Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 27

Matius Menjadi Murid Yesus

Matius Menjadi Murid Yesus

MATIUS 9:9-13 MARKUS 2:13-17 LUKAS 5:27-32

  • YESUS MENJEMPUT MATIUS, SEORANG PEMUNGUT CUKAI

  • KRISTUS BERGAUL DENGAN PENDOSA DAN MEMBANTU MEREKA

Selepas Yesus menyembuhkan lelaki yang lumpuh, dia tinggal di Kapernaum buat seketika. Sekali lagi, orang ramai datang kepadanya, dan dia mula mengajar mereka. Semasa dia meneruskan perjalanannya, dia nampak Matius, yang juga dipanggil Lewi, sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Jadilah pengikutku.”​—Matius 9:9.

Seperti Petrus, Andreas, Yakobus, dan Yohanes, Matius mungkin sudah tahu tentang ajaran Yesus dan mukjizat yang dilakukannya. Seperti mereka, Matius juga segera menerima jemputan Yesus. Bible menyatakan, ‘Matius pun berdiri lalu mengikut Yesus.’ (Matius 9:9) Matius meninggalkan kerjanya sebagai pemungut cukai dan menjadi murid Yesus.

Pada kemudian hari, Matius mungkin mengadakan sebuah jamuan besar di rumahnya untuk menunjukkan penghargaannya terhadap jemputan Yesus. Selain Yesus dan murid-muridnya, Matius juga menjemput para pemungut cukai yang lain ke jamuan itu. Mereka memungut pelbagai jenis cukai bagi pihak kerajaan Roma yang dibenci oleh orang Yahudi. Bagaimanakah orang Yahudi memandang para pemungut cukai itu? Orang Yahudi membenci mereka kerana mereka selalunya menipu dengan menaikkan kadar cukai. Selain mereka, ada juga pendosa yang hadir di jamuan itu, iaitu orang yang tidak hidup selaras dengan hukum Tuhan.​—Lukas 7:37-39.

Orang Farisi yang berlagak alim nampak Yesus bergaul dengan pemungut cukai dan pendosa di jamuan itu. Maka mereka bertanya kepada murid-muridnya, ‘Mengapakah guru kamu makan bersama mereka?’ (Matius 9:11) Yesus mendengar pertanyaan mereka lalu menjawab, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit. Pergilah dan belajarlah maksud kata-kata ini: ‘Aku mahukan belas kasihan, bukannya korban.’ Aku datang untuk memanggil pendosa, bukannya orang yang alim.” (Matius 9:12, 13; Hosea 6:6) Orang Farisi memanggil Yesus “guru,” tetapi mereka bukannya ingin belajar daripadanya meskipun dia dapat mengajar mereka tentang apa yang betul.

Nampaknya Matius telah menjemput pemungut cukai dan pendosa ke rumahnya supaya mereka dapat mendengar kata-kata Yesus dan disembuhkan secara rohani, kerana ‘ramai daripada mereka yang mengikut Yesus.’ (Markus 2:15) Yesus ingin membantu mereka menjalinkan persahabatan dengan Tuhan. Dia tidak membenci mereka seperti orang Farisi. Sebaliknya dia berbelas kasihan, suka mengampuni, dan ingin menyembuhkan semua yang sakit secara rohani.

Yesus berbelas kasihan terhadap pemungut cukai dan pendosa, bukan kerana dia menyenangi perbuatan mereka, tetapi kerana dia memandang mereka sebagai orang sakit. Ingatlah bagaimana dia memperlakukan seorang pesakit kusta dengan penuh belas kasihan. Dia menghulurkan tangannya lalu menyentuh pesakit itu sambil berkata, “Aku rela. Sembuhlah.” (Matius 8:3) Kita patut mencontohi Yesus dengan menunjukkan sifat belas kasihan dan membantu orang yang sakit secara rohani.