Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 19

Yesus Mengajar Seorang Wanita Samaria

Yesus Mengajar Seorang Wanita Samaria

YOHANES 4:3-43

  • YESUS MENGAJAR WANITA SAMARIA DAN ORANG LAIN

  • IBADAT YANG DIPERKENAN OLEH TUHAN

Yesus dan murid-muridnya dalam perjalanan dari Yudea ke Galilea. Mereka penat, jadi pada waktu tengah hari, mereka berhenti di sebuah perigi dekat kota Sikhar di Samaria. Perigi itu digali oleh Yakub lama dahulu. Kita masih boleh menemui perigi itu dekat kota Nablus.

Yesus duduk di tepi perigi itu sementara murid-muridnya pergi membeli makanan. Pada masa itu, seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, “Berilah aku minum.”​—Yohanes 4:7.

Orang Yahudi dan orang Samaria tidak berurusan dengan satu sama lain. Maka wanita itu terkejut dan bertanya, “Tuan ialah orang Yahudi sedangkan aku seorang wanita Samaria. Mengapakah Tuan meminta minum daripada aku?” Yesus menjawab, “Jika kamu tahu tentang kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma dan siapa yang berkata kepadamu, ‘Berilah aku minum,’ sudah pasti kamu akan meminta air daripadanya, dan dia akan memberikan air kehidupan kepadamu.” Wanita itu berkata, “Tuan tidak mempunyai timba untuk mengambil air, lagipun perigi ini dalam. Dari manakah Tuan boleh mendapat air kehidupan ini? Adakah Tuan lebih besar daripada Yakub, nenek moyang kami? Dia yang memberi kami perigi ini, dan dia juga minum air perigi ini bersama anak-anak lelakinya dan ternakannya.”​—Yohanes 4:9-12.

“Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi,” kata Yesus. “Namun, sesiapa yang minum air yang aku berikan tidak akan dahaga lagi. Air itu akan menjadi seperti mata air dalam dirinya yang memberikan kehidupan kekal.” (Yohanes 4:13, 14) Meskipun Yesus penat, dia masih berkongsi kebenaran dengan wanita Samaria itu.

Wanita itu berkata, “Tuan, berilah aku air itu supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu kembali ke sini untuk menimba air.” Tetapi Yesus mengubah tajuk perbualan dan berkata, “Pergilah dan panggil suamimu. Kemudian, datanglah ke sini.” Dia menjawab, “Aku tidak mempunyai suami.” Dia pasti terkejut dengan kata-kata Yesus yang seterusnya, “Benar katamu bahawa kamu tidak bersuami. Kamu pernah mempunyai lima orang suami, dan lelaki yang tinggal bersamamu sekarang bukanlah suamimu. Memang benar katamu.”​—Yohanes 4:15-18.

Setelah mendengar kata-kata Yesus, wanita itu berkata, “Sekarang aku tahu bahawa Tuan ialah seorang nabi.” Kemudian wanita itu menunjukkan minatnya terhadap hal-hal rohani dengan berkata, “Nenek moyang kami [orang Samaria] beribadat di gunung ini [Gunung Gerizim], tetapi bangsa Tuan [orang Yahudi] mengatakan bahawa orang hanya boleh beribadat di Yerusalem.”​—Yohanes 4:19, 20.

Tetapi Yesus menjelaskan bahawa tempat beribadat tidak penting. Dia berkata, “Masanya akan tiba apabila kamu semua tidak akan menyembah Bapa di gunung ini ataupun di Yerusalem. . . . Masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila penyembah sejati akan menyembah Bapa dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran. Sebenarnya, Bapa sedang mencari orang sedemikian untuk menyembah-Nya.”​—Yohanes 4:21, 23, 24.

Ya, Bapa mementingkan cara kita beribadat, bukannya di mana kita beribadat. Wanita itu berkata, “Aku tahu bahawa Mesias yang dipanggil Kristus akan datang. Apabila dia tiba, dia akan memberitahu kami segala-galanya secara terbuka.”​—Yohanes 4:25.

Kemudian Yesus berkongsi kebenaran yang penting, “Akulah dia; aku yang sedang bercakap denganmu.” (Yohanes 4:26) Yesus tidak pernah mengakui bahawa dia ialah Mesias kepada sesiapa pun, tetapi dia telah berbuat demikian kepada seorang wanita Samaria yang datang untuk menimba air.

BANYAK ORANG SAMARIA BERIMAN

Semasa murid-murid Yesus kembali dari Sikhar, mereka nampak dia bercakap dengan seorang wanita Samaria. Apabila mereka sampai, wanita itu meninggalkan tembikar airnya lalu pergi ke kota.

Setibanya di Sikhar, wanita itu memberitahu orang tentang kata-kata Yesus. Dia berkata, “Datanglah dan lihatlah lelaki yang memberitahu aku semua hal yang pernah aku lakukan.” Kemudian, untuk membangkitkan minat mereka, dia bertanya, “Mungkinkah dia itu Kristus?” (Yohanes 4:29) Soalan penting ini telah ditanyakan sejak zaman Musa. (Ulangan 18:18) Orang di kota itu ingin mengetahui jawapannya, maka mereka pergi kepada Yesus.

Sementara itu, murid-murid Yesus menyuruhnya untuk makan, tetapi dia berkata, “Aku mempunyai makanan yang tidak kamu ketahui.” Maka murid-muridnya berkata kepada satu sama lain, “Tiada sesiapa yang membawa makanan untuknya, bukan?” Yesus menjelaskan, “Makananku ialah melakukan kehendak Dia yang mengutus aku dan menyelesaikan pekerjaan yang diberikan-Nya kepadaku.”​—Yohanes 4:32-34.

Kerja menuai barli di kawasan itu akan bermula dalam masa empat bulan lagi. Maka “pekerjaan” yang dimaksudkan oleh Yesus ialah kerja menuai rohani. Dia berkata, “Lihatlah, ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai. Penuai sudah pun menerima upah dan sedang mengumpulkan hasil tuaian, iaitu orang yang akan menerima kehidupan kekal. Dengan itu, penabur benih dan penuai dapat bersukacita bersama-sama.”​—Yohanes 4:35, 36.

Yesus mungkin sedar bahawa ramai orang dari Sikhar beriman kepadanya setelah wanita itu memberikan kesaksian dengan berkata, “Dia memberitahu aku semua hal yang pernah aku lakukan.” (Yohanes 4:39) Maka apabila mereka datang kepada Yesus dan memintanya untuk tinggal di situ dan mengajar mereka, Yesus pun tinggal di Samaria selama dua hari.

Hasilnya lebih ramai orang Samaria beriman kepada Yesus. Mereka berkata kepada wanita itu, “Sekarang kami percaya, bukan sahaja kerana apa yang kamu katakan, tetapi kerana kami sendiri sudah mendengarnya dan kami tahu bahawa lelaki ini sememangnya penyelamat dunia.” (Yohanes 4:42) Ya, kita boleh mencontohi cara wanita Samaria itu menginjil tentang Kristus. Kita boleh membangkitkan minat pendengar kita agar mereka ingin tahu lebih banyak.

Ingatlah bahawa masih ada empat bulan lagi sebelum musim menuai, kerana biasanya tanaman barli di kawasan itu akan dituai pada musim bunga. Maka peristiwa ini mungkin terjadi pada bulan November atau Disember. Hal ini bererti bahawa selepas Paska 30 M, Yesus dan murid-muridnya telah menghabiskan kira-kira lapan bulan di Yudea untuk mengajar dan membaptis orang. Sekarang mereka akan pulang ke Galilea yang terletak di bahagian utara. Apakah yang bakal berlaku di situ?