Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 15

Memperjuangkan Kebebasan Beragama

Memperjuangkan Kebebasan Beragama

FOKUS BAB INI

Kristus membantu pengikutnya berjuang untuk mendapatkan pengiktirafan undang-undang dan mempertahankan hak untuk mematuhi hukum Tuhan

1, 2. (a) Apakah yang membuktikan bahawa anda merupakan rakyat Kerajaan Tuhan? (b) Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa kadangkala perlu berjuang demi kebebasan beragama?

 ADAKAH anda rakyat Kerajaan Tuhan? Sudah tentu! Kerana anda ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Apakah yang membuktikan bahawa anda ialah rakyat Kerajaan Tuhan? Buktinya bukanlah kad pengenalan ataupun dokumen-dokumen lain. Sebaliknya, buktinya ialah cara anda menyembah Tuhan Yehuwa. Ibadat sejati bukan sahaja merangkumi kepercayaan anda, tetapi juga merangkumi perbuatan anda. Hal ini bermaksud kita mesti mematuhi undang-undang Kerajaan Tuhan dalam segala aspek kehidupan kita, termasuk cara kita menjaga keluarga dan cara kita memandang isu kesihatan.

2 Namun, orang di dunia ini sering kali tidak menghormati kewarganegaraan kita ataupun undang-undang Kerajaan Tuhan. Sesetengah kerajaan telah mencuba untuk melarang ibadat kita dan bahkan mahu menghapuskannya sama sekali. Ada kalanya, rakyat Yesus terpaksa mempertahankan kebebasan mereka untuk hidup menurut hukum Raja Mesias. Adakah hal ini sesuatu yang baru? Tidak. Umat Yehuwa pada zaman Alkitab sering memperjuangkan kebebasan mereka untuk menyembah Yehuwa.

3. Apakah yang berlaku pada zaman Permaisuri Ester?

3 Perhatikan kisah Permaisuri Ester. Umat Tuhan pada zamannya harus berjuang untuk hidup. Mengapa? Haman, Perdana Menteri Persia, telah mencadangkan kepada Raja Ahasyweros agar semua orang Yahudi di negaranya dibunuh kerana hukum-hukum orang Yahudi berlainan sekali dengan hukum-hukum bangsa lain. (Est. 3:8, 9, 13) Adakah Yehuwa mengabaikan hamba-hamba-Nya? Tidak, Dia memberkati tindakan Ester dan Mordekai kerana mereka berani memohon kepada raja Persia agar melindungi umat Tuhan.​—Est. 9:20-22.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam bab ini?

4 Bagaimana pula dengan zaman moden? Seperti yang telah kita pelajari dalam bab yang sebelumnya, kadangkala pihak pemerintah menentang Saksi-Saksi Yehuwa. Dalam bab ini kita akan melihat beberapa cara yang digunakan oleh pemerintah untuk menyekat ibadat kita. Kita akan menumpukan perhatian pada tiga hal: (1) Hak kita untuk diiktiraf sebagai pertubuhan yang sah di sisi undang-undang, dan hak untuk menjalankan ibadat mengikut cara yang kita pilih, (2) kebebasan untuk memilih rawatan perubatan yang selaras dengan prinsip Bible, dan (3) hak ibu bapa untuk membesarkan anak mereka menurut prinsip Yehuwa. Kita akan melihat bagaimana rakyat Kerajaan Mesias yang setia telah berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk melindungi kewarganegaraan mereka dalam ketiga-tiga hal itu. Kita juga akan melihat bagaimana usaha mereka diberkati.

Perjuangan Menuntut Pengiktirafan Undang-undang dan Kebebasan Asasi

5. Mengapakah pengiktirafan undang-undang bermanfaat bagi orang Kristian sejati?

5 Adakah kita memerlukan pengiktirafan daripada kerajaan manusia untuk menyembah Yehuwa? Tidak, tetapi pengiktirafan sedemikian memudahkan ibadat kita. Contohnya, jika kita mempunyai pengiktirafan undang-undang, kita tidak akan menghadapi halangan untuk berhimpun di dalam Dewan Perjumpaan dan Dewan Perhimpunan sendiri, mencetak dan mengimport bahan bacaan Bible, dan menyebarkan berita baik kepada semua orang secara terbuka. Di banyak negara, Saksi-Saksi Yehuwa didaftarkan sebagai agama yang sah di sisi undang-undang dan mempunyai kebebasan yang sama dengan agama berdaftar yang lain. Namun, apakah yang berlaku jika kerajaan enggan mengiktiraf kita atau mencuba mengekang kebebasan asasi kita?

6. Apakah cabaran yang dihadapi oleh Saksi-Saksi Yehuwa di Australia pada awal tahun 1940-an?

6 Australia. Pada awal tahun 1940-an, gabenor jeneral Australia menganggap kepercayaan kita dapat mengancam usaha perang. Maka, kegiatan Saksi-Saksi diharamkan. Para Saksi tidak dapat menghadiri perjumpaan atau menginjil secara terbuka. Kerja di Bethel telah dihentikan, dan Dewan Perjumpaan telah dirampas. Sesiapa pun tidak dibenarkan memiliki bahan bacaan Bible kita. Saksi-Saksi Yehuwa di Australia terus menjalankan kegiatan rohani mereka secara rahsia selama beberapa tahun. Akhirnya pada 14 Jun 1943, Mahkamah Tinggi Australia menarik balik larangan tersebut.

7, 8. Ceritakan bagaimana saudara saudari kita di Rusia telah berjuang untuk mempertahankan kebebasan beragama.

7 Rusia. Kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa telah dilarang oleh pihak Komunis selama puluhan tahun. Namun, Saksi-Saksi Yehuwa telah didaftarkan pada tahun 1991. Selepas Kesatuan Soviet dibubarkan, kita mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Rusia pada tahun 1992. Beberapa lama kemudian, pertambahan pesat Saksi-Saksi menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan para penentang, terutamanya ahli-ahli Gereja Ortodoks Rusia. Dari tahun 1995 hingga tahun 1998, penentang kita telah mengemukakan lima aduan jenayah untuk mendakwa Saksi-Saksi Yehuwa. Setiap kali, pendakwa tidak menemui apa-apa bukti yang menunjukkan kesalahan Saksi-Saksi. Kemudian pada tahun 1998, penentang kita memfailkan aduan awam. Pada mulanya, Saksi-Saksi mendapat kemenangan tetapi para penentang menolak keputusan mahkamah. Selepas mereka mengemukakan rayuan, Saksi-Saksi telah kalah pada bulan Mei 2001. Kes itu dibicarakan semula pada bulan Oktober, dan pada tahun 2004, mahkamah memutuskan untuk membubarkan pertubuhan Saksi-Saksi di Moscow dan mengharamkan kegiatan mereka.

8 Kemudian, penganiayaan dilancarkan secara bertubi-tubi. (Baca 2 Timotius 3:12.) Saksi-Saksi diganggu dan diserang. Bahan bacaan mereka dirampas dan mereka tidak dibenarkan untuk menyewa atau membina bangunan ibadat. Bayangkan perasaan saudara saudari kita semasa menghadapi semua kesusahan itu! Pada tahun 2001, Saksi-Saksi telah merayu kepada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR), dan pada tahun 2004, mereka memberikan maklumat tambahan kepada ECHR. Pada tahun 2010, ECHR membuat kata putus. ECHR jelas sekali dapat melihat bahawa sikap tidak bertoleransi terhadap agama merupakan sebabnya kerajaan Rusia melarang kegiatan Saksi-Saksi. ECHR juga menyimpulkan bahawa keputusan mahkamah Rusia tidak wajar disokong kerana tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa Saksi-Saksi bersalah. Selain itu, ECHR menyatakan bahawa larangan yang dikenakan adalah bertujuan untuk melucutkan hak asasi Saksi-Saksi. Keputusan ECHR mendukung hak Saksi-Saksi dalam soal kebebasan beragama. Walaupun beberapa pihak berkuasa Rusia tidak mahu menuruti keputusan ECHR, kemenangan sedemikian telah menggalakkan dan menabahkan umat Tuhan di negara itu.

Titos Manoussakis (Lihat perenggan 9)

9-11. Di Greece, apakah pergelutan yang dilalui oleh umat Yehuwa agar mereka dapat berhimpun untuk menyembah Tuhan? Apakah hasilnya?

9 Greece. Pada tahun 1983, Saudara Titos Manoussakis menyewa sebuah bilik di Heraklion, Crete, supaya sekumpulan kecil Saksi-Saksi Yehuwa dapat berkumpul dan mengadakan perjumpaan di situ. (Ibr. 10:24, 25) Tidak lama kemudian, seorang paderi Ortodoks membuat aduan kepada pihak kerajaan kerana ingin membantah Saksi-Saksi menggunakan bilik itu untuk tujuan ibadat. Mengapa? Alasannya semata-mata kerana kepercayaan Saksi-Saksi berbeza dengan kepercayaan Gereja Ortodoks! Pihak berkuasa telah mengambil tindakan undang-undang ke atas Titos Manoussakis dan tiga orang Saksi tempatan yang lain. Mereka telah didenda dan dijatuhkan hukuman penjara selama dua bulan. Sebagai rakyat Kerajaan Tuhan yang setia, para Saksi menganggap bahawa keputusan mahkamah mencabuli hak mereka untuk beribadat. Maka, mereka membawa kes mereka ke mahkamah domestik dan akhirnya mengemukakan rayuan kepada ECHR.

10 Pada tahun 1996, ECHR telah memberikan satu tamparan yang hebat kepada para penentang ibadat sejati. Mahkamah menyatakan bahawa “menurut undang-undang Greece, Saksi-Saksi Yehuwa tergolong sebagai ‘agama yang dikenali.’” Mahkamah juga menyatakan bahawa keputusan yang dibuat oleh mahkamah rendah secara langsung mencabuli kebebasan beragama Saksi-Saksi. Mahkamah juga mendapati bahawa kerajaan Greece tidak berhak “menentukan sama ada kepercayaan agama atau cara yang digunakan untuk menjalankan dan menyatakan kepercayaan agama itu betul atau tidak.” Hukuman yang dijatuhkan ke atas Saksi-Saksi dibatalkan, dan kebebasan mereka untuk beribadat telah dijunjung!

11 Adakah kemenangan itu mengakhiri masalah-masalah di Greece? Sayang sekali, tidak. Pada tahun 2012, kes yang serupa telah diselesaikan di Kassandreia, Greece, selepas perjuangan yang berlanjutan hampir 12 tahun lamanya. Dalam kes itu, tentangan yang dihadapi telah berpunca daripada seorang uskup gereja Ortodoks. Mahkamah tertinggi di Greece telah membuat keputusan yang berpihak kepada umat Tuhan. Keputusan itu telah dibuat berdasarkan perlembagaan negara Greece yang menjamin kebebasan beragama. Walaupun Saksi-Saksi Yehuwa sering dituduh sebagai agama yang tidak dikenali, keputusan itu telah menyangkal tuduhan tersebut. Mahkamah menyatakan lagi, “Ajaran ‘Saksi-Saksi Yehuwa’ bukanlah sesuatu yang dirahsiakan, maka agama mereka ialah agama yang dikenali.” Kini, ahli-ahli sidang di Kassandreia bersukacita kerana mereka dapat menyembah Tuhan di Dewan Perjumpaan sendiri.

12, 13. Di Perancis, bagaimanakah para penentang mencuba menggunakan ‘undang-undang yang tidak adil untuk menindas umat Tuhan’? Apakah hasilnya?

12 Perancis. Beberapa penentang kebenaran menggunakan undang-undang untuk menindas umat Tuhan. (Baca Yesaya 10:1.) Sebagai contoh, pada pertengahan tahun 1990-an, jabatan cukai di Perancis mula mengaudit akaun Association Les Témoins de Jéhovah (ATJ), sebuah pertubuhan Saksi-Saksi Yehuwa di Perancis. Seorang menteri telah mendedahkan tujuan sebenar audit itu: “Audit yang bakal dijalankan dapat menyebabkan pertubuhan itu dibubarkan atau didakwa atas kesalahan jenayah . . . Kemungkinan besar, hal ini akan menyekat operasi perbadanan itu atau menghentikan kegiatannya di negara kita.” Walaupun selepas akaun diaudit dan didapati tidak mempunyai kesilapan, jabatan cukai telah menuntut ATJ untuk membayar kadar cukai yang sangat tinggi. Jika tuntutan cukai itu diluluskan, saudara-saudara kita terpaksa menutup pejabat cawangan dan menjual semua bangunan untuk melangsaikan cukai itu. Namun, hal itu tidak membuat umat Tuhan putus asa. Saksi-Saksi membantah layanan yang tidak adil itu dan akhirnya membawa kes mereka ke ECHR pada tahun 2005.

13 Mahkamah membuat keputusan pada 30 Jun 2011. Mahkamah menjelaskan bahawa hak kebebasan beragama sepatutnya menghalang kerajaan daripada mempersoalkan kepercayaan agama dan cara kepercayaan itu dijalankan, kecuali dalam situasi yang terdesak. Mahkamah menjelaskan lagi, “Cukai yang dikenakan . . . akan menyebabkan sumber pertubuhan itu habis sehingga ahli-ahlinya tidak dapat menjalankan kegiatan agama mereka dengan bebas.” Mahkamah dengan sebulat suara membuat keputusan yang berpihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa! Umat Yehuwa sangat bersukacita apabila kerajaan Perancis memulangkan cukai yang dikenakan ke atas ATJ berserta dengan bunganya. Kerajaan Perancis mematuhi perintah Mahkamah dan tidak lagi menahan harta milik pejabat cawangan.

Anda dapat sentiasa berdoa untuk saudara saudari anda yang ditindas oleh pihak berkuasa yang menetapkan undang-undang yang tidak adil

14. Apakah yang dapat anda lakukan dalam perjuangan untuk mendapatkan kebebasan beribadat?

14 Seperti Ester dan Mordekai, umat Yehuwa hari ini berjuang agar mempunyai kebebasan untuk menyembah Yehuwa dalam cara yang dikehendaki-Nya. (Est. 4:13-16) Apakah yang dapat anda lakukan? Anda dapat sentiasa berdoa untuk saudara saudari anda yang ditindas oleh pihak berkuasa yang menetapkan undang-undang yang tidak adil. Doa-doa sedemikian sangat membantu saudara saudari kita yang mengalami kesusahan dan penganiayaan. (Baca Yakobus 5:16.) Adakah Yehuwa mendengar doa sedemikian? Kemenangan kita di mahkamah menunjukkan bahawa Dia memang mendengar doa kita!​—Ibr. 13:18, 19.

Kebebasan untuk Memilih Rawatan Perubatan yang Selaras dengan Kepercayaan Kita

15. Apakah faktor-faktor yang diambil kira oleh umat Tuhan tentang darah?

15 Seperti yang telah kita bincangkan dalam Bab 11, rakyat Kerajaan Tuhan telah menerima arahan yang jelas daripada Bible supaya mengelakkan penyalahgunaan darah, yang biasa diamalkan hari ini. (Kej. 9:4-6; Im. 17:11; baca Kisah 15:28, 29.) Walaupun kita tidak menerima transfusi darah, kita mahu mendapatkan rawatan yang terbaik untuk diri sendiri dan orang tersayang, asalkan rawatan itu tidak melanggar hukum Tuhan. Mahkamah tertinggi di banyak negara telah mengakui bahawa setiap orang berhak memilih sama ada untuk menerima atau menolak rawatan berdasarkan hati nurani atau kepercayaan mereka. Namun, di beberapa tempat, umat Tuhan menghadapi cabaran dalam hal ini. Perhatikan beberapa contoh yang berikut.

16, 17. Apakah rawatan perubatan yang diberikan kepada seorang saudari di Jepun tanpa pengetahuannya? Bagaimanakah doanya dijawab?

16 Jepun. Misae Takeda, seorang suri rumah yang berumur 63 tahun, memerlukan pembedahan yang besar. Dia merupakan seorang saudari yang setia kepada Kerajaan Tuhan. Dia menjelaskan kepada doktor bahawa dia mahu dirawat tanpa darah. Namun, beberapa bulan kemudian, dia berasa amat terkejut setelah mendapati bahawa dia telah diberikan transfusi darah semasa pembedahannya. Saudari Takeda berasa bahawa dia telah ditipu dan haknya telah dicabuli. Maka dia memfailkan tuntutan mahkamah terhadap doktor-doktor dan pihak hospital pada bulan Jun 1993. Saudari yang rendah hati dan lemah lembut ini mempunyai iman yang tak tergoyah. Di dalam mahkamah yang penuh dengan orang, dia memberikan keterangan dengan berani dari kandang saksi selama lebih daripada sejam walaupun dia sangat lemah. Dia telah meninggal sebulan selepas muncul di mahkamah untuk kali terakhir. Tidakkah keberanian dan imannya membuat kita berasa kagum? Saudari Takeda berkata bahawa dia selalu memohon berkat Yehuwa dalam perjuangannya. Dia yakin bahawa doa-doanya akan dijawab. Adakah doanya benar-benar dijawab?

17 Tiga tahun selepas Saudari Takeda meninggal, Mahkamah Agung Jepun membuat keputusan yang menyokongnya. Mahkamah bersetuju bahawa pihak hospital bersalah kerana tidak menghormati permintaannya untuk menolak transfusi darah. Keputusan mahkamah yang dibuat pada 29 Februari 2000 menyatakan bahawa “hak untuk membuat keputusan” dalam kes-kes sedemikian “harus dihormati sebagai hak peribadi.” Oleh sebab Saudari Takeda telah memperjuangkan kebebasannya untuk memilih rawatan yang selaras dengan hati nuraninya yang dilatih prinsip Bible, kini Saksi-Saksi di Jepun yang akan menerima rawatan tidak perlu risau bahawa mereka akan dipaksa untuk menerima transfusi darah.

Pablo Albarracini (Lihat perenggan 18 hingga 20)

18-20. (a) Bagaimanakah mahkamah rayuan di Argentina mendukung hak untuk menolak transfusi darah dengan adanya kad Arahan Penjagaan Kesihatan? (b) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita tunduk kepada Kerajaan Tuhan dalam soal penggunaan darah?

18 Argentina. Bagaimana pula jika seorang rakyat Kerajaan Tuhan berada dalam keadaan tidak sedar? Apakah persediaan yang dapat dilakukannya untuk menyatakan keputusannya dalam hal perubatan? Seperti Pablo Albarracini, kita patut sentiasa membawa bersama kita satu dokumen yang sah yang akan menyatakan pendirian kita. Pada bulan Mei 2012, dia telah menjadi mangsa dalam sebuah kes rompakan dan ditembak beberapa kali. Dia telah dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedar diri, maka dia tidak dapat menjelaskan pendiriannya mengenai transfusi darah. Namun, dia membawa bersamanya sekeping dokumen perubatan yang telah ditandatanganinya lebih daripada empat tahun yang lalu. Walaupun keadaannya serius dan beberapa doktor berasa bahawa transfusi darah harus diberikan untuk menyelamatkan nyawanya, kakitangan perubatan bersedia menghormati permintaannya. Namun, bapa Pablo, yang bukan Saksi, telah mendapatkan perintah mahkamah untuk mengetepikan permintaan anaknya.

19 Peguam yang mewakili isteri Pablo segera mengemukakan rayuan. Dalam masa beberapa jam, mahkamah rayuan telah membatalkan perintah mahkamah rendah, dan memutuskan bahawa permintaan pesakit, seperti yang telah dinyatakan dalam dokumen perubatannya, harus dihormati. Bapa Pablo merayu kepada Mahkamah Agung Argentina. Namun, Mahkamah Agung “tidak mendapati sebarang alasan untuk meragui bahawa [keputusan Pablo untuk menolak transfusi darah yang dinyatakan dalam dokumennya] telah dibuat menurut daya pertimbangannya dan kebebasannya, dan mencerminkan keinginannya.” Mahkamah menyatakan bahawa setiap orang yang sudah dewasa “mampu menentukan terlebih dahulu arahan mengenai penjagaan kesihatannya, dan boleh menerima atau menolak rawatan tertentu . . . Arahan ini harus diterima oleh doktor yang bertugas.”

Sudahkah anda mengisi kad Arahan Penjagaan Kesihatan?

20 Kini, Saudara Albarracini telah sembuh sepenuhnya. Dia dan isterinya sangat bersyukur kerana dia telah melengkapkan kad Arahan Penjagaan Kesihatannya. Dengan mengambil langkah yang mudah namun penting itu, dia telah menunjukkan bahawa dia tunduk kepada Kerajaan Tuhan. Sudahkah anda sekeluarga melengkapkan kad Arahan Penjagaan Kesihatan masing-masing?

April Cadoreth (Lihat perenggan 21 hingga 24)

21-24. (a) Apakah keputusan Mahkamah Agung Kanada tentang penggunaan darah dan orang yang di bawah umur? (b) Bagaimanakah hal ini menggalakkan anak-anak muda dalam kalangan kita?

21 Kanada. Mahkamah selalunya menyatakan bahawa ibu bapa berhak untuk menentukan rawatan yang terbaik bagi anak mereka. Kadangkala, mahkamah bahkan memutuskan bahawa keputusan seseorang yang berfikiran matang dalam soal perubatan patut dihormati, biarpun orang itu masih di bawah umur. Satu contoh ialah Saudari April Cadoreth. Semasa April berumur 14 tahun, dia dimasukkan ke dalam hospital kerana mengalami pendarahan dalaman yang serius. Beberapa bulan sebelum itu, dia telah mengisi kad Arahan Penjagaan Kesihatan yang mengandungi arahan bertulis bahawa dia tidak mahu menerima transfusi darah, meskipun dalam keadaan kecemasan. Doktor yang merawat April tidak menghiraukan keinginannya lalu mendapatkan perintah mahkamah untuk memberikan darah kepadanya. April diberikan tiga unit sel darah merah secara paksa. April menyamakan pengalamannya dengan seseorang yang dirogol.

22 April dan ibu bapanya kemudiannya membawa kes mereka ke mahkamah. Selepas dua tahun, kes mereka dibicarakan di Mahkamah Agung Kanada. Meskipun kes April tidak mengubah undang-undang perlembagaan, Mahkamah memerintahkan agar April dibayar kos guaman. Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah berpihak kepada April dan anak muda lain di bawah umur yang ingin menggunakan hak mereka untuk memilih rawatan perubatan sendiri. Mahkamah menyatakan, “Dalam konteks rawatan perubatan, orang muda di bawah 16 tahun patut diberikan peluang untuk menunjukkan sama ada mereka sudah cukup matang dari segi pemikiran dan mampu membuat keputusan sendiri untuk memilih rawatan perubatan tertentu.”

23 Kes ini penting kerana Mahkamah Agung telah menyentuh isu hak anak muda yang di bawah umur tetapi berfikiran matang. Sebelum keputusan itu dibuat, mahkamah di Kanada boleh menentukan rawatan yang harus diterima oleh seorang anak di bawah 16 tahun jika mahkamah berasa bahawa sesuatu rawatan itu merupakan rawatan yang terbaik bagi anak itu. Namun, selepas keputusan itu dibuat, mahkamah tidak boleh menentukan rawatan yang harus diterima seseorang di bawah 16 tahun selagi mahkamah belum memberinya peluang untuk membuktikan bahawa dia sudah cukup matang untuk membuat keputusan sendiri.

“Saya berasa sangat gembira kerana diberikan peranan yang kecil untuk mengharumkan nama Tuhan dan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta”

24 Adakah perjuangan selama tiga tahun itu berbaloi? Menurut April, “Ya!” Dia kini dalam keadaan yang sihat dan sedang berkhidmat sebagai seorang perintis biasa. Dia berkata, “Saya berasa sangat gembira kerana diberikan peranan yang kecil untuk mengharumkan nama Tuhan dan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta.” Pengalaman April menunjukkan bahawa anak muda dalam kalangan kita pun dapat berteguh dalam pendirian mereka dan membuktikan bahawa mereka ialah rakyat Kerajaan Tuhan yang sejati.​—Mat. 21:16.

Kebebasan untuk Membesarkan Anak Menurut Prinsip Yehuwa

25, 26. Apakah masalah yang mungkin timbul selepas suami isteri bercerai?

25 Yehuwa telah mengamanahkan ibu bapa tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak menurut prinsip-Nya. (Ul. 6:6-8; Ef. 6:4) Tanggungjawab itu memang mencabar. Namun, jika suami isteri bercerai, hal itu merumitkan lagi keadaan kerana pandangan suami isteri tentang cara untuk membesarkan anak mereka mungkin sangat berbeza. Sebagai contoh, seorang ibu atau bapa Saksi menginginkan anaknya dibesarkan menurut prinsip Bible, tetapi pasangannya yang bukan Saksi pula mungkin tidak bersependapat. Sudah tentu seorang Saksi tahu bahawa meskipun perceraian memutuskan ikatannya dengan pasangannya, ikatannya dengan anak-anaknya tidak berubah.

26 Ibu atau bapa bukan Saksi mungkin memohon kepada mahkamah untuk hak penjagaan anak agar dia dapat menentukan agama anaknya. Ada yang mendakwa bahawa ajaran Saksi-Saksi Yehuwa akan memudaratkan anak itu, kerana anak itu tidak dapat menyambut hari jadi dan perayaan lain. Lagipun, jika berlakunya kecemasan, transfusi darah “yang dapat menyelamatkan nyawa” juga tidak akan diterima. Namun begitu, kita bersyukur kerana kebanyakan mahkamah membuat keputusan berdasarkan apa yang terbaik bagi seorang anak dan bukannya berdasarkan agama ibu atau bapanya. Mari kita lihat beberapa contoh.

27, 28. Apakah yang dinyatakan oleh Mahkamah Agung Ohio selepas mendengar tuduhan bahawa ajaran agama Saksi-Saksi dapat memudaratkan anak?

27 Amerika Syarikat. Pada tahun 1992, Mahkamah Agung Ohio mempertimbangkan kes seorang bapa bukan Saksi yang mendakwa bahawa jika Bobby, iaitu anak lelakinya, dibesarkan sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa, hal itu dapat memudaratkan anaknya. Mahkamah rendah menyokong bapa budak itu dan membuat keputusan untuk memberikan hak penjagaan anak kepadanya. Ibu Bobby, Jennifer Pater, diizinkan untuk melawat anaknya tetapi dia diarahkan supaya tidak “mengajar atau mendedahkan anaknya kepada ajaran Saksi-Saksi Yehuwa dalam apa jua bentuk pun.” Arahan mahkamah rendah itu juga boleh bermaksud bahawa Saudari Pater langsung tidak diizinkan untuk bercakap kepada anaknya tentang Bible, mahupun tentang prinsip moral yang terkandung di dalamnya. Dapatkah anda bayangkan perasaan Jennifer? Jennifer memang patah hati tetapi dia belajar untuk bersabar dan menunggu Yehuwa untuk bertindak. Dia berkata, “Yehuwa sentiasa berada di sisi saya.” Peguamnya yang dibantu oleh organisasi Yehuwa membuat rayuan kepada Mahkamah Agung Ohio.

28 Mahkamah Agung tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah rendah. Mahkamah Agung menyatakan, “Ibu bapa diberikan hak asasi untuk mendidik anak mereka, termasuk hak untuk mengajarkan nilai moral dan agama mereka.” Mahkamah juga menyatakan bahawa selagi tiada bukti untuk menunjukkan bahawa ajaran agama Saksi-Saksi Yehuwa boleh memudaratkan kesejahteraan fizikal dan mental seorang anak, mahkamah tidak berhak menggunakan agama sebagai dasar untuk menyekat hak penjagaan seorang ibu atau bapa. Sudah tentu, mahkamah tidak menemui apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa ajaran agama Saksi-Saksi boleh memudaratkan kesihatan fizikal atau mental seorang anak.

Banyak mahkamah telah memberikan hak penjagaan anak kepada ibu bapa Saksi

29-31. Mengapakah seorang saudari di Denmark kehilangan hak penjagaan anak perempuannya? Apakah keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Agung Denmark dalam hal ini?

29 Denmark. Saudari Anita Hansen juga berdepan dengan cabaran yang serupa semasa bekas suaminya membuat permohonan kepada mahkamah untuk mendapat hak penjagaan ke atas anak mereka, iaitu Amanda yang berumur tujuh tahun. Walaupun mahkamah distrik memberikan hak penjagaan Amanda kepada Saudari Hansen pada tahun 2000, bapa Amanda membuat rayuan kepada mahkamah tinggi. Mahkamah tinggi mengubah keputusan mahkamah distrik dan memberi bapa Amanda hak penjagaan anak. Mahkamah tinggi menyatakan bahawa memandangkan ibu bapa Amanda mempunyai pandangan hidup yang berbeza kerana ajaran agama mereka, bapa Amanda lebih layak menentukan agama mana yang lebih sesuai bagi anak mereka. Jadi pada dasarnya, Saudari Hansen kehilangan hak penjagaan anaknya kerana dia seorang Saksi-Saksi Yehuwa!

30 Sepanjang masa yang mencabar itu, Saudari Hansen berasa sangat susah hati. Kadangkala dia bahkan tidak tahu apa yang harus didoakan. “Tetapi, kata-kata di Roma 8:26 dan 27 membawa kelegaan hati yang besar kepada saya. Saya sentiasa yakin bahawa Yehuwa memahami saya. Dia sentiasa menyertai saya dan membimbing serta menasihati saya,” kata Saudari Hansen.​—Baca Mazmur 32:8; Yesaya 41:10.

31 Saudari Hansen membuat rayuan kepada Mahkamah Agung Denmark. Mahkamah menyatakan bahawa “hak penjagaan anak harus diberikan berdasarkan apa yang terbaik bagi seorang anak selepas penilaian yang teliti dijalankan.” Selain itu, Mahkamah juga menyatakan bahawa hak penjagaan harus diberikan kepada seorang ibu atau bapa berdasarkan kebolehannya untuk menangani konflik, dan bukannya berdasarkan “ajaran dan pendirian” Saksi-Saksi Yehuwa. Saudari Hansen berasa sangat lega kerana Mahkamah mendapati bahawa dia seorang ibu yang baik dan memutuskan bahawa dia layak mendapat kembali hak penjagaan Amanda.

32. Bagaimanakah Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah melindungi ibu bapa Saksi daripada diskriminasi?

32 Negara-negara di Eropah. Dalam sesetengah kes, pertikaian tentang hak penjagaan anak telah dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi daripada mahkamah agung negara. Satu contoh mahkamah sebegitu ialah Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR). Dalam dua kes, ECHR bersetuju bahawa mahkamah telah memberikan layanan yang berbeza kepada ibu bapa Saksi dan ibu bapa bukan Saksi, semata-mata kerana perbezaan agama. Mahkamah ECHR menyatakan hal itu bersifat diskriminasi atau berat sebelah. Mahkamah ECHR juga menyatakan bahawa keputusan yang dibuat berdasarkan “perbezaan agama sahaja tidak boleh diterima.” Seorang ibu Saksi yang dibantu oleh keputusan ECHR berkata dengan lega, “Sebelum ini, saya berasa sangat sakit hati kerana dituduh memudaratkan anak-anak saya, sedangkan saya cuma berusaha untuk memberi mereka apa yang terbaik dengan membesarkan mereka mengikut cara Kristian.”

33. Bagaimanakah ibu bapa Saksi menerapkan prinsip di Filipi 4:5?

33 Sudah tentu, ibu bapa Saksi yang mahu menanam Firman Tuhan dalam hati anak-anak mereka juga perlu bersikap munasabah. (Baca Filipi 4:5.) Mereka menghargai hak untuk melatih anak mereka menurut cara Tuhan, tetapi mengakui bahawa pasangan mereka yang bukan Saksi juga berhak untuk mendidik anak mereka. Apakah pandangan ibu bapa Saksi terhadap tanggungjawab untuk mendidik anak mereka?

34. Apakah yang dapat dipelajari oleh ibu bapa Kristian daripada teladan orang Yahudi pada zaman Nehemia?

34 Mari kita belajar daripada kisah Nehemia. Orang Yahudi bekerja keras untuk membaiki dan membina semula tembok-tembok di Yerusalem. Mereka tahu bahawa jika mereka berbuat demikian, keluarga mereka dilindungi daripada bangsa-bangsa musuh yang ada di sekeliling mereka. Itulah sebabnya Nehemia menggalakkan mereka, “Berjuanglah untuk saudara-saudara kamu, anak isteri kamu, dan rumah-rumah kamu.” (Neh. 4:14) Bagi orang Yahudi, setiap titik peluh yang dikerahkan untuk perjuangan mereka adalah berbaloi. Hari ini, ibu bapa yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa juga memerah keringat untuk membesarkan anak-anak mereka dalam kebenaran. Mereka sedar bahawa anak-anak mereka menghadapi pengaruh yang tidak sihat, baik daripada rakan-rakan di sekolah mahupun daripada jiran tetangga. Bahkan media massa pun membawa pengaruh yang kurang sihat ke dalam rumah. Ibu bapa sekalian, berjuanglah dengan bersungguh-sungguh untuk menyediakan persekitaran yang sihat sejahtera agar anak-anak anda dapat maju secara rohani. Janganlah lupa bahawa usaha anda sangat berbaloi!

Yakini Dukungan Yehuwa

35, 36. Apakah manfaat yang diraih oleh Saksi-Saksi Yehuwa dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan hak kebebasan beribadat? Apakah tekad anda?

35 Sememangnya, Yehuwa telah memberkati usaha organisasi-Nya dalam perjuangan untuk mendapatkan hak kebebasan beribadat. Dengan membawa isu-isu itu ke muka pengadilan, umat Tuhan berpeluang untuk memberikan kesaksian yang baik di mahkamah dan juga kepada orang ramai. (Rm. 1:8) Kemenangan mereka juga membawa manfaat kepada banyak orang yang bukan Saksi, kerana mereka kini dapat menikmati hak-hak yang sama. Tetapi tujuan umat Tuhan bukanlah untuk membawa perubahan sosial atau untuk mencari kemuliaan diri sendiri. Tujuan utama kita membawa kes-kes ke mahkamah adalah untuk mempertahankan dan memajukan penyembahan sejati.​—Baca Filipi 1:7.

36 Semoga kita meniru iman saudara saudari kita yang telah berjuang demi kebebasan untuk menyembah Yehuwa! Hendaklah kita tetap setia kepada Yehuwa dan berasa yakin bahawa Yehuwa sedang mendukung kerja kita dan akan memberi kita kekuatan yang diperlukan untuk melakukan kehendak-Nya.​—Yes. 54:17.