Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan

Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan

Kepada Rakan Penyebar Kerajaan Tuhan yang Dikasihi,

BAYANGKAN anda seorang ahli Bethel di Brooklyn. Pada pagi Jumaat, 2 Oktober 1914, anda duduk di meja seperti biasa dan menunggu ketibaan Saudara C. T. Russell. Tiba-tiba, pintu dibuka dan Saudara Russell melangkah masuk ke ruang makan. Dia berhenti sejenak seperti yang biasa dilakukannya. Kemudian, dengan riang, dia berkata, “Selamat pagi semua.” Namun, dia tidak terus mengambil tempat duduknya. Sebaliknya, dia menepuk tangannya dan membuat satu pengumuman yang mendebarkan: “Zaman Orang Bukan Yahudi sudah tamat. Pemerintahan raja-raja mereka sudah berakhir!” Anda tidak dapat menahan kegembiraan anda. Sudah lama anda menantikan detik ini! Bersama ahli Bethel yang lain, anda menyambut berita yang hebat ini dengan tepukan gemuruh.

Berpuluh-puluh tahun telah berlalu sejak Saudara Russell membuat pengumuman yang mendebarkan itu. Semenjak itu, Kerajaan Tuhan telah melaksanakan banyak perkara! Pada tahun 1914, umat Tuhan hanya berjumlah beberapa ribu orang, tetapi kini jumlah mereka melebihi 7.5 juta orang. Melalui Kerajaan-Nya, Yehuwa telah beransur-ansur memurnikan dan melatih umat-Nya. Apakah manfaat-manfaat yang telah anda peroleh daripada latihan sedemikian?

Dewasa ini, kita sering mendengar saudara saudari kita berkata, “Kenderaan Yehuwa di syurga sedang bergerak!” Hal itu memang benar. Namun, selepas anda membaca buku ini dengan teliti, anda akan menyedari fakta berikut: Kenderaan Yehuwa di syurga, yang menggambarkan organisasi-Nya yang tidak kelihatan, sentiasa bergerak dengan laju sejak tahun 1914. Untuk menyebarkan berita baik di serata dunia, para penyiar Kerajaan Tuhan telah menggunakan pelbagai kaedah yang kreatif, termasuk perarakan, surat khabar, tayangan gambar dan video, kad mesej Bible, peti nyanyi, radio, dan bahkan Internet.

Yehuwa sememangnya memberkati kerja kita. Sekarang, kita menerbitkan bahan bacaan Bible dalam lebih daripada 670 bahasa, dan menawarkannya kepada semua orang tanpa mengenakan bayaran. Para pekerja sukarela menawarkan diri untuk membantu dalam kerja pembinaan Dewan Perjumpaan, Dewan Perhimpunan, dan bangunan Bethel, sama ada di negara yang maju ataupun di negara yang mempunyai sumber yang terhad. Ketika suatu tempat dilanda bencana, saudara saudari kita menghulurkan bantuan tanpa berlengah-lengah. Dengan itu, mereka menunjukkan bahawa mereka bersedia membantu orang lain “menanggung kesusahan.”​—Ams. 17:17.

Ada kalanya, pemimpin agama dan penentang “bersekutu dengan hakim yang tidak adil” untuk menimbulkan masalah dan menghalang kerja kita. Namun, usaha mereka sering kali “menyebabkan kerja penyebaran berita baik menjadi semakin maju.” Hal ini tentu menguatkan iman kita.​—Mzm. 94:20; Flp. 1:12.

Kami berbesar hati kerana dapat berkhidmat bersama-sama anda sebagai hamba Tuhan. Ingatlah bahawa kami sangat mengasihi anda semua. Kami berdoa agar bahan bacaan ini akan membantu anda untuk lebih menghargai warisan rohani anda.​—Mat. 24:45.

Terimalah salam daripada kami.

Saudara-saudara anda,

Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa