Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 1

Dua Perkhabaran daripada Tuhan

Dua Perkhabaran daripada Tuhan

LUKAS 1:5-33

  • MALAIKAT GABRIEL MENUBUATKAN KELAHIRAN YOHANES PEMBAPTIS

  • GABRIEL MEMBERITAHU MARIA TENTANG KELAHIRAN YESUS

Seluruh Bible ialah firman Tuhan. Tuhan memberi kita firman-Nya sebagai pedoman. Terdapat dua perkhabaran daripada Tuhan yang disampaikan lebih daripada 2,000 tahun dahulu. Perkhabaran itu disampaikan oleh malaikat Gabriel yang “sentiasa berada di hadirat Tuhan.” (Lukas 1:19) Marilah kita lihat apa yang telah berlaku.

Sekitar tahun 3 SM, Gabriel pergi ke Yerusalem untuk menyampaikan perkhabaran Tuhan kepada seorang imam yang bernama Zakharia. Zakharia dan isterinya Elisabet tinggal di kawasan pergunungan Yudea. Mereka sudah tua, tetapi mereka tidak ada anak. Pada masa itu, Zakharia berkhidmat sebagai imam di Rumah Tuhan di Yerusalem. Semasa dia berada di mazbah untuk membakar kemenyan, Gabriel tiba-tiba muncul di depannya.

Zakharia sangat takut. Tetapi malaikat itu menenangkan dia dengan berkata, “Janganlah takut, Zakharia. Rayuanmu sudah didengar oleh Tuhan, dan isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah kamu menamakannya Yohanes.” Gabriel menambah, “Dia akan menjadi orang yang penting dalam pandangan Yehuwa” dan “dia akan mengumpulkan suatu umat yang sudah bersiap sedia untuk Yehuwa.”​—Lukas 1:13-17.

Zakharia tidak mempercayai kata-kata Gabriel kerana dia dan isterinya sudah tua. Maka Gabriel berkata, “Kamu akan menjadi bisu. Kamu tidak dapat bersuara sehingga perkara-perkara ini berlaku.”​—Lukas 1:20.

Sementara itu, orang ramai sedang menunggu Zakharia di luar. Mereka berasa hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan. Semasa dia keluar, dia tidak dapat bercakap. Dia asyik memberikan isyarat kepada mereka dengan tangannya. Maka mereka membuat kesimpulan bahawa dia baru sahaja nampak sesuatu yang luar biasa di dalam Rumah Tuhan.

Apabila tempoh masa untuk khidmat sucinya berakhir, dia pun pulang ke rumahnya. Beberapa lama kemudian, isterinya Elisabet mengandung. Oleh itu, Elisabet tidak keluar dari rumah selama lima bulan.

Sekali lagi Gabriel diutus untuk membawa perkhabaran Tuhan. Dia menampakkan diri kepada seorang anak dara yang bernama Maria. Maria tinggal di kota Nasaret di Galilea. Gabriel berkata kepadanya, “Tuhan berkenan kepadamu. Kamu akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Kamu harus menamakannya Yesus.” Gabriel menambah, “Dia akan menjadi agung dan digelar Anak Tuhan Yang Maha Tinggi. . . . Dia akan memerintah sebagai Raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya, dan Kerajaannya tidak akan berkesudahan.”​—Lukas 1:30-33.

Gabriel pasti bersukacita kerana diberi penghormatan untuk menyampaikan kedua-dua perkhabaran ini. Dalam bab-bab seterusnya, kita akan mempelajari mengapa perkhabaran-perkhabaran ini begitu penting.