terang telah bersinar. Konvensyen di Washington D.C. menunjukkan bahawa seperti biri-biri dalam perumpamaan Yesus tentang kambing dan biri-biri, “kumpulan besar manusia” akan hidup di bumi. (Mat. 25:33-40) Kumpulan besar itu akan tergolong dalam “biri-biri lain” yang juga akan dipimpin oleh Yesus. (Yoh. 10:16) Semasa J. F. Rutherford berkata, “Jika anda memiliki harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi, sila berdiri,” lebih daripada separuh hadirin telah berdiri! “Lihat!” kata Saudara Rutherford, “Inilah kumpulan besar manusia!” Ramai daripada umat Tuhan sangat terharu kerana mereka akhirnya memahami harapan masa depan mereka.

18. Apakah tumpuan para pengikut Kristus dalam aktiviti penyebaran? Apakah hasilnya?

18 Sejak masa itu, Kristus telah membimbing umatnya agar bertumpu pada usaha mengumpulkan ahli-ahli kumpulan besar yang akan selamat mengharungi kesengsaraan besar. Pada mulanya hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Saudara Rutherford bahkan pernah berkata, “Nampaknya ‘kumpulan besar manusia’ ini tidaklah besar sangat.” Namun, kita sekarang tahu bahawa Yehuwa telah mencurahkan berkat yang melimpah-limpah ke atas kerja tuaian. Di bawah bimbingan Yesus dan daya aktif Tuhan, golongan terurap dan “biri-biri lain” telah menjadi “satu kawanan di bawah satu gembala,” tepat seperti yang dinubuatkan oleh Yesus.

Pertambahan kumpulan besar manusia memang di luar jangkaan Saudara Rutherford (Dari kiri ke kanan: Nathan H. Knorr, Joseph F. Rutherford, dan Hayden C. Covington

19. Apakah yang dapat kita lakukan supaya kumpulan besar bertambah besar?

19 Kebanyakan orang yang setia akan hidup selama-lamanya di bumi firdaus di bawah pemerintahan Kristus dan 144,000 orang Kristian terurap. Tidakkah anda berasa senang hati setelah mempelajari bagaimana Kristus telah membimbing umat Tuhan agar memahami harapan ini dengan jelas? Alangkah istimewanya peluang yang kita ada untuk memberitahu orang lain tentang harapan ini semasa menginjil! Oleh itu, marilah kita melakukan apa yang terdaya supaya kumpulan besar ini bertambah besar lagi dan agar lebih ramai orang menyanjung nama Yehuwa!​—Baca Lukas 10:2.

Semakin ramai orang menyertai kumpulan besar

Maksud Menunjukkan Kesetiaan kepada Kerajaan Tuhan

20. Organisasi Syaitan terdiri daripada apa? Bagaimanakah orang Kristian harus menjaga kesetiaan mereka?

20 Apabila pengetahuan umat Tuhan tentang Kerajaan-Nya bertambah dalam, mereka juga perlu faham dengan lebih jelas bagaimana mereka harus menunjukkan kesetiaan kepada Kerajaan itu. Pada tahun 1922, The Watch Tower menyatakan bahawa ada dua organisasi di pentas dunia: Satu ialah organisasi Yehuwa, dan satu lagi ialah organisasi Syaitan yang terdiri daripada sistem perdagangan, agama, dan politik. Sesiapa yang setia kepada Kerajaan Tuhan tidak akan menjalin hubungan yang akrab dengan mana-mana aspek organisasi Syaitan kerana hal ini boleh menjejaskan kesetiaannya. (2 Kor. 6:17) Apakah maksud kata-kata itu?

21. (a) Bagaimanakah hamba yang setia memberikan amaran kepada umat Tuhan tentang dunia perdagangan? (b) Pada tahun 1963, apakah yang disingkapkan dalam The Watchtower tentang “Babilon Besar”?

21 Makanan rohani daripada hamba yang setia sering kali membongkar amalan-amalan terkutuk dalam dunia perdagangan, dan memberikan amaran kepada umat Tuhan agar tidak terpengaruh dengan sikap mementingkan kebendaan. (Mat. 6:24) Bahan bacaan kita juga terus mendedahkan sistem agama organisasi Syaitan. Pada tahun 1963, The Watchtower menunjukkan dengan jelas bahawa “Babilon Besar” bukan sahaja melambangkan gereja-gereja Kristian, malah merangkumi seluruh empayar agama palsu. Dalam Bab 10, kita akan melihat dengan lebih teliti lagi bagaimana umat Tuhan daripada setiap bangsa dan negara dibantu untuk keluar daripada Babilon Besar dengan mengikis semua amalan agama palsu.​—Why. 18:2, 4.

22. Semasa Perang Dunia Pertama, apakah pendapat kebanyakan umat Tuhan tentang nasihat di Roma 13:1?

22 Bagaimana pula dengan sistem politik organisasi Syaitan? Bolehkah orang Kristian sejati mengambil bahagian dalam peperangan dan konflik negara? Semasa Perang Dunia Pertama, Pelajar Bible memang tahu bahawa pengikut Kristus tidak boleh membunuh orang lain. (Mat. 26:52) Namun, ramai antara mereka berpendapat bahawa nasihat di Roma 13:1 untuk “taat kepada pihak berkuasa” bermaksud bahawa mereka harus menyertai tentera, memakai pakaian seragam tentera, dan bahkan membawa senjata. Tetapi jika mereka diperintah untuk membunuh musuh, mereka harus menembak ke udara.

23, 24. Semasa Perang Dunia Kedua, apakah pemahaman kita tentang Roma 13:1? Bagaimanakah pandangan para pengikut Kristus kemudiannya dibetulkan?

23 Pada tahun 1939, ketika Perang Dunia Kedua hampir tercetus, The Watchtower telah membincangkan isu keneutralan secara teliti. Rencana itu menunjukkan dengan jelas bahawa orang Kristian langsung tidak akan melibatkan diri dalam peperangan dan konflik dunia Syaitan. Nasihat itu memang diberikan tepat pada masanya! Para pengikut Kristus telah dilindungi daripada pertumpahan darah yang mengotori tangan bangsa-bangsa yang terlibat dalam Perang Dunia Kedua. Namun, mulai tahun 1929, bahan bacaan kita juga menjelaskan bahawa pihak berkuasa yang dinyatakan di Roma 13:1 bukanlah pemerintah dunia, tetapi merujuk kepada Yehuwa dan Yesus. Oleh itu, penjelasan yang lebih tepat diperlukan.

24 Daya aktif Tuhan telah membimbing para pengikut Kristus agar memperoleh pandangan yang betul tentang hal ini pada tahun 1962. Rencana-rencana penting dalam The Watchtower terbitan 15 November dan 1 Disember telah membincangkan Roma 13:1-7. Akhirnya, umat Tuhan memahami prinsip yang penting di sebalik kata-kata Yesus: “Berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.” (Luk. 20:25) Kini, orang Kristian sejati faham bahawa “pihak berkuasa” merujuk kepada para pemerintah dunia, dan orang Kristian mesti taat kepada mereka, tetapi bukan secara mutlak. Semasa para penguasa menyuruh kita mengingkari perintah Tuhan Yehuwa, kita akan memberikan jawapan yang diberikan oleh para rasul: “Kami mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.” (Kis. 5:29) Bab 13 dan 14 akan menjelaskan dengan selanjutnya bagaimana umat Tuhan telah menerapkan prinsip keneutralan dalam kehidupan mereka.

Alangkah besarnya penghormatan yang diberikan kepada kita untuk memberitahu orang tentang harapan kehidupan kekal!

25. Adakah anda menghargai bimbingan daya aktif Tuhan? Jelaskan.

25 Pengikut Kristus telah diajar banyak kebenaran tentang Kerajaan Tuhan sepanjang abad yang lalu. Kita telah belajar bila Kerajaan Tuhan ditubuhkan di syurga dan betapa pentingnya Kerajaan itu. Kita sudah memahami dua harapan yang diberikan kepada umat Tuhan yang setia, iaitu harapan untuk pergi ke syurga dan harapan untuk tinggal di bumi. Kita juga tahu bagaimana kita harus menunjukkan kesetiaan kepada Kerajaan Tuhan di samping menunjukkan ketaatan secara relatif kepada penguasa dunia. Tanyalah diri anda, “Adakah saya akan mengetahui semua kebenaran ini jika Yesus Kristus tidak membimbing hambanya yang setia di bumi untuk memahami dan mengajarkan hal-hal tersebut?” Alangkah bersyukurnya kita kerana kita dibimbing oleh Kristus dan daya aktif Tuhan!

a Menurut sebuah karya rujukan, perkataan Yunani “membimbing” dalam ayat ini bermaksud “menunjukkan jalan.”

b Sebelum itu, penglihatan itu disangka merujuk kepada peperangan yang berlaku antara agama kafir Empayar Roma dengan pihak gereja Katolik Roma.

c Pada Jun 1880, Zion’s Watch Tower menyatakan bahawa 144,000 pemerintah merupakan orang Yahudi yang menjadi orang Kristian sejati menjelang tahun 1914. Namun, pada lewat tahun 1880, penjelasan yang lebih mirip dengan pemahaman kita sekarang telah diterbitkan.