Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 14

Murid-Murid Yesus yang Pertama

Murid-Murid Yesus yang Pertama

YOHANES 1:29-51

  • ORANG YANG MULA-MULA MENJADI PENGIKUT YESUS

Sebelum Yesus kembali ke Galilea, dia pergi kepada Yohanes Pembaptis. Apabila Yohanes nampak Yesus, dia berkata, “Lihat, Anak Bebiri Tuhan yang menghapuskan dosa dunia! Dialah orang yang aku maksudkan semasa aku berkata, ‘Orang yang datang selepas aku telah berada di hadapanku, kerana dia wujud sebelum aku.’” (Yohanes 1:29, 30) Ya, Yohanes tahu bahawa Yesus pernah hidup di syurga.

Yohanes juga mengakui bahawa beberapa minggu sebelum ini, apabila Yesus datang kepadanya untuk dibaptis, dia tidak pasti sama ada Yesus ialah Mesias atau tidak. Dia berkata, “Aku pun tidak mengenalnya, tetapi aku datang untuk membaptis dengan air supaya dia dapat menampakkan dirinya di hadapan Israel.”​—Yohanes 1:31.

Seterusnya dia menceritakan apa yang terjadi apabila dia membaptis Yesus. Dia berkata, “Aku telah melihat kuasa suci Tuhan turun dari langit seperti burung merpati dan tinggal di atasnya. Aku pun tidak mengenalnya, tetapi Dia yang mengutus aku untuk membaptis dengan air telah berfirman kepadaku, ‘Apabila kamu melihat kuasa suci Tuhan turun dan tinggal di atas seseorang, dialah orang yang akan membaptis dengan kuasa suci Tuhan.’ Aku sudah melihat hal ini, dan aku memberikan kesaksian bahawa dialah Anak Tuhan.”​—Yohanes 1:32-34.

Pada hari berikutnya, Yohanes nampak Yesus sekali lagi. Dia berkata kepada dua orang muridnya, “Lihat, Anak Bebiri Tuhan!” (Yohanes 1:36) Kemudian dua orang murid itu pun mengikut Yesus. Salah seorang daripada mereka bernama Andreas. Seorang lagi bernama Yohanes, yang mungkin telah mencatatkan peristiwa ini. Dia ialah sepupu Yesus kerana ibunya ialah Salome.

Yesus melihat Andreas dan Yohanes mengikutnya lalu bertanya, “Apakah yang sedang kamu cari?”

“Rabbi,” kata mereka, “di manakah Rabbi tinggal?”

“Marilah dan lihat,” jawab Yesus.​—Yohanes 1:37-39.

Waktu itu kira-kira jam empat petang. Andreas dan Yohanes menghabiskan hari itu bersama Yesus. Andreas begitu teruja sehingga dia pergi menemui saudara kandungnya Simon, yang juga dipanggil Petrus, dan berkata kepadanya, “Kami sudah menjumpai Mesias.” Maka dia membawa Petrus kepada Yesus. (Yohanes 1:41) Kemudian Yohanes juga membawa saudaranya Yakobus kepada Yesus, tetapi Yohanes tidak mencatatkan peristiwa ini dalam tulisannya.

Keesokan harinya, Yesus menemui Filipus, yang berasal dari Betsaida. Betsaida terletak di bahagian utara Tasik Galilea, dan merupakan kampung halaman Andreas dan Petrus. Yesus berkata kepada Filipus, “Jadilah pengikutku.”​—Yohanes 1:43.

Kemudian Filipus menemui Natanael, yang juga dipanggil Bartolomeus, dan berkata, “Kami sudah menemui orang yang perihalnya tercatat dalam Hukum Musa dan Ajaran Para Nabi. Dia ialah Yesus anak Yusuf, yang berasal dari Nasaret.” Namun Natanael berkata, “Dapatkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?”

“Marilah dan lihat,” ujar Filipus. Apabila Yesus melihat Natanael berjalan ke arahnya, dia berkata, “Lihatlah, orang Israel sejati yang hatinya bebas daripada tipu daya.”

“Bagaimanakah Tuan mengenal aku?” tanya Natanael.

Yesus menjawab, “Sebelum Filipus memanggil kamu, aku sudah nampak kamu di bawah pokok ara itu.”

Natanael berkata dengan kagum, “Rabbi ialah Anak Tuhan dan raja orang Israel.”

“Adakah kamu percaya kerana aku berkata bahawa aku nampak kamu di bawah pokok ara itu?” tanya Yesus. “Kamu akan melihat perkara-perkara yang lebih menakjubkan.” Kemudian Yesus berjanji, “Kamu akan melihat langit terbuka, dan melihat malaikat-malaikat Tuhan naik ke syurga dan turun kepada Anak Manusia.”​—Yohanes 1:45-51.

Selepas itu, Yesus dan murid-muridnya meninggalkan Lembah Yordan dan pergi ke Galilea.