Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 10

Raja Mesias Memurnikan Umatnya Secara Rohani

Raja Mesias Memurnikan Umatnya Secara Rohani

FOKUS BAB INI

Sebab dan cara Yesus memurnikan dan menyucikan para pengikutnya

1-3. Apakah yang dilakukan oleh Yesus apabila dia mendapati bahawa Rumah Tuhan dicemari orang?

 YESUS mempunyai hormat yang mendalam terhadap Rumah Tuhan yang terletak di Yerusalem kerana dia tahu bahawa Rumah Tuhan sudah lama menjadi pusat ibadat sejati di bumi. Namun ibadat sejati mesti murni dan suci kerana Tuhan Yehuwa ialah Tuhan yang suci. Bayangkan perasaan Yesus semasa dia mengunjungi Rumah Tuhan pada 10 Nisan 33 M dan mendapati tempat suci itu dicemari. Apakah yang telah berlaku?​—Baca Matius 21:12, 13.

2 Di Halaman Orang Bukan Yahudi, para peniaga dan penukar wang yang tamak sedang mengambil kesempatan ke atas para penyembah yang datang untuk memberikan persembahan kepada Yehuwa. a Yesus “mengusir semua orang yang berjual beli di sana” dan “menterbalikkan meja para penukar wang.” (Bandingkan Nehemia 13:7-9.) Dia mencela mereka yang tamak itu kerana menjadikan rumah Bapanya “sarang perompak.” Tindakan Yesus menunjukkan bahawa dia menghormati Rumah Tuhan dan Tuhan yang disembah di situ. Kesucian ibadat Bapanya mesti dipertahankan!

3 Hampir dua ribu tahun kemudian, setelah Yesus ditabalkan sebagai Raja Mesias, dia membersihkan Rumah Tuhan sekali lagi, dan tindakannya kali ini mempengaruhi semua orang yang ingin menyembah Yehuwa dengan cara yang diperkenankan-Nya. Rumah Tuhan apakah yang dibersihkan oleh Yesus?

Memurnikan “Para Imam”

4, 5. (a) Bagaimanakah kaum terurap dimurnikan dan disucikan dari tahun 1914 hingga awal 1919? (b) Adakah pemurnian dan penyucian rohani berakhir di situ sahaja? Jelaskan.

4 Bab 2 telah menunjukkan bahawa selepas penabalan Yesus pada tahun 1914, dia datang bersama Bapanya untuk memeriksa Rumah Rohani Tuhan, iaitu aturan untuk ibadat sejati. b Setelah membuat pemeriksaan, Raja Mesias mendapati bahawa orang Kristian terurap, iaitu “para imam,” perlu dimurnikan dan disucikan dalam beberapa hal. (Mal. 3:1-3) Dari tahun 1914 hingga awal tahun 1919, Yehuwa telah memurnikan dan menyucikan umat-Nya dengan mengizinkan mereka mengharungi pelbagai cubaan dan kesusahan. Orang Kristian terurap itu berjaya mengharungi dugaan-dugaan yang bagaikan api. Hasilnya, mereka menjadi lebih murni dan bersedia memberikan sokongan kepada Raja Mesias!

5 Adakah pemurnian dan penyucian rohani berakhir di situ sahaja? Tidak. Sepanjang hari-hari terakhir, Yehuwa menggunakan Raja Mesias untuk terus membantu para pengikutnya agar tetap bersih secara rohani. Dengan demikian, mereka dapat tetap berada dalam Rumah Rohani Tuhan. Dua bab yang berikutnya akan membincangkan bagaimana Yesus telah memurnikan mereka dari segi moral dan bagaimana dia telah memurnikan aturan organisasi mereka. Mula-mula, mari kita bincangkan bagaimana Yesus memurnikan orang Kristian dari segi rohani. Sesetengah cara yang digunakannya jelas kelihatan, manakala yang lain berlaku di sebalik tabir. Apabila kita mengkaji apa yang telah dilakukan oleh Yesus, iman kita akan dikuatkan.

“Sucikanlah Diri Kamu”

6. Bagaimanakah perintah Yehuwa kepada orang Yahudi yang bakal meninggalkan kota Babilon membantu kita untuk memahami maksud bersih secara rohani?

6 Apakah maksud bersih secara rohani? Untuk mengetahui jawapannya, mari kita kaji kata-kata Yehuwa kepada orang Yahudi yang bakal meninggalkan Babilon pada tahun 537 SM. (Baca Yesaya 52:11.) Tujuan utama mereka kembali ke Yerusalem adalah untuk membina semula Rumah Tuhan dan memulihkan ibadat sejati. (Ezr. 1:2-4) Yehuwa tidak mahu umat-Nya membawa kembali sebarang unsur agama Babilon. Perhatikanlah perintah-perintah Tuhan kepada mereka: “Tinggalkanlah Babilonia,” “janganlah sentuh apa-apa yang najis,” dan “sucikanlah diri kamu.” Ibadat Yehuwa yang murni tidak boleh dicemari ibadat palsu. Oleh itu, bersih secara rohani bermaksud kita mesti bebas daripada ajaran dan amalan agama palsu.

7. Siapakah yang dilantik oleh Yesus untuk membantu pengikutnya agar tetap bersih dari segi rohani?

7 Tidak lama selepas Yesus ditabalkan sebagai Raja, dia melantik hamba yang setia dan bijaksana pada tahun 1919 untuk membantu pengikutnya agar mereka tetap bersih secara rohani. Hamba yang dilantik ini mudah untuk dikenal pasti. (Mat. 24:45) Pada tahun 1919, Pelajar Bible sudah pun membersihkan diri mereka daripada banyak ajaran agama palsu, tetapi mereka masih perlu dimurnikan lagi. Melalui hambanya yang setia, Kristus beransur-ansur memberi para pengikutnya pemahaman yang lebih jelas tentang perayaan dan amalan yang perlu dihentikan. (Ams. 4:18) Mari kita perhatikan beberapa contoh.

Patutkah Orang Kristian Merayakan Krismas?

8. Apakah yang sudah lama diakui oleh Pelajar Bible tentang Krismas, tetapi mereka tidak sedar akan hal apa?

8 Pelajar Bible sudah lama mengakui bahawa Krismas berasal daripada agama kafir dan Yesus tidak dilahirkan pada 25 Disember. Zion’s Watch Tower terbitan Disember 1881 menyatakan, “Berjuta-juta orang penganut Kafir telah dibawa masuk ke dalam gereja. Namun, kebanyakan perubahan itu dari segi nama sahaja. Pendeta-pendeta kafir digelar paderi Kristian, dan perayaan kafir diberikan nama Kristian. Salah satu contohnya ialah Krismas.” Pada tahun 1883, rencana Watch Tower yang bertajuk “Bilakah Yesus Lahir?” menjelaskan bahawa Yesus dilahirkan sekitar awal bulan Oktober. c Meskipun begitu, Pelajar Bible pada masa itu tidak sedar bahawa mereka harus berhenti menyambut Krismas. Bahkan anggota keluarga Bethel di Brooklyn juga menyambut Krismas. Namun, keadaan itu telah berubah selepas tahun 1926. Apakah sebabnya?

9. Apakah yang akhirnya disedari oleh Pelajar Bible tentang perayaan Krismas?

9 Setelah mengkaji perkara itu dengan lebih teliti, Pelajar Bible sedar bahawa asal usul Krismas dan amalan yang berkaitan dengannya sebenarnya mengaibkan Tuhan. Rencana yang bertajuk “Asal Usul Krismas” dalam majalah The Golden Age terbitan 14 Disember 1927 menyatakan bahawa Krismas merupakan perayaan kafir, mengutamakan nafsu, dan melibatkan penyembahan berhala. Dengan jelas, rencana itu menunjukkan bahawa Kristus tidak menyuruh para pengikutnya untuk merayakan Krismas. Kemudian, rencana itu membuat kesimpulan berikut: “Dunia ini dan manusia yang tidak sempurna serta Si Iblis menyokong perayaan tersebut. Itulah bukti yang paling kukuh untuk menunjukkan bahawa perayaan ini tidak wajar disambut oleh orang yang membaktikan diri dengan sepenuhnya kepada Yehuwa.” Tidak hairanlah bahawa perayaan Krismas pada tahun itu tidak disambut, dan sejak masa itu, keluarga Bethel tidak menyambut Krismas lagi.

10. (a) Bagaimanakah asal usul Krismas didedahkan dengan lebih menyeluruh lagi pada bulan Disember 1928? (Lihat juga kotak “ Krismas, Asal Usulnya dan Tujuannya.”) (b) Bagaimanakah umat Tuhan dibantu untuk memahami bahawa terdapat sambutan dan perayaan lain yang juga harus dijauhi? (Lihat kotak “ Mendedahkan Sambutan dan Perayaan Lain.”)

10 Pada tahun yang berikutnya, asal usul Krismas didedahkan dengan lebih menyeluruh lagi. Pada 12 Disember 1928, Saudara Richard H. Barber, yang bekerja di ibu pejabat, memberikan sebuah ceramah yang disiarkan menerusi radio. Ceramah itu mendedahkan asal usul perayaan tersebut yang menjijikkan. Apakah reaksi umat Tuhan setelah mendengar arahan yang jelas daripada ibu pejabat tentang hal itu? Semasa menceritakan perasaan dia dan ahli keluarganya ketika mereka berhenti menyambut Krismas, Saudara Charles Brandlein berkata, “Adakah kami keberatan untuk meninggalkan perayaan kafir itu? Langsung tidak! . . . Kami berasa hal itu seperti menanggalkan pakaian yang kotor dan membuangnya sahaja.” Saudara Henry A. Cantwell yang kemudiannya menjadi penyelia lawatan juga berkata, “Kami gembira kerana dapat mengorbankan sesuatu untuk membuktikan kasih kami terhadap Yehuwa.” Para pengikut Kristus yang setia rela membuat perubahan yang diperlukan. Mereka tidak mahu terlibat dalam perayaan yang berasal daripada agama palsu. d​—Yoh. 15:19; 17:14.

11. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menyokong Raja Mesias?

11 Para Pelajar Bible yang setia itu memang menyediakan teladan yang baik! Sambil merenungkan teladan mereka, tanyalah diri sendiri, “Apakah pandangan saya terhadap arahan yang diberikan oleh hamba yang setia? Adakah saya menerimanya dengan syukur dan menerapkan apa yang dipelajari?” Kerelaan kita untuk mematuhi arahan menunjukkan bahawa kita menyokong Raja Mesias, yang menggunakan hamba yang setia untuk mengedarkan makanan rohani pada waktu yang sesuai.​—Kis. 16:4, 5.

Haruskah Orang Kristian Menggunakan Salib?

Lambang salib dan mahkota (Lihat perenggan 12 dan 13)

12. Selama bertahun-tahun, apakah pandangan Pelajar Bible terhadap salib?

12 Selama bertahun-tahun, Pelajar Bible menganggap salib sebagai lambang agama Kristian. Mereka tahu bahawa salib tidak patut dipuja, kerana mereka sedar bahawa penyembahan berhala itu salah. (1 Kor. 10:14; 1 Yoh. 5:21) Pada tahun 1883, majalah Watch Tower sudah pun menyatakan bahawa “semua bentuk penyembahan berhala dibenci oleh Tuhan.” Namun pada mulanya, Pelajar Bible berpendapat bahawa mereka boleh menggunakan salib dalam cara tertentu. Contohnya, mereka berasa bangga untuk memakai lencana yang berbentuk salib dan mahkota sebagai tanda pengenal. Bagi mereka, lencana itu mengingatkan mereka bahawa jika mereka terbukti setia sampai mati, mereka akan mendapat mahkota kehidupan. Mulai tahun 1891, simbol salib dan mahkota tertera di muka depan majalah Watch Tower.

13. Bagaimanakah para pengikut Kristus diberi pemahaman yang lebih jelas tentang penggunaan salib? (Lihat juga kotak “ Pemahaman yang Semakin Jelas tentang Penggunaan Salib.”)

13 Pelajar Bible sangat menyukai lambang salib dan mahkota. Namun, mulai lewat tahun 1920-an, para pengikut Kristus beransur-ansur diberi pemahaman yang lebih jelas tentang penggunaan salib. Mengenai perhimpunan yang diadakan di Detroit, Michigan, A.S., pada tahun 1928, Saudara Grant Suiter yang kemudiannya berkhidmat sebagai ahli Badan Pimpinan berkata, “Perhimpunan itu menunjukkan bahawa lambang salib dan mahkota bukan sahaja tidak diperlukan, malah salah dalam pandangan Tuhan.” Pemahaman tentang hal itu menjadi semakin jelas pada tahun-tahun berikutnya. Tidak dapat disangkal lagi bahawa penggunaan salib tidak dialu-alukan dalam ibadat yang suci dan murni.

14. Apakah reaksi umat Tuhan setelah beransur-ansur memahami kebenaran tentang salib?

14 Apakah reaksi umat Tuhan setelah beransur-ansur memahami kebenaran tentang salib? Adakah mereka masih menggunakan lambang salib dan mahkota yang begitu berharga bagi mereka selama ini? Lela Roberts, seorang saudari yang telah lama menyembah Yehuwa, berkata, “Apabila kami sedar apa yang dilambangkan oleh salib, mudah sahaja untuk meninggalkannya.” Seorang saudari yang bernama Ursula Serenco telah mengungkapkan perasaan ramai orang. Dia berkata, “Akhirnya kami sedar bahawa lambang yang kami anggap sebagai tanda kematian Tuan kami dan pembaktian Kristian kami sebenarnya simbol kafir. Seperti yang dicatatkan di Amsal 4:18, kami bersyukur kerana jalan kami menjadi semakin terang.” Para pengikut Kristus yang setia langsung tidak mahu terlibat dalam apa-apa amalan yang berunsurkan agama palsu!

15, 16. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita bertekad untuk mengekalkan kebersihan halaman Rumah Rohani Yehuwa di bumi?

15 Itulah tekad kita hari ini. Kita tahu bahawa Kristus sedang menggunakan hamba yang setia dan bijaksana untuk membantu rakyatnya agar tetap bersih secara rohani. Oleh itu, apabila kita menerima makanan rohani yang mengingatkan kita tentang sambutan, amalan, atau adat yang dicemari agama palsu, kita akan segera mematuhi arahan itu. Seperti saudara saudari kita yang hidup pada awal kehadiran Kristus, kita bertekad untuk menjaga kebersihan halaman Rumah Rohani Yehuwa di bumi.

16 Sepanjang hari-hari terakhir, Kristus juga telah bekerja di sebalik tabir untuk melindungi sidang Kristian daripada individu-individu yang mungkin mencemari umat Tuhan secara rohani. Bagaimanakah dia berbuat demikian? Mari kita perhatikan.

“Memisahkan Orang Jahat daripada Orang Baik”

17, 18. Dalam perumpamaan Yesus, apakah erti (a) pukat yang dilabuhkan, (b) “mendapat bermacam-macam ikan,” (c) menyimpan ikan yang baik di dalam bekas, dan (d) membuang ikan yang tidak sesuai?

17 Raja Yesus Kristus sentiasa memantau keadaan sidang umat Tuhan di serata dunia. Dengan cara yang tidak dapat kita fahami dengan sepenuhnya, Kristus dan para malaikat sedang melakukan kerja pemisahan. Yesus telah menggambarkan kerja ini dalam perumpamaannya tentang pukat. (Baca Matius 13:47-50.) Apakah erti perumpamaan ini?

Pukat melambangkan kerja penyebaran tentang Kerajaan Tuhan yang dijalankan dalam kalangan lautan manusia (Lihat perenggan 18)

18 “Pukat yang dilabuhkan ke dalam laut.” Pukat itu melambangkan kerja penyebaran tentang Kerajaan Tuhan yang dijalankan dalam kalangan lautan manusia. “Mendapat bermacam-macam ikan.” Berita baik menarik minat bermacam-macam orang. Ada antara mereka yang berusaha menjadi orang Kristian sejati, manakala yang lain tidak berpegang teguh pada ibadat sejati meskipun mereka mungkin menunjukkan minat pada mulanya. e “Menyimpan ikan yang baik di dalam bekas.” Orang yang berhati jujur dikumpulkan ke dalam sidang, yang bagaikan bekas. Di dalam sidang, mereka dapat menyembah Yehuwa dengan cara yang murni. “Membuang ikan yang tidak sesuai.” Sepanjang hari-hari terakhir, Kristus dan para malaikat sedang “memisahkan orang jahat daripada orang baik.” f Oleh itu, orang yang sifatnya tidak sesuai, iaitu orang yang mungkin enggan mengikis kepercayaan atau amalan yang salah, tidak diizinkan untuk mencemari sidang. g

19. Apakah perasaan anda tentang apa yang telah dilakukan oleh Kristus selama ini untuk mengekalkan kebersihan rohani umat Tuhan dan kemurnian ibadat sejati?

19 Tidakkah kita berasa gembira setelah mengetahui bahawa Raja kita, Yesus Kristus, sentiasa melindungi orang yang dipercayakan kepadanya? Tidakkah kita berasa lega hati setelah mengetahui bahawa dia memurnikan dan melindungi ibadat sejati dan para penyembah sejati dengan kesungguhan yang sama seperti pada masa dia membersihkan Rumah Tuhan pada abad pertama Masihi? Kita sangat bersyukur kerana Kristus telah mengambil tindakan untuk memelihara kebersihan rohani umat Tuhan dan mempertahankan ibadat yang murni! Sebagai orang yang menyokong Raja Mesias dan Kerajaannya, marilah kita mengelakkan sebarang hubungan dengan agama palsu!

a Mata wang yang tertentu harus digunakan untuk membayar cukai tahunan Rumah Tuhan. Maka para pengunjung perlu membayar penukar wang untuk menukar duit syiling asing mereka. Selain itu, mereka mungkin perlu membeli binatang untuk persembahan. Yesus memanggil para pedagang itu “perompak,” kerana mereka mungkin telah mengenakan bayaran yang melampau untuk perkhidmatan atau barangan mereka.

b Umat Yehuwa beribadat di halaman Rumah Rohani-Nya di bumi.

c Rencana ini menyatakan bahawa kisah tentang kelahiran Yesus pada musim sejuk “tidak sejajar dengan catatan tentang para gembala yang berada di luar bersama kawanan biri-biri mereka.”​—Luk. 2:8.

d Dalam surat peribadinya yang bertarikh 14 November 1927, Saudara Frederick W. Franz menulis, “Kita tidak akan menyambut Krismas tahun ini. Keluarga Bethel sudah memutuskan untuk tidak menyambut Krismas lagi.” Beberapa bulan kemudian, dalam surat yang bertarikh 6 Februari 1928, Saudara Franz menulis, “Sedikit demi sedikit, Tuan kita sedang membersihkan kita daripada kesalahan yang berasal daripada organisasi Babilon yang diketuai oleh Iblis.”

e Sebagai contoh, pada tahun 2013, angka tertinggi bagi jumlah penyiar adalah sebanyak 7,965,954 orang, manakala terdapat 19,241,252 orang yang menghadiri sambutan Peringatan kematian Kristus.

f Kerja memisahkan ikan yang baik daripada ikan yang tidak sesuai berbeza daripada kerja memisahkan biri-biri daripada kambing. (Mat. 25:31-46) Kerja memisahkan biri-biri daripada kambing, iaitu penghakiman terakhir, akan berlaku semasa kesengsaraan besar yang bakal tiba. Sebelum masa itu, orang yang bagaikan ikan yang tidak sesuai masih dapat kembali kepada Yehuwa dan dikumpulkan ke dalam sidang yang bagaikan bekas.​—Mal. 3:7.

g Akhirnya, orang yang sifatnya tidak sesuai akan dibuang ke dalam relau berapi, yang melambangkan kemusnahan mereka pada masa depan.