Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 7

Kaedah Menginjil—Menggunakan Segala Cara untuk Menyampaikan Berita Baik

Kaedah Menginjil—Menggunakan Segala Cara untuk Menyampaikan Berita Baik

FOKUS BAB INI

Umat Tuhan menggunakan berbagai-bagai cara untuk menginjil agar dapat menyebarkan berita baik kepada seberapa ramai orang yang mungkin

1, 2. (a) Apakah yang dilakukan oleh Yesus agar dia dapat berucap kepada ramai orang? (b) Bagaimanakah pengikut Kristus yang setia telah meniru teladannya, dan mengapa?

 SEMASA Yesus berada di tepi tasik, orang ramai mengerumuninya. Maka dia menaiki sebuah perahu, dan perahu itu didayung sedikit jauh dari darat. Mengapakah dia berbuat demikian? Yesus tahu bahawa permukaan air dapat memantulkan suaranya. Dengan cara ini, orang ramai dapat mendengarnya dengan lebih jelas.​—Baca Markus 4:1, 2.

2 Puluhan tahun sebelum dan selepas kelahiran Kerajaan Tuhan, para pengikut Kristus yang setia telah meniru teladan Yesus. Mereka menggunakan teknik-teknik baru untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan kepada ramai orang. Di bawah pimpinan Raja Mesias, umat Tuhan terus membuat pembaharuan dan penyesuaian mengikut keadaan semasa dan perkembangan teknologi, kerana kita ingin menyampaikan berita baik kepada seberapa ramai orang yang mungkin sebelum akhir tiba. (Mat. 24:14) Mari kita bincangkan beberapa cara yang telah digunakan untuk menyebarkan berita baik kepada orang yang tinggal di berbagai-bagai tempat. Fikirkan juga bagaimana anda dapat meniru iman para penyebar masa lalu.

Menyampaikan Berita Baik kepada Ramai Orang

3. Bagaimanakah penggunaan surat khabar membuat musuh kebenaran berasa bengang?

3 Surat khabar. Sejak tahun 1879, majalah Watch Tower yang diterbitkan oleh Saudara Russell dan rakan-rakannya telah menyampaikan berita tentang Kerajaan Tuhan kepada ramai orang. Namun, 10 tahun sebelum tahun 1914, nampaknya Kristus telah mengambil tindakan supaya berita baik disebarkan dengan lebih meluas. Rangkaian peristiwa yang mencetuskan perkembangan itu telah bermula pada tahun 1903. Dr. E. L. Eaton, seorang jurucakap bagi sekumpulan pemimpin gereja Protestan di Pennsylvania, telah mencabar Charles Taze Russell untuk berdebat tentang ajaran-ajaran Bible di hadapan umum. Dalam suratnya kepada Russell, Eaton menulis, “Kita mempunyai pandangan yang berbeza tentang sesetengah soalan. . . . Pada pendapat saya, orang ramai akan sangat berminat jika kita mengadakan perdebatan umum tentang soalan-soalan ini.” Russell dan rakan-rakannya juga berpendapat bahawa orang ramai tentu akan berminat, maka mereka mengaturkan supaya siri perdebatan itu disiarkan dalam sebuah surat khabar utama yang dipanggil The Pittsburgh Gazette. Rencana-rencana yang disiarkan begitu popular, dan penjelasan Russell tentang kebenaran Bible begitu meyakinkan, sehingga syarikat surat khabar itu bercadang untuk menerbitkan khutbah Russell setiap minggu. Perkembangan itu pasti membuat musuh kebenaran berasa bengang.

Menjelang tahun 1914, terdapat lebih daripada 2,000 syarikat surat khabar yang menerbitkan khutbah-khutbah Russell

4, 5. Apakah sifat yang diperlihatkan oleh Russell, dan bagaimanakah saudara-saudara yang mengambil pimpinan dapat meniru teladannya?

4 Tidak lama selepas itu, lebih banyak syarikat surat khabar ingin menerbitkan khutbah Russell. Pada tahun 1908, Watch Tower telah melaporkan bahawa ceramahnya disiarkan dalam “11 surat khabar secara tetap.” Namun, saudara-saudara yang mengenal selok-belok bidang surat khabar memberitahu Russell bahawa rencana-rencana Bible sedemikian akan diterbitkan oleh lebih banyak syarikat jika pejabat Pertubuhan berpindah dari Pittsburgh ke sebuah kota yang lebih terkemuka. Setelah mempertimbangkan nasihat itu dan faktor-faktor lain, Russell telah memindahkan pejabat Pertubuhan ke Brooklyn, New York, pada tahun 1909. Apakah hasilnya? Dalam beberapa bulan sahaja, kira-kira 400 syarikat surat khabar mula menerbitkan khutbahnya, dan ada banyak syarikat lagi yang merancang untuk berbuat demikian. Semasa Kerajaan Tuhan diasaskan pada tahun 1914, ceramah dan rencana Russell diterbitkan dalam empat bahasa oleh lebih daripada 2,000 syarikat surat khabar!

5 Apakah yang dapat kita pelajari daripada perkembangan itu? Saudara-saudara yang mengambil pimpinan dalam organisasi Tuhan hari ini perlu meniru kerendahan hati Russell. Semasa membuat keputusan yang penting, mereka patut mempertimbangkan nasihat orang lain.​—Baca Amsal 15:22.

6. Bagaimanakah kebenaran yang diterbitkan dalam surat khabar mempengaruhi orang? Berikan satu contoh.

6 Kehidupan orang telah diubah setelah mereka membaca kebenaran tentang Kerajaan Tuhan dalam rencana-rencana surat khabar. (Ibr. 4:12) Rencana-rencana itu telah membantu ramai orang mengenal kebenaran. Sebagai contoh, Saudari Ora Hetzel yang dibaptis pada tahun 1917 berkata, “Selepas berkahwin, saya melawat ibu saya di Rochester, Minnesota. Setibanya di situ, saya mendapati ibu saya sedang menggunting rencana dalam surat khabar yang mengandungi khutbah Russell. Ibu menjelaskan apa yang telah dipelajarinya daripada rencana-rencana itu.” Ora menerima kebenaran yang dipelajari dan mengumumkan Kerajaan Tuhan dengan setia selama kira-kira 60 tahun.

7. Mengapakah saudara-saudara yang mengambil pimpinan tidak lagi menggunakan surat khabar?

7 Pada tahun 1916, saudara-saudara yang mengambil pimpinan telah menilai semula penggunaan surat khabar untuk menyebarkan berita baik. Terdapat dua peristiwa yang menyebabkan mereka berbuat demikian. Pertama, oleh sebab Perang Dunia Pertama sedang berlangsung, bahan-bahan untuk mencetak sukar diperoleh. Pada tahun 1916, saudara-saudara kita dari bahagian surat khabar di Britain membuat laporan berikut: “Buat masa sekarang, ada kira-kira 30 syarikat surat khabar yang menerbitkan ceramah [Russell]. Kemungkinan besar angka ini akan menurun secara mendadak tidak lama lagi kerana harga kertas kian melambung.” Peristiwa kedua ialah kematian Saudara Russell pada 31 Oktober 1916. The Watch Tower terbitan 15 Disember 1916 mengumumkan, “Memandangkan Saudara Russell sudah meninggal, khutbah-khutbah [dalam surat khabar] akan diberhentikan sepenuhnya.” Meskipun kaedah ini tidak lagi digunakan, cara-cara lain seperti tayangan “Drama-Foto Penciptaan” terus menuai hasil yang lumayan dalam kerja penyebaran.

8. Apakah usaha yang terlibat dalam penghasilan “Drama-Foto Penciptaan”?

8 Tayangan gambar dan video. Russell dan rakan-rakannya telah berusaha selama kira-kira tiga tahun untuk menghasilkan “Drama-Foto Penciptaan” yang dikeluarkan pada tahun 1914. (Ams. 21:5) Drama itu mengandungi filem, slaid kaca berwarna, dan rakaman bunyi. Beratus-ratus orang telah mengambil bahagian untuk melakonkan kisah Bible, bahkan haiwan-haiwan pun terlibat. Sebuah laporan pada tahun 1913 menyatakan, “Kebanyakan binatang dalam sebuah zoo yang besar telah digunakan untuk menghasilkan filem yang disertai rakaman bunyi tentang peranan Nuh dalam sejarah manusia.” Terdapat ratusan slaid kaca yang digunakan dalam drama itu, dan setiap satu daripadanya telah diwarnakan dengan cermat oleh para ahli seni di London, New York, Paris, dan Philadelphia.

9. Mengapakah begitu banyak masa dan perbelanjaan digunakan untuk menghasilkan “Drama-Foto”?

9 Mengapakah begitu banyak masa dan perbelanjaan digunakan untuk menghasilkan “Drama-Foto”? Sebuah resolusi yang diumumkan semasa siri konvensyen tahun 1913 menjelaskan, “Penggunaan kartun dan gambar dalam surat khabar Amerika terbukti sangat efektif untuk membentuk pandangan umum. Gambar wayang juga sangat popular dan merupakan cara baru untuk menyampaikan maklumat. Oleh itu, sebagai penginjil dan pengajar Bible yang sentiasa bergerak maju, kami percaya bahawa kami patut memberikan sokongan penuh kepada usaha menyediakan tayangan filem dan slaid sebagai alat yang berguna bagi para pengajar dan penginjil.”

Atas: Bilik projektor ”Drama-Foto”; bawah: Slaid-slaid kaca “Drama-Foto”

10. Jelaskan perkembangan “Drama-Foto” dari tahun 1914 hingga 1916.

10 Pada tahun 1914, “Drama-Foto” ditayangkan di 80 buah kota setiap hari. Hampir lapan juta orang di Amerika Syarikat dan Kanada telah menontonnya. Pada tahun yang sama, “Drama-Foto” ditayangkan di Australia, Britain, Denmark, Finland, Jerman, New Zealand, Norway, Sweden, dan Switzerland. Drama itu juga mempunyai versi mudah, yang tidak mengandungi gambar bergerak, untuk ditayangkan di pekan-pekan kecil. Versi itu, yang dipanggil “Drama Eureka,” lebih mudah diangkut ke merata tempat dan kos pengeluarannya lebih rendah. Pada tahun 1916, “Drama-Foto” dan “Drama Eureka” telah diterjemahkan ke dalam bahasa Armenia, Dano-Norway, Greek, Itali, Jerman, Perancis, Poland, Sepanyol, dan Sweden.

Pada tahun 1914, “Drama-Foto” telah ditayangkan di dewan besar yang penuh dengan orang

11, 12. Bagaimanakah tayangan “Drama-Foto” mempengaruhi seorang pemuda, dan apakah teladan baik yang disediakan olehnya?

11 “Drama-Foto” yang diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada Charles Rohner yang berusia 18 tahun. “Drama itu ditayangkan di pekan saya, iaitu Colmar yang terletak di Alsace, Perancis,” kata Charles. “Saya sangat kagum kerana dari mula lagi, tayangan itu menyampaikan kebenaran Bible dengan jelas.”

12 Hasilnya, Charles telah dibaptis, dan pada tahun 1922, dia menyertai khidmat sepenuh masa. Pada mulanya, salah satu tugasnya adalah untuk membantu menayangkan “Drama-Foto” di Perancis. Charles berkata, “Saya diberi beberapa tugasan: Memainkan violin, menjadi pembantu akaun, dan menjaga bahan bacaan. Saya juga disuruh memastikan hadirin senyap sebelum program bermula. Pada waktu rehat, kami akan menawarkan bahan bacaan. Seorang saudara atau saudari akan ditugaskan untuk menjaga satu bahagian dewan. Saudara atau saudari kita akan membawa selonggok bahan bacaan dan berjumpa dengan setiap orang dalam bahagiannya. Di pintu masuk dewan, kami juga menyediakan meja yang penuh dengan bahan bacaan.” Pada tahun 1925, Charles dijemput ke Bethel di Brooklyn, New York. Di situ, dia ditugaskan sebagai konduktor orkestra bagi stesen radio WBBR yang baru didirikan. Setelah membincangkan teladan Saudara Rohner, tanyalah diri anda, “Adakah saya rela menerima apa sahaja tugasan yang diberikan untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan?”​—Baca Yesaya 6:8.

13, 14. Bagaimanakah radio digunakan untuk menyebarkan berita baik? (Lihat juga kotak “ Rancangan-rancangan WBBR” dan kotak “ Sebuah Konvensyen yang Bersejarah.”)

13 Radio. Pada tahun 1920-an, keperluan untuk menayangkan “Drama-Foto Penciptaan” mula berkurang, tetapi radio mula digunakan secara meluas untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Pada 16 April 1922, Saudara Rutherford telah menyampaikan ceramahnya yang bertajuk “Jutaan Orang yang Hidup Sekarang Tidak akan Mati” di Rumah Opera Metropolitan yang terletak di Philadelphia, Pennsylvania. Ceramahnya yang bersejarah itu disiarkan dari situ, dan kira-kira 50,000 orang telah mendengarnya. Pada tahun 1923, program konvensyen telah disiarkan buat kali pertama. Selain daripada menggunakan stesen radio komersial, saudara-saudara yang mengambil pimpinan memutuskan bahawa adalah lebih baik jika kita mempunyai stesen radio sendiri. Maka, stesen yang didaftarkan sebagai WBBR telah dibina di Pulau Staten, New York. Siaran yang pertama telah dilakukan pada 24 Februari 1924.

 Pada tahun 1922, kira-kira 50,000 orang mendengar ceramah bertajuk “Jutaan Orang yang Hidup Sekarang Tidak akan Mati” melalui siaran radio

14 The Watch Tower terbitan 1 Disember 1924 menjelaskan tujuan stesen WBBR, “Kami percaya bahawa setakat ini, siaran radio merupakan cara yang paling menjimatkan dan berkesan untuk menyebarkan berita tentang kebenaran.” Majalah tersebut menyambung, “Jika Tuan kita ingin stesen-stesen radio lain dibina untuk menyebarkan kebenaran, Dia akan menyediakan wang yang diperlukan dengan caranya sendiri.” (Mzm. 127:1) Menjelang tahun 1926, umat Yehuwa memiliki enam stesen radio. Dua terletak di Amerika Syarikat: Stesen WBBR di New York dan stesen WORD berhampiran Chicago. Empat stesen yang lain terletak di Kanada, iaitu di Alberta, British Columbia, Ontario, dan Saskatchewan.

15, 16. (a) Apakah reaksi pemimpin gereja di Kanada terhadap siaran radio kita? (b) Bagaimanakah ceramah yang disiarkan di radio membantu kerja penyebaran dari rumah ke rumah?

15 Kebenaran Bible yang disiarkan secara meluas melalui radio telah menarik perhatian pihak gereja. Albert Hoffman (ahli-ahli sidangnya telah membina dan mengendalikan stesen radio di Saskatchewan, Kanada) berkata, “Semakin ramai orang mula mengenali Pelajar Bible [gelaran Saksi-Saksi Yehuwa pada masa itu]. Kesaksian yang berkesan telah diberikan sehingga tahun 1928. Di bawah desakan pihak gereja, para penguasa telah menarik balik lesen semua stesen radio Pelajar Bible di Kanada.”

16 Meskipun stesen radio kita di Kanada terpaksa ditutup, khutbah-khutbah Bible masih disiarkan melalui stesen radio komersial. (Mat. 10:23) The Watch Tower dan The Golden Age (kini Awake!) telah menyenaraikan nama stesen radio komersial yang menyiarkan khutbah Bible, supaya lebih ramai orang dapat mendengar kebenaran. Dengan demikian, penyiar yang menginjil dari rumah ke rumah dapat menggalakkan orang untuk mendengar khutbah-khutbah Bible melalui radio tempatan. Apakah hasil yang diperoleh? Bulletin terbitan Januari 1931 menyatakan, “Kerja penyebaran menerusi radio telah banyak membantu sahabat-sahabat kita dalam kerja penyebaran dari rumah ke rumah. Pejabat kita menerima banyak laporan bahawa ramai orang telah mendengar khutbah Saudara Rutherford yang disiarkan di radio dan sangat ingin menerima buku yang ditawarkan.” Bulletin menggambarkan siaran radio dan kerja penyebaran dari rumah ke rumah sebagai “dua sarana yang hebat dalam organisasi Tuan kita” untuk mengumumkan berita baik.

17, 18. Meskipun keadaan telah berubah, bagaimanakah radio terus digunakan?

17 Pada tahun 1930-an, kita menghadapi tentangan yang sengit dalam penggunaan stesen radio komersial. Memandangkan keadaan telah berubah, pada lewat tahun 1937, umat Yehuwa berhenti menggunakan siaran radio komersial dan memberikan lebih banyak tumpuan kepada kerja dari rumah ke rumah. a Meskipun begitu, siaran radio masih merupakan cara yang penting untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan di sesetengah negara atau kawasan yang susah dikunjungi. Sebagai contoh, dari tahun 1951 hingga 1991, sebuah stesen di Berlin Barat, Jerman, menyiarkan ceramah-ceramah Bible dengan tetap supaya mereka yang tinggal di Jerman Timur dapat mendengar berita baik. Sejak tahun 1961, sebuah stesen radio kebangsaan di Suriname, Amerika Selatan, telah menyiarkan program tentang kebenaran Bible. Program ini diadakan 15 minit setiap minggu selama lebih daripada 30 tahun. Dari tahun 1969 hingga 1977, organisasi kita menghasilkan lebih daripada 350 rakaman Bible bagi siri rancangan radio “Segenap Bible Bermanfaat.” Di Amerika Syarikat, rancangan ini disiarkan oleh 291 stesen di 48 negeri. Pada tahun 1996, sebuah stesen radio di Apia, ibu kota negara Samoa (di lautan Pasifik Selatan) menyiarkan rancangan mingguan yang bertajuk “Jawapan kepada Soalan Bible Anda.”

18 Apabila abad ke-20 melabuhkan tirainya, radio tidak lagi digunakan sebagai sarana utama untuk menyebarkan berita baik. Namun, kemunculan satu teknologi baru telah membolehkan berita baik disampaikan kepada orang yang tidak terhitung banyaknya.

19, 20. Mengapakah umat Yehuwa menciptakan laman Web jw.org, dan adakah penggunaan laman Web ini berkesan? (Lihat juga kotak “ JW.ORG.”)

19 Internet. Pada tahun 2013, terdapat lebih daripada 2.7 bilion orang, iaitu hampir 40 peratus penduduk dunia, yang menggunakan Internet. Menurut anggaran, kira-kira dua bilion orang menggunakan alat mudah alih seperti telefon pintar dan komputer jenis tablet untuk melayari Internet. Angka itu terus meningkat di seluas dunia, tetapi buat masa ini, pertambahan yang paling mendadak sedang berlaku di Afrika, yang mempunyai lebih daripada 90 juta langganan Internet mudah alih. Perkembangan sedemikian telah mengubah sepenuhnya cara ramai orang menerima maklumat.

20 Mulai tahun 1997, umat Yehuwa telah menggunakan Internet sebagai saluran maklumat. Pada tahun 2013, laman Web jw.org telah disediakan dalam kira-kira 300 bahasa, dan maklumat yang berdasarkan Bible dapat dimuat turun dalam lebih daripada 520 bahasa. Setiap hari, laman Web itu menerima lebih daripada 750,000 kunjungan. Setiap bulan, selain daripada menonton video, para pengguna juga telah memuat turun lebih daripada 3 juta buku, 4 juta majalah, dan 22 juta rakaman audio.

21. Apakah yang telah anda pelajari daripada pengalaman Sina?

21 Laman Web kita sangat berguna untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan, bahkan di negara-negara yang mengenakan sekatan ke atas kerja penyebaran kita. Sebagai contoh, pada awal tahun 2013, seorang lelaki yang bernama Sina mengunjungi laman Web jw.org dan menghubungi ibu pejabat sedunia yang terletak di Amerika Syarikat, kerana dia ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang Bible. Mengapakah contoh ini begitu istimewa? Sina berasal daripada sebuah kampung terpencil, dan di negaranya, kerja Saksi-Saksi Yehuwa diharamkan. Oleh sebab Sina menghubungi kita, aturan telah dibuat supaya dia dapat mempelajari Bible dua kali seminggu dengan seorang Saksi di Amerika Syarikat dengan menggunakan panggilan video Internet.

Mengajar Secara Individu

22, 23. (a) Adakah kaedah-kaedah yang digunakan untuk membawa berita baik kepada ramai orang menggantikan kerja penyebaran dari rumah ke rumah? (b) Bagaimanakah usaha kita diberkati oleh Raja kita?

22 Surat khabar, “Drama-Foto,” siaran radio, dan laman Web kita dapat membawa berita baik kepada ramai orang, tetapi semua kaedah ini tidak dapat menggantikan kerja penyebaran dari rumah ke rumah. Mengapa? Kerana umat Yehuwa mengikut teladan Yesus. Dia mengajar kumpulan orang ramai, tetapi tumpuannya lebih kepada membantu orang secara individu. (Luk. 19:1-5) Yesus juga melatih murid-muridnya untuk melakukan hal yang sama, dan dia mengajar mereka apa yang harus dikhabarkan. (Baca Lukas 10:1, 8-11.) Seperti yang dibincangkan di Bab 6, saudara-saudara yang mengambil pimpinan sentiasa menggalakkan setiap hamba Yehuwa agar bertemu dengan orang dan memberitahu mereka tentang berita baik.​—Kis. 5:42; 20:20.

23 Seratus tahun selepas kelahiran Kerajaan Tuhan, lebih daripada 7.9 juta orang penyiar sedang bergiat aktif dalam kerja mengajar orang tentang tujuan Tuhan. Maka jelaslah bahawa Raja kita telah memberkati kaedah-kaedah yang kita gunakan untuk mengumumkan Kerajaan Tuhan. Bab yang berikutnya akan menunjukkan bagaimana dia telah memberi kita alat-alat bantuan yang diperlukan untuk menyebarkan berita baik kepada setiap bangsa, suku, dan bahasa.​—Why. 14:6.

a Pada tahun 1957, saudara-saudara yang mengambil pimpinan memutuskan untuk menutup stesen WBBR di New York. Itulah stesen radio kita yang terakhir.