Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 22

Kerajaan Yehuwa Melaksanakan Kehendak Tuhan di Bumi

Kerajaan Yehuwa Melaksanakan Kehendak Tuhan di Bumi

FOKUS BAB INI

Kerajaan Yehuwa menunaikan semua janji-Nya bagi manusia dan bumi

1, 2. (a) Mengapakah harapan Firdaus mungkin menjadi semakin malap bagi kita? (b) Apakah yang dapat menguatkan iman kita terhadap janji-janji Tuhan?

 SEORANG saudara yang setia tiba di Dewan Perjumpaan. Dia berasa tertekan dan penat setelah bekerja sehari suntuk. Bukan senang untuk memenuhi bermacam-macam tuntutan majikan, dan bukan senang untuk mencari nafkah bagi keluarga. Tambahan lagi, isterinya perlu bergelut dengan masalah kesihatan. Apabila muzik untuk lagu pembukaan bermula, dia menarik nafas lega. “Alangkah baiknya dapat berada bersama saudara saudariku,” bisik hati kecilnya. Lagu yang dipilih untuk malam itu adalah tentang kehidupan di Firdaus. Itulah lagu kegemarannya. Seni kata lagu itu mempelawanya untuk membayangkan dirinya dalam dunia baru. Ketika saudara itu menyanyikan lagu tersebut bersama keluarganya, harapan mula berputik dalam hatinya yang resah.

2 Pernahkah anda berasa demikian? Kebanyakan antara kita pernah. Apabila kita mengharungi liku-liku hidup dan menghadapi pelbagai kesusahan dalam sistem dunia lama ini, harapan Firdaus mungkin menjadi semakin malap. Kita hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi,” dan dunia sekarang langsung tidak seperti firdaus. (2 Tim. 3:1) Jadi, apakah yang dapat membantu kita berpegang teguh pada harapan kita? Bagaimanakah kita tahu bahawa Kerajaan Tuhan akan memerintah umat manusia tidak lama lagi? Kita akan membincangkan beberapa nubuat Yehuwa yang telah menjadi kenyataan pada zaman kuno. Selepas itu kita akan membincangkan bagaimana nubuat-nubuat Tuhan sedang menjadi kenyataan pada masa kini. Setelah iman kita diperkuat, kita akan melihat bagaimana nubuat-nubuat itu mempengaruhi masa depan kita.

Bagaimana Yehuwa Menunaikan Janji-janji-Nya pada Masa Lampau

3. Apakah janji-janji Tuhan yang telah melegakan hati orang Yahudi di Babilon?

3 Bayangkan keadaan hidup orang Yahudi di Babilon pada abad keenam Sebelum Masihi. Seperti ibu bapa mereka, ramai antara mereka hidup sebagai tawanan sejak kecil lagi. Kehidupan mereka susah, dan orang Babilon mentertawakan kepercayaan mereka. (Mzm. 137:1-3) Selama puluhan tahun, orang Yahudi yang setia terus berpaut pada harapan yang cerah ini: Yehuwa sudah berjanji untuk membawa umat-Nya pulang ke tanah air mereka. Yehuwa mengatakan bahawa keadaan di situ akan sangat menyenangkan. Dia bahkan menyamakan keadaan tanah Yehuda dengan keadaan firdaus di taman Eden! (Baca Yesaya 51:3.) Umat Tuhan mungkin ada kekhuatiran tentang kepulangan mereka ke Yehuda, maka janji-janji Yehuwa akan menenangkan hati mereka. Mari kita perhatikan beberapa nubuat untuk mengetahui bagaimana Yehuwa berbuat demikian.

4. Bagaimanakah Yehuwa meyakinkan orang Yahudi bahawa mereka akan selamat di tanah air mereka?

4 Keselamatan. Perjalanan umat Tuhan dari Babilon ke tanah air mereka amat jauh. Tanah air mereka sudah terbiar selama 70 tahun dan keadaannya tidak seperti firdaus. Ramai dalam kalangan mereka tidak pernah melihat tempat itu. Pada masa itu, singa, serigala, harimau bintang, dan binatang buas yang lain berkeliaran di tempat itu. Maka tidak hairanlah jika seorang lelaki tertanya-tanya, “Adakah isteri dan anak-anak saya akan selamat? Bagaimana pula dengan ternakan saya?” Sekarang, fikirkanlah betapa leganya hati mereka semasa mendengar janji Tuhan di Yesaya 11:6-9. (Baca.) Dengan gambaran yang indah itu, Yehuwa memberikan jaminan bahawa umat-Nya dan ternakan mereka akan selamat. Singa seolah-olah akan “makan rumput” dan tidak menyerang ternakan orang Yahudi. Umat Tuhan yang setia tidak perlu takut akan binatang buas. Yehuwa telah berjanji bahawa di tanah Yehuda yang dipulihkan, umat-Nya akan sentiasa selamat, bahkan semasa di padang belantara atau di hutan.​—Yeh. 34:25.

5. Apakah nubuat-nubuat yang membantu orang Yahudi yang akan kembali ke tanah air mereka untuk berasa yakin bahawa Yehuwa akan menjaga keperluan mereka dengan baik?

5 Kelimpahan. Orang Yahudi juga mungkin berfikir, “Dapatkah saya menjaga keperluan keluarga saya di tanah air kami? Kami akan tinggal di mana? Adakah saya akan mempunyai kerja, dan adakah kehidupan saya akan lebih baik daripada kehidupan sebagai tawanan di Babilon?” Yehuwa memahami kekhuatiran mereka, oleh itu Dia telah menubuatkan bahawa umat-Nya yang patuh akan mendapat air hujan pada musimnya, dan mereka akan mendapat “hasil yang banyak.” (Yes. 30:23) Adakah mereka akan mendapat tempat tinggal yang sesuai dan kerja yang memuaskan? Yehuwa berjanji, “Orang yang membina rumah akan mendiaminya; rumah-rumah itu tidak akan didiami orang lain. Mereka yang menanam pokok anggur akan menikmati hasilnya; hasil itu tidak akan dinikmati orang lain.” (Yes. 65:21, 22) Ya, kehidupan mereka akan jauh lebih baik berbanding keadaan mereka semasa dikuasai bangsa kafir. Namun, adakah masalah yang paling teruk, iaitu masalah yang menyebabkan mereka dibuang ke Babilon, juga akan diselesaikan?

6. Apakah masalah yang dihadapi oleh umat Tuhan sejak dahulu lagi, tetapi bagaimanakah Yehuwa meyakinkan orang Yahudi yang akan kembali ke Yehuda?

6 Kesihatan rohani. Umat Tuhan sudah jatuh sakit secara rohani lama sebelum mereka dibuang ke Babilon. Melalui nabi Yesaya, Yehuwa berfirman, “Hai Israel, kepalamu sudah penuh dengan luka. Hati dan fikiranmu tidak sihat.” (Yes. 1:5) Mereka buta dan tuli secara rohani, kerana mereka enggan mendengar nasihat Yehuwa dan tidak mahu melihat cahaya rohani daripada-Nya. (Yes. 6:10; Yer. 5:21; Yeh. 12:2) Jika mereka masih sakit secara rohani setelah kembali ke Yehuda, keselamatan mereka tidak terjamin, kerana mereka akan kehilangan perkenan Yehuwa sekali lagi. Namun, janji Yehuwa amat meyakinkan: “Pada hari itu kelak, orang tuli akan dapat mendengar orang membaca kitab, dan orang buta yang telah hidup dalam kegelapan, akan dapat melihat.” (Yes. 29:18) Ya, umat Yehuwa yang menerima teguran-Nya dan bertaubat akan disembuhkan secara rohani. Selagi mereka patuh dan peka terhadap perintah Tuhan, Dia akan memberi mereka bimbingan dan ajaran yang akan menjamin keselamatan mereka.

7. Bagaimanakah janji-janji Tuhan kepada umat-Nya pada masa lampau menjadi kenyataan, dan mengapakah hal itu menguatkan iman kita?

7 Adakah Yehuwa menepati janji-janji-Nya? Mari kita perhatikan catatan sejarah. Orang Yahudi yang kembali ke tanah air mereka menikmati keselamatan, kelimpahan, dan kesihatan rohani. Sebagai contoh, Yehuwa telah melindungi mereka daripada bangsa-bangsa di sekeliling yang lebih kuat dan besar daripada mereka. Ternakan orang Yahudi tidak diserang binatang buas. Nubuat yang dicatatkan oleh Yesaya, Yeremia, dan Yehezkiel menjadi kenyataan pada skala yang kecil bagi orang Yahudi, tetapi apa yang terjadi sudah memadai untuk menguatkan iman mereka. Apabila kita merenungkan perbuatan Yehuwa pada masa lampau, iman kita akan bertambah kukuh. Jika nubuat-nubuat yang menjadi kenyataan pada skala yang kecil sudah pun membuat kita teruja, apatah lagi apabila semua nubuat itu menjadi kenyataan secara besar-besaran nanti! Sekarang, perhatikanlah hal-hal yang dilakukan oleh Yehuwa untuk kita pada zaman ini.

Yehuwa Mula Menunaikan Janji-janji-Nya pada Zaman Kita

8. Apakah “tanah” yang dimiliki oleh umat Tuhan?

8 Umat Yehuwa pada zaman ini bukanlah satu bangsa secara harfiah, dan tidak tinggal di satu negara sahaja. Namun, orang Kristian terurap membentuk “Israel milik Tuhan,” iaitu sebuah bangsa rohani. (Gal. 6:16) “Biri-biri lain” pula menyertai mereka dan menyembah Tuhan Yehuwa bersama-sama mereka di sebuah “tanah” rohani. Ibadat mereka berkait rapat dengan cara hidup mereka. (Yoh. 10:16; Yes. 66:8) Apakah “tanah” yang diberikan oleh Yehuwa kepada kita? Sebuah firdaus rohani. Dalam firdaus itu, Tuhan telah menunaikan janji-Nya untuk menyediakan persekitaran rohani yang bagaikan Taman Eden. Mari kita perhatikan beberapa contoh.

9, 10. (a) Bagaimanakah nubuat di Yesaya 11:6-9 menjadi kenyataan pada hari ini? (b) Apakah yang membuktikan bahawa umat Tuhan sedang menikmati kedamaian?

9 Keselamatan. Nubuat di Yesaya 11:6-9 menyatakan bahawa manusia dan ternakan mereka dapat hidup aman damai dengan binatang liar. Adakah nubuat itu terjadi pada hari ini? Ya! Ayat 9 menjelaskan sebabnya makhluk-makhluk tidak akan mencederakan satu sama lain: ‘Bumi akan penuh dengan orang yang mengenal dan menghormati Yehuwa sebagaimana lautan penuh dengan air.’ Adakah binatang-binatang akan berubah sikap setelah mengenal Yehuwa? Tidak, hanya manusia yang akan berubah setelah mengenal Tuhan Yang Maha Tinggi dan haluan-Nya yang damai. Itulah sebabnya kita dapat menyaksikan bagaimana nubuat itu menjadi kenyataan dalam firdaus rohani kita. Di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, para pengikut Kristus pada masa ini diajar supaya tidak bersifat seperti binatang liar yang ganas. Mereka diajar untuk hidup aman damai dengan saudara saudari rohani mereka.

10 Sebagai contoh, semasa membincangkan soal keneutralan Kristian dalam buku ini, kita telah meneliti prinsip Bible yang menjadi dasar pendirian kita. Kita juga telah membincangkan bagaimana umat Tuhan dianiaya kerana mereka tetap berpendirian neutral. Ya, meskipun dunia penuh dengan keganasan, masih terdapat sebuah “bangsa” yang enggan terlibat dalam apa-apa bentuk keganasan biarpun diancam maut. Hal ini sesungguhnya merupakan bukti yang kukuh bahawa rakyat Raja Mesias sedang menikmati kedamaian yang digambarkan oleh Yesaya! Yesus telah menyatakan bahawa pengikut-pengikutnya akan dikenali kerana mereka mengasihi satu sama lain. (Yoh. 13:34, 35) Dalam sidang, Kristus dengan sabarnya sedang menggunakan “hamba yang setia dan bijaksana” untuk mengajar semua orang Kristian sejati agar mereka menjadi orang yang pengasih, lemah lembut, dan yang mencintai keamanan.​—Mat. 24:45-47.

11, 12. Kebuluran apakah yang sedang melanda orang hari ini, tetapi bagaimanakah Yehuwa telah memastikan bahawa umat-Nya mempunyai makanan rohani yang melimpah?

11 Kelimpahan. Dunia ini dilanda kebuluran rohani. Bible memberikan amaran berikut: ‘Masanya akan tiba apabila Aku mendatangkan kebuluran di negeri ini. Orang akan lapar, tetapi tidak lapar akan makanan. Orang akan dahaga, tetapi tidak dahaga akan air. Mereka lapar dan dahaga akan perkhabaran daripada Yehuwa. Aku, Yehuwa, sudah berfirman.’ (Am. 8:11) Adakah rakyat Kerajaan Tuhan juga akan menderita kebuluran? Yehuwa telah menubuatkan perbezaan antara umat-Nya dengan musuh-Nya: “Orang yang menyembah Aku dan taat kepada-Ku akan mendapat banyak makanan dan minuman, tetapi kamu akan lapar dan dahaga. Mereka akan gembira tetapi kamu akan dihina.” (Yes. 65:13) Sudahkah anda menyaksikan bagaimana nubuat itu menjadi kenyataan?

12 Kita menerima makanan rohani yang tidak putus-putus, seperti air dari sungai yang luas dan dalam. Ketika dunia ini menderita akibat kebuluran rohani, gudang makanan rohani kita berlimpah-limpah dengan bahan bacaan Bible, rakaman audio dan video, program perjumpaan dan konvensyen, dan maklumat di laman Web kita. (Yeh. 47:1-12; Yl. 3:18) Semasa anda melihat bagaimana Yehuwa menunaikan janji-Nya, tidakkah anda berasa teruja? Adakah anda sentiasa menyantap makanan rohani daripada meja Yehuwa?

Di dalam sidang, kita mendapat makanan dan perlindungan rohani

13. Bagaimanakah anda mengetahui bahawa janji Yehuwa tentang orang buta dan orang tuli sedang menjadi kenyataan?

13 Kesihatan rohani. Dewasa ini, semakin ramai orang menjadi buta dan tuli secara rohani. (2 Kor. 4:4) Namun, Kristus sedang menyembuhkan kecacatan dan penyakit di serata dunia. Pernahkah anda menyaksikan orang buta dapat melihat semula dan orang tuli dapat mendengar? Jika anda pernah melihat bagaimana orang memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran, dan melihat bagaimana mereka dibebaskan daripada ajaran palsu yang menyebabkan mata dan telinga mereka tertutup, anda sudah melihat janji berikut ditunaikan: “Pada hari itu kelak, orang tuli akan dapat mendengar orang membaca kitab, dan orang buta yang telah hidup dalam kegelapan, akan dapat melihat.” (Yes. 29:18) Setiap tahun, di serata dunia, beratus-ratus ribu orang telah disembuhkan secara rohani. Setiap kali ada orang meninggalkan Babilon Besar dan beribadat bersama-sama kita dalam firdaus rohani, itulah bukti bahawa Yehuwa sedang menunaikan janji-janji-Nya!

14. Apakah yang harus kita lakukan supaya keyakinan kita terhadap janji Yehuwa menjadi semakin kukuh?

14 Setiap bab dalam buku ini membentangkan bukti yang kukuh untuk menunjukkan bahawa Kristus telah memimpin para pengikutnya ke dalam firdaus rohani pada hari-hari terakhir. Semoga kita terus merenungi berkat-berkat yang sedang kita nikmati dalam firdaus itu. Dengan berbuat demikian, kita akan menjadi semakin yakin bahawa Yehuwa pasti akan mengotakan janji-Nya tentang masa depan kita.

“Datanglah Kerajaan-Mu”

15. Mengapakah kita boleh berasa yakin bahawa bumi akan menjadi sebuah firdaus?

15 Sejak dahulu lagi, tujuan Yehuwa adalah untuk menjadikan seluruh bumi sebuah firdaus. Dia menyediakan taman firdaus untuk didiami Adam dan Hawa, dan menyuruh mereka beranak cucu dan menjaga semua ciptaan-Nya di bumi. (Kej. 1:28) Malangnya, Adam dan Hawa menyokong pemberontakan Syaitan. Gara-gara itu, semua keturunan mereka dibelenggu ketidaksempurnaan, dosa, dan kematian. Meskipun begitu, tujuan Tuhan tidak pernah berubah. Apa sahaja yang difirmankan-Nya akan menjadi kenyataan. (Baca Yesaya 55:10, 11.) Maka, kita dapat yakin bahawa seluruh bumi pasti akan menjadi sebuah firdaus. Kita juga dapat yakin bahawa keturunan Adam dan Hawa pasti akan memenuhi seluruh muka bumi dan menguasainya, dan bahawa mereka akan menjaga ciptaan Yehuwa dengan baik. Ketika itu, nubuat-nubuat tentang firdaus yang pada asalnya ditulis untuk orang Yahudi yang keluar dari Babilon akan menjadi kenyataan dengan sepenuhnya! Perhatikan contoh-contoh berikut.

16. Bagaimanakah Bible menggambarkan keselamatan yang akan kita nikmati dalam Firdaus?

16 Keselamatan. Akhirnya, gambaran indah di Yesaya 11:6-9 akan benar-benar menjadi kenyataan. Lelaki, wanita, dan kanak-kanak akan berasa selamat tidak kira di mana pun mereka pergi. Tiada orang ataupun haiwan yang akan mengancam keselamatan sesiapa pun. Bayangkanlah: Seluruh bumi akan menjadi rumah anda. Anda dapat berenang di sungai, kolam, dan laut tanpa berasa takut. Anda boleh menjelajah gunung dan padang rumput dengan selamat. Pada waktu malam, anda juga tidak perlu risau tentang keselamatan. Ketika itu, umat Tuhan bahkan “dapat hidup dengan aman di padang dan tidur di hutan,” seperti yang dinubuatkan di Yehezkiel 34:25.

17. Mengapakah kita boleh berasa yakin bahawa Yehuwa akan menjaga keperluan kita dengan baik semasa Kerajaan-Nya memerintah seluruh bumi?

17 Kelimpahan. Bayangkanlah keadaannya apabila kemiskinan, kebuluran, penyakit akibat kekurangan zat makanan, atau masalah-masalah lain sudah berlalu. Bekalan rohani yang disajikan secara berlimpah-limpah untuk umat Tuhan hari ini merupakan jaminan bahawa Raja Mesias akan memenuhi semua keperluan rakyatnya. Semasa Yesus berada di bumi, dia telah menunjukkan bahawa dia mampu memenuhi janji-janji itu. Dengan beberapa ketul roti dan beberapa ekor ikan sahaja, dia telah memberikan makanan kepada beribu-ribu orang. (Mat. 14:17, 18; 15:34-36; Mrk. 8:19, 20) Semasa Kerajaan Tuhan memerintah seluruh bumi, nubuat seperti ini akan betul-betul menjadi kenyataan: ‘Ketika kamu menabur benih, Tuhan akan menurunkan hujan supaya benih itu tumbuh. Dia akan memberi kamu hasil yang banyak, dan bagi ternak kamu akan tersedia padang rumput yang luas.’​—Yes. 30:23.

18, 19. (a) Apakah perasaan anda setelah membaca nubuat di Yesaya 65:20-22? (b) Bagaimanakah kita akan “panjang umur seperti pokok”?

18 Bagi ramai orang hari ini, memiliki tempat tinggal yang selesa atau kerja yang memuaskan merupakan impian yang mustahil tercapai. Dalam sistem dunia sekarang, ramai orang berasa bahawa mereka terpaksa membanting tulang demi mencari sesuap nasi, sedangkan orang yang tamak dan kaya pula bergelumang dalam kemewahan. Bayangkanlah keadaannya apabila nubuat ini terjadi di serata dunia: “Orang yang membina rumah akan mendiaminya; rumah-rumah itu tidak akan didiami orang lain. Mereka yang menanam pokok anggur akan menikmati hasilnya; hasil itu tidak akan dinikmati orang lain. Umat-Ku akan panjang umur seperti pokok. Mereka akan puas menikmati hasil usaha mereka.”​—Yes. 65:20-22.

19 Semasa berdiri di bawah sepohon pokok yang besar, pernahkah anda berasa kagum ketika memikirkan usia pokok itu? Mungkin pokok itu sudah wujud sebelum moyang anda dilahirkan. Anda mungkin terfikir, “Jika dunia yang tidak sempurna ini berlanjutan, barangkali pokok ini masih akan wujud setelah pemergian saya. Biarpun saya sudah dilupakan, pokok ini masih akan sihat dan menyejukkan mata orang yang memandangnya.” Demikianlah kehidupan kita di Firdaus yang bakal tiba. Kita akan “panjang umur seperti pokok” dan menikmati kedamaian. Alangkah baiknya Yehuwa kerana memberikan jaminan sedemikian! (Mzm. 37:11, 29) Semasa kita mempunyai kehidupan yang kekal, jangka hayat pokok pun akan menjadi seperti jangka hayat rumput dalam pandangan kita!

20. Bagaimanakah rakyat Kerajaan Tuhan yang setia dapat menikmati kesihatan yang sempurna?

20 Kesihatan yang sempurna. Hari ini, semua orang di seluruh pelosok dunia hidup dibayangi penyakit dan maut. Kita semua boleh dikatakan menghidap penyakit tenat yang dipanggil dosa, dan korban tebusan Kristus adalah satu-satunya penawar bagi kita. (Rm. 3:23; 6:23) Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, Yesus dan rakan-rakannya akan membantu manusia meraih manfaat yang sepenuhnya daripada korban itu, dan manusia yang setia akan beransur-ansur dibebaskan daripada kesan dosa. Pada masa itu, terjadilah segala yang dinubuatkan oleh Yesaya, “Tiada sesiapa yang tinggal di negeri kita akan mengeluh kerana sakit, dan segala dosa akan diampunkan.” (Yes. 33:24) Bayangkanlah: Pada masa itu, tiada lagi orang yang buta, tuli, ataupun lumpuh. (Baca Yesaya 35:5, 6.) Tiada sebarang penyakit, tidak kira dari segi fizikal, mental, atau emosi, yang terlalu parah sehingga tidak dapat disembuhkan oleh Yesus. Rakyat Kerajaan Tuhan yang setia akan menikmati kesihatan yang sempurna!

21. Apakah yang akan berlaku kepada kematian, dan mengapakah anda berasa bahawa janji itu amat melegakan hati?

21 Bagaimana pula dengan kematian, “musuh terakhir” kita? Semua manusia yang berdosa tidak mampu melawannya, dan lambat-laun kita akan menjadi mangsanya. (1 Kor. 15:26) Namun, adakah kematian merupakan ancaman bagi Yehuwa? Tidak! Perhatikan nubuat Yesaya: ‘Yehuwa akan memusnahkan maut selama-lamanya! Dia akan menghapuskan air mata daripada setiap wajah.’ (Yes. 25:8) Dapatkah anda membayangkan keadaan pada masa itu? Tiada lagi pengebumian, tiada lagi perkuburan, dan tiada lagi air mata kesedihan! Sebaliknya, apabila Yehuwa menunaikan janji-Nya untuk membangkitkan orang mati, kita akan menangis kegirangan ketika menyambut kepulangan orang tersayang! (Baca Yesaya 26:19.) Kematian telah mengakibatkan luka di hati yang tidak terhitung banyaknya, tetapi semua luka itu akan diubati dengan sepenuhnya.

22. Apakah yang akan berlaku setelah Raja Mesias selesai melaksanakan kehendak Tuhan di bumi?

22 Menjelang akhir Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, Raja Mesias akan selesai melaksanakan kehendak Tuhan di bumi. Selepas itu, Kristus akan menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Bapanya. (1 Kor. 15:25-28) Umat manusia yang sudah menjadi sempurna akan bersedia untuk menghadapi ujian terakhir apabila Syaitan dibebaskan daripada jurang yang dalam. Kemudian, Kristus akan meremukkan ular jahat itu bersama dengan semua penyokongnya. (Kej. 3:15; Why. 20:3, 7-10) Namun, masa depan yang cerah menantikan semua orang yang mengasihi Yehuwa. Janji berikut mungkin merupakan gambaran yang paling sesuai dengan keadaan pada masa itu: Orang yang setia akan “menikmati kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan.”​—Rm. 8:21.

Kerajaan Tuhan akan menunaikan semua janji Yehuwa bagi manusia dan bumi

23, 24. (a) Mengapakah kita boleh yakin bahawa Tuhan pasti akan mengotakan semua janji-Nya? (b) Apakah tekad anda?

23 Janji-janji itu bukanlah janji-janji kosong. Janji Yehuwa pasti akan menjadi kenyataan! Adakah anda masih ingat kata-kata Yesus di bab pertama buku ini? Dia mengajar para pengikutnya untuk berdoa kepada Yehuwa: “Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga.” (Mat. 6:9, 10) Kerajaan Tuhan bukanlah sesuatu yang direka-reka. Sebaliknya, Kerajaan itu benar-benar wujud dan sedang memerintah di syurga! Selama seratus tahun, Kerajaan Tuhan telah menunaikan janji-janji Yehuwa, dan kita dapat melihat buktinya dalam sidang Kristian. Oleh itu, kita dapat yakin bahawa semua janji Yehuwa akan ditunaikan apabila Kerajaan-Nya berkuasa sepenuhnya ke atas bumi!

24 Kita tahu bahawa Kerajaan Tuhan pasti akan datang. Kita juga tahu bahawa setiap janji Yehuwa pasti akan ditunaikan. Mengapa? Kerana KERAJAAN TUHAN KINI MEMERINTAH! Sekarang, kita masing-masing harus bertanya, “Adakah saya tunduk kepada Kerajaan Tuhan?” Marilah kita berusaha sedaya upaya untuk menjadi rakyat Kerajaan Tuhan yang setia, supaya kita menikmati pemerintahannya yang adil dan sempurna untuk selama-lamanya!