Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 26

“Dosamu Sudah Diampunkan”

“Dosamu Sudah Diampunkan”

MATIUS 9:1-8 MARKUS 2:1-12 LUKAS 5:17-26

  • YESUS MENGAMPUNKAN DOSA SEORANG LELAKI LUMPUH DAN MENYEMBUHKANNYA

Berita tentang Yesus tersebar luas. Ramai orang sanggup pergi ke tempat yang terpencil untuk mendengar ajarannya dan melihatnya melakukan mukjizat. Selepas beberapa hari, dia pulang ke Kapernaum. Penduduk kota ini mendapat tahu bahawa dia ada di rumah, maka ramai orang berkumpul di situ. Dalam kalangan mereka, ada orang Farisi dan guru-guru Hukum yang datang dari Galilea dan seluruh Yudea, termasuk kota Yerusalem.

“Ramai orang berkumpul di situ sehingga dekat pintu pun tidak ada tempat. Lalu Yesus mula menyebarkan firman Tuhan kepada mereka.” (Markus 2:2) Sesuatu yang menakjubkan akan terjadi. Peristiwa ini akan membantu kita memahami bahawa Yesus berkuasa untuk menyembuhkan semua orang dan menyingkirkan penyebab penderitaan manusia.

Semasa Yesus mengajar orang di dalam rumah, empat orang lelaki mengusung kawan mereka yang lumpuh dan mahu membawanya kepada Yesus. Tetapi mereka “tidak dapat membawanya terus kepada Yesus” kerana di situ terdapat ramai orang. (Markus 2:4) Jadi mereka membuka bumbung di atas tempat Yesus berada, lalu menurunkan orang lumpuh itu yang berbaring di atas usungannya.

Adakah Yesus marah dengan perbuatan mereka? Tidak! Hatinya tersentuh dengan iman mereka. Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Dosamu sudah diampunkan.” (Matius 9:2) Tetapi para jurutulis hukum dan orang Farisi tidak dapat menerima kata-kata Yesus. Mereka berfikir, “Mengapakah dia berkata demikian? Dia sedang menghina Tuhan. Tiada seorang pun yang boleh mengampunkan dosa kecuali Tuhan.”​—Markus 2:7.

Yesus tahu apa yang difikirkan oleh mereka. Maka dia berkata, “Mengapakah kamu memikirkan hal-hal sebegini? Manakah yang lebih mudah untuk dikatakan kepada orang lumpuh itu: ‘Dosamu sudah diampunkan,’ atau, ‘Bangunlah, angkat usunganmu, dan berjalanlah’?” (Markus 2:8, 9) Ya, Yesus dapat mengampunkan dosa orang lumpuh itu atas dasar korban tebusan yang bakal dipersembahkannya.

Kemudian Yesus menunjukkan kepada semua orang bahawa dia berkuasa untuk mengampunkan dosa di bumi. Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangunlah! Angkatlah usunganmu dan pulanglah.” Lelaki itu segera bangun dan mengangkat usungannya lalu berjalan keluar di hadapan mereka semua. Orang ramai berasa sangat kagum! Mereka memuliakan Tuhan dan berkata, “Kami belum pernah melihat hal sebegini”!​—Markus 2:11, 12.

Perhatikan bahawa Yesus mengaitkan dosa dengan penyakit. Jika dosa seseorang diampunkan, orang itu akan menjadi sihat semula. Bible mengajarkan bahawa manusia yang pertama, iaitu Adam, telah berdosa dan kita semua mewarisi dosa Adam. Itulah sebabnya kita jatuh sakit dan mati. Tetapi di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, Yesus akan mengampunkan dosa orang yang mengasihi Tuhan dan menyembah-Nya. Dengan demikian, tiada orang akan jatuh sakit lagi.​—Roma 5:12, 18, 19.