Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 21

Yesus di Rumah Ibadat di Nasaret

Yesus di Rumah Ibadat di Nasaret

LUKAS 4:16-31

  • YESUS MEMBACA DARI GULUNGAN YESAYA

  • ORANG NASARET MAHU MEMBUNUH YESUS

Penduduk Nasaret tidak sabar-sabar menantikan kedatangan Yesus. Mereka mahu melihat Yesus melakukan mukjizat dalam kalangan mereka. Yesus ialah seorang tukang kayu sebelum dia meninggalkan Nasaret untuk dibaptis oleh Yohanes kira-kira setahun yang lalu. Tetapi kini Yesus kembali ke Nasaret dan dia sangat terkenal kerana dapat melakukan mukjizat.

Seperti biasa, Yesus pergi ke rumah ibadat. Yesus mungkin kenal kebanyakan orang di situ. Setiap hari Sabat, kitab-kitab suci yang ditulis oleh Musa akan dibaca dan mereka akan berdoa bersama-sama. (Kisah 15:21) Buku yang ditulis oleh para nabi juga akan dibaca. Apabila Yesus berdiri untuk membaca, gulungan Nabi Yesaya diserahkan kepadanya. Yesus membuka gulungan itu dan mencari ayat di Yesaya 61:1, 2, yang menyatakan tentang orang yang diurapi oleh Tuhan.

Orang yang diurapi itu akan mengumumkan pembebasan kepada orang yang ditawan, memberitakan bahawa mata orang akan terbuka, dan mengisytiharkan tahun rahmat Tuhan. Kemudian dia mengembalikan gulungan itu lalu duduk. Mata semua orang di dalam rumah ibadat itu tertumpu kepadanya. Dia mengajar mereka banyak hal dan akhirnya berkata, “Pada hari ini, ayat yang baru kamu dengar tadi sudah menjadi kenyataan.”​—Lukas 4:21.

Para pendengar Yesus sangat kagum dengan kata-kata yang diucapkannya. Mereka berkata kepada satu sama lain, “Bukankah dia anak Yusuf?” Yesus sedar bahawa mereka mahu melihat dia melakukan mukjizat. Maka dia berkata, “Tentu kamu semua akan menujukan kata-kata ini kepadaku: ‘Hai doktor, sembuhkanlah dirimu sendiri. Kami mendengar tentang hal-hal yang kamu lakukan di Kapernaum. Lakukanlah hal itu di kampung halamanmu juga.’” (Lukas 4:22, 23) Ya, penduduk di kampung halaman Yesus kecil hati kerana mereka rasa bahawa dia patut menyembuhkan mereka terlebih dahulu.

Maka Yesus memberikan beberapa contoh tentang apa yang berlaku di Israel pada zaman dahulu. Dia berkata bahawa ada banyak balu di Israel, tetapi Elia tidak diutus untuk pergi kepada mana-mana wanita di situ. Sebaliknya dia disuruh pergi kepada seorang balu yang tinggal di Sarafat, yang terletak dekat tanah Sidon. (1 Raja-Raja 17:8-16) Dia juga berkata bahawa ada banyak pesakit kusta di Israel pada zaman Nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman, seorang lelaki Siria.​—2 Raja-Raja 5:1, 8-14.

Dengan menggunakan contoh-contoh itu, Yesus menunjukkan bahawa mereka mementingkan diri dan tidak beriman. Oleh itu mereka menjadi sangat marah lalu menghalau Yesus ke luar kota. Mereka membawanya ke tebing gunung tempat kota mereka dibina dan mahu menolaknya ke bawah. Tetapi Yesus berjaya melarikan diri dan meneruskan perjalanannya ke Kapernaum, yang terletak di bahagian barat laut Tasik Galilea.