Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 6

Anak yang Telah Dijanjikan

Anak yang Telah Dijanjikan

LUKAS 2:21-39

  • YESUS DISUNAT LALU DIBAWA KE RUMAH TUHAN

Yusuf dan Maria tinggal di Betlehem dan tidak pulang ke Nasaret. Pada hari kelapan selepas anak mereka lahir, mereka membawa anak itu untuk disunat, dan kemudian menamakannya Yesus, seperti yang disuruh oleh Gabriel.​—Imamat 12:2, 3.

Pada hari ke-40 selepas Yesus dilahirkan, ibu bapanya membawanya ke Rumah Tuhan. Hukum Tuhan menyatakan bahawa 40 hari selepas seorang ibu bersalin, dia perlu mempersembahkan korban penyucian.​—Imamat 12:4-8.

Hukum Tuhan juga menyatakan bahawa seekor bebiri jantan yang muda dan seekor burung harus dipersembahkan. Namun jika seorang ibu tidak mampu berbuat demikian, dia boleh mempersembahkan dua ekor burung tekukur atau burung merpati. Maria telah membawa dua ekor burung kecil sebagai korban. Hal ini menunjukkan bahawa Yusuf dan Maria bukanlah orang kaya.

Di Rumah Tuhan, seorang lelaki tua menghampiri Yusuf dan Maria. Lelaki itu ialah Simeon. Tuhan telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal sebelum melihat Kristus, atau Mesias, yang diutus oleh Yehuwa. Di bawah pimpinan kuasa suci Tuhan, dia masuk ke dalam Rumah Tuhan dan menjumpai Yusuf, Maria, dan bayi mereka.

Simeon mendukung bayi itu sambil memuji Tuhan, “Tuhan Yang Berdaulat, sekarang hamba-Mu dapat mati dengan tenteram. Seperti yang Engkau firmankan, mataku sudah melihat Penyelamat yang datang daripada-Mu, yang telah Engkau sediakan di hadapan semua orang. Dialah cahaya yang akan menyingkirkan selubung bangsa-bangsa dan membawa kemuliaan kepada umat-Mu Israel.”​—Lukas 2:29-32.

Yusuf dan Maria hairan dengan kata-kata Simeon. Simeon memberkati mereka dan memberitahu Maria bahawa disebabkan anak itu, ada orang di Israel yang akan jatuh dan ada yang akan bangkit, dan bahawa Maria akan merintih kesedihan seolah-olah hatinya ditembusi sebilah pedang.​—Lukas 2:34.

Pada hari itu, Hana, seorang nabi wanita yang berusia 84 tahun, juga ada di situ. Dia sentiasa hadir di Rumah Tuhan. Dia datang kepada Yusuf, Maria, dan Yesus, dan mula mengucapkan syukur kepada Tuhan. Dia juga bercakap tentang Yesus kepada semua yang ingin mendengar.

Betapa gembiranya Yusuf dan Maria atas apa yang berlaku di Rumah Tuhan! Semua itu meyakinkan mereka bahawa bayi mereka ialah Anak yang Dijanjikan oleh Tuhan.