BAHAGIAN 8
Apabila Tragedi Menimpa
“Kamu sangat gembira meskipun kamu perlu menanggung berbagai-bagai cubaan untuk masa yang singkat.”—1 Petrus 1:6
Walaupun anda berusaha agar perkahwinan dan keluarga anda bahagia, perkara yang tidak diduga boleh menyebabkan anda susah mengekalkan sukacita. (Pengkhutbah 9:11) Tuhan dengan pengasih menyediakan bantuan semasa kita menghadapi kesusahan. Jika anda menerapkan prinsip Bible yang berikut, anda sekeluarga dapat bertahan biarpun menghadapi situasi yang paling mencabar.
1 BERGANTUNG KEPADA YEHUWA
NASIHAT BIBLE: ‘Serahkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.’ (1 Petrus 5:7) Ingatlah bahawa sewaktu mengalami cubaan, kita tidak patut menyalahkan Tuhan. (Yakobus 1:13) Seraya anda mendekati Tuhan, Dia akan membantu anda dalam cara yang terbaik. (Yesaya 41:10) “Beritahukanlah segala kesusahan kamu kepada-Nya.”—Mazmur 62:9.
Anda juga akan mendapat kelegaan semasa membaca dan mempelajari Bible setiap hari. Hasilnya, anda akan merasakan bagaimana Yehuwa ‘menolong kita semasa kita mengalami kesusahan.’ (2 Korintus 1:3, 4; Roma 15:4) Dia berjanji untuk memberi anda ‘kesejahteraan yang tidak mungkin difahami oleh manusia.’—Filipi 4:6, 7, 13.
ANDA BOLEH:
-
Berdoa untuk meminta bantuan Yehuwa agar dapat bertenang dan berfikiran wajar
-
Kaji semua pilihan yang ada dan buat keputusan yang terbaik
2 JAGA DIRI DAN KELUARGA
NASIHAT BIBLE: “Orang bijak sentiasa sedia dan suka belajar.” (Amsal 18:15) Dapatkan semua fakta. Ketahuilah keperluan setiap anggota keluarga anda. Bincanglah dengan mereka dan dengar apa yang mereka katakan.—Amsal 20:5.
Bagaimana pula jika orang yang dikasihi meninggal? Jangan pendam perasaan anda. Ingatlah bahawa ‘Yesus juga menangis.’ (Yohanes 11:35; Pengkhutbah 3:4) Tidur dan rehat yang mencukupi juga penting. (Pengkhutbah 4:6) Dengan itu, anda dapat menghadapi keadaan tersebut dengan lebih baik.
ANDA BOLEH:
-
Pupuk kebiasaan untuk berkomunikasi dengan keluarga anda agar mereka berasa lebih senang untuk bercakap dengan anda apabila ditimpa tragedi
-
Bercakap dengan orang yang mungkin pernah mengalami situasi yang serupa dengan anda
3 DAPATKAN SOKONGAN YANG DIPERLUKAN
NASIHAT BIBLE: “Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan . . . saling menanggung kesusahan.” (Amsal 17:17) Sahabat anda ingin memberikan bantuan, tetapi mungkin tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Janganlah teragak-agak untuk memberitahu mereka apa yang anda benar-benar perlukan. (Amsal 12:25) Dapatkan juga bantuan rohani daripada mereka yang memahami Bible. Bimbingan yang mereka beri berdasarkan Bible dapat membantu anda.—Yakobus 5:14.
Anda akan mendapat sokongan yang diperlukan semasa bergaul secara tetap dengan orang yang benar-benar percaya kepada Tuhan dan janji-Nya. Anda juga akan mendapat kelegaan yang besar semasa anda membantu mereka yang memerlukan galakan. Kongsi dengan mereka tentang kepercayaan anda kepada Yehuwa serta janji-Nya. Tetaplah sibuk untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan dan janganlah asingkan diri daripada orang yang benar-benar menyayangi dan mengambil berat tentang anda.—Amsal 18:1; 1 Korintus 15:58.
ANDA BOLEH:
-
Bercakap dengan sahabat akrab dan biarlah dia membantu anda
-
Beritahu dengan jelas dan jujur tentang keperluan anda