Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 35

Ceramah Di Atas Gunung

Ceramah Di Atas Gunung

MATIUS 5:1–7:29 LUKAS 6:17-49

  • CERAMAH DI ATAS GUNUNG

Yesus pastinya letih selepas berdoa semalaman dan memilih 12 orang rasul. Sekarang sudah pagi, tetapi dia masih bertenaga dan ingin membantu orang. Dia naik ke atas sebuah gunung di Galilea, yang mungkin tidak jauh dari Kapernaum.

Ramai orang datang kepada Yesus. Ada yang datang dari kawasan selatan, seperti Yerusalem dan tempat lain di Yudea. Ada juga yang datang dari kawasan barat laut, seperti kota Tirus dan Sidon. Mereka datang ‘untuk mendengar Yesus dan ingin penyakit mereka disembuhkan.’ Yesus telah “menyembuhkan mereka semua.” Ya, semua orang yang sakit telah disembuhkan, bahkan “orang yang diganggu roh jahat juga disembuhkan.”​—Lukas 6:17-19.

Kemudian Yesus berdiri di sebuah tempat yang rata di gunung itu dan semua orang berkumpul di sekelilingnya. Murid-muridnya, terutama 12 orang rasul itu, mungkin berada paling dekat dengan Yesus. Semua orang ingin mendengar ajaran guru yang hebat ini. Yesus menyampaikan sebuah ceramah yang mengandungi pengajaran yang amat berharga dan tidak luput ditelan zaman. Yesus menerangkan hal-hal rohani yang mendalam dalam cara yang jelas, dan menggunakan perumpamaan yang mudah difahami. Dengan demikian, semua orang dapat memahami ajarannya. Marilah kita melihat beberapa isi penting dalam ceramah itu.

SIAPAKAH YANG BENAR-BENAR BAHAGIA?

Semua orang ingin hidup bahagia. Yesus sedar tentang hal ini, maka dia memulakan ceramahnya dengan menyatakan apa yang perlu dilakukan supaya seseorang dapat hidup bahagia. Untuk menarik perhatian para pendengarnya, Yesus mengatakan sesuatu yang menarik.

Dia berkata, ‘Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka, kerana Kerajaan di syurga milik mereka. Berbahagialah orang yang berdukacita, kerana hati mereka akan dilegakan. Berbahagialah orang yang lapar dan haus akan keadilan, kerana mereka akan dipuaskan. Berbahagialah orang yang dianiaya kerana melakukan apa yang benar, kerana Kerajaan di syurga milik mereka. Berbahagialah kamu apabila orang menghina dan menganiaya kamu kerana kamu pengikutku. Hendaklah kamu bergembira dan melimpah dengan sukacita.’​—Matius 5:3-12.

Yesus sedang bercakap tentang kebahagiaan sejati. Seseorang yang benar-benar bahagia mempunyai tujuan hidup dan berpuas hati dengan kehidupannya.

Orang yang benar-benar bahagia sedar akan keperluan rohani mereka, sedar bahawa mereka berdosa, dan ingin mengenal serta menyembah Tuhan. Meskipun mereka dihina atau dianiaya kerana melakukan kehendak Tuhan, mereka tetap bahagia dan bersukacita. Mereka tahu bahawa mereka mendapat perkenan Tuhan dan akan menikmati kehidupan abadi.

Meskipun demikian, ramai orang berfikir bahawa kekayaan dan kesenangan hidup dapat membawa kebahagiaan. Tetapi Yesus membetulkan fikiran mereka yang salah dengan berkata, “Malanglah kamu yang kaya, kerana kamu telah mengecap semua nikmat hidup. Malanglah kamu yang kenyang sekarang, kerana kamu akan kelaparan. Malanglah kamu yang sedang ketawa, kerana kamu akan merintih dan menangis. Malanglah kamu jika semua orang memuji kamu, kerana nenek moyang mereka juga memuji nabi-nabi palsu.”​—Lukas 6:24-26.

Mengapakah Yesus berkata demikian? Orang yang bertumpu kepada kekayaan, kesenangan hidup, dan pujian daripada orang lain, selalunya mengabaikan Tuhan dan tidak dapat memperoleh kebahagiaan sejati. Tetapi Yesus juga tidak memaksudkan bahawa orang yang miskin dan lapar pasti akan hidup bahagia. Namun biasanya orang sebeginilah yang menerima ajaran Yesus dan berpeluang untuk menikmati kebahagiaan sejati.

Yesus berkata kepada murid-muridnya, “Kamu ialah garam dunia.” (Matius 5:13) Garam ialah bahan pengawet yang dapat memelihara atau mengekalkan kesegaran makanan. Garam disimpan dekat mazbah Rumah Tuhan, dan ditaburkan di atas korban yang dipersembahkan. (Imamat 2:13; Yehezkiel 43:23, 24) Maka semasa Yesus mengibaratkan murid-muridnya sebagai “garam dunia,” dia memaksudkan bahawa mereka dapat membantu orang untuk mengekalkan kesucian rohani dan moral. Ya, berita yang disebarkan oleh mereka dapat menyelamatkan nyawa orang.

Selain itu, Yesus memberitahu murid-muridnya, “Kamu ialah cahaya dunia.” Sebuah pelita yang sudah dinyalakan tidak akan diletakkan di bawah bakul. Sebaliknya pelita itu haruslah diletakkan di atas kaki pelita supaya cahayanya dapat menerangi kawasan di sekelilingnya. Maka Yesus menyuruh mereka, “Biarlah cahaya kamu bersinar di hadapan orang lain supaya mereka melihat perbuatan baik kamu dan memuji Bapa kamu yang di syurga.”​—Matius 5:14-16.

MESTI MENJUNJUNG HUKUM TUHAN

Para pemimpin agama Yahudi berpendapat bahawa Yesus harus dibunuh kerana dia tidak mematuhi Hukum Tuhan. Maka Yesus berkata, “Jangan berfikir bahawa aku datang untuk menghapuskan Hukum atau Ajaran Para Nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskannya tetapi aku datang supaya semua ajaran itu berlaku.”​—Matius 5:17.

Yesus menjunjung tinggi Hukum Tuhan dan dia menggalakkan orang lain untuk mematuhi hukum itu. Dia berkata, “Jika sesiapa melanggar salah satu perintah yang paling kecil dan mengajar orang lain berbuat demikian, dia tidak layak memasuki Kerajaan di syurga. Tetapi sesiapa yang mentaati perintah itu dan mengajarkannya kepada orang lain, dia layak memasuki Kerajaan di syurga.”​—Matius 5:19.

Yesus bahkan menyatakan sikap yang boleh menyebabkan seseorang melanggar Hukum Tuhan. Selepas memetik perintah “Jangan membunuh” daripada hukum itu, dia menambah, “Sesiapa yang terus marah terhadap saudaranya akan diadili di mahkamah.” (Matius 5:21, 22) Seseorang mungkin akan membunuh saudaranya jika dia tidak mengawal perasaan marahnya. Oleh itu, dia harus berdamai dengan saudaranya. Maka Yesus berkata, “Semasa kamu membawa pemberianmu ke mazbah, dan kamu teringat bahawa saudaramu tidak senang hati terhadapmu, tinggalkanlah pemberianmu itu di hadapan mazbah. Pergilah dan berdamailah dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah kamu kembali untuk mempersembahkan pemberianmu.”​—Matius 5:23, 24.

Hukum Tuhan juga mengutuk perbuatan zina. Yesus berkata, “Kamu sudah mendengar ajaran ini: ‘Jangan berzina.’ Tetapi aku berkata kepada kamu bahawa sesiapa yang terus memandang seorang wanita dengan perasaan berahi sudah berzina dengannya dalam hati.” (Matius 5:27, 28) Yesus tidak memaksudkan seseorang yang terfikir tentang perkara yang tidak bermoral secara tidak sengaja. Sebaliknya, dia memaksudkan seseorang yang asyik berfikir tentangnya sehingga membangkitkan perasaan berahi, dan berzina apabila ada kesempatan. Bagaimanakah kejadian ini dapat dihindari? Tindakan yang drastik perlu diambil. Yesus berkata, ‘Jika mata kanan kamu membuat kamu tersandung, cungkillah dan buanglah mata itu. Jika tangan kanan kamu membuat kamu tersandung, potonglah dan buanglah tangan itu.’​—Matius 5:29, 30.

Sesetengah orang sanggup memotong tangan atau kaki yang terkena jangkitan untuk menyelamatkan nyawa mereka. Begitu juga, Yesus berkata bahawa kita perlu ‘membuang’ apa-apa sahaja, bahkan mata atau tangan sendiri, agar kita dapat menghindari fikiran atau kelakuan yang tidak bermoral. Yesus menjelaskan, “Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh kamu daripada seluruh tubuh kamu dilemparkan dalam Gehena” (iaitu, tempat membakar sampah di luar Yerusalem), yang melambangkan pembinasaan kekal.

Yesus juga mengajar kita apa yang harus kita lakukan apabila orang menyakiti atau menyinggung perasaan kita. Dia berkata, “Jangan melawan orang yang jahat. Jika seseorang menampar pipi kananmu, biarlah dia menampar pipi kirimu juga.” (Matius 5:39) Hal ini tidak bererti seseorang tidak boleh mempertahankan diri atau keluarganya jika diserang. Tamparan di pipi tidak akan mengancam nyawa. Maka Yesus sedang berkata bahawa jika seseorang cuba mencetuskan perbalahan dengan menampar pipi kita atau dengan mengucapkan kata-kata hinaan, kita tidak patut membalasnya.

Nasihat ini selaras dengan hukum Tuhan untuk saling mengasihi. Maka Yesus menyuruh para pendengarnya, “Teruslah mengasihi musuhmu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu. Dengan demikian kamu dapat menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga, kerana Dia membuat matahari terbit untuk orang jahat dan orang baik.”​—Matius 5:44, 45.

Yesus membuat kesimpulan dengan berkata, “Oleh itu, kamu harus sempurna sebagaimana Bapa kamu yang di syurga sempurna.” (Matius 5:48) Hal ini tidak bererti bahawa kita dapat menjadi manusia sempurna yang tidak berbuat salah. Tetapi dengan meniru Tuhan, kita dapat mengasihi orang, bahkan musuh kita. Ya, kita patut ‘terus berbelas kasihan sebagaimana Bapa kita berbelas kasihan.’​—Lukas 6:36.

BERDOA DAN BERIMAN KEPADA TUHAN

Seterusnya Yesus mengutuk orang yang “berbuat baik di hadapan orang sekadar untuk dilihat.” Dia berkata, “Semasa kamu membuat kebajikan, janganlah kamu meniup trompet untuk menarik perhatian, seperti yang dilakukan oleh orang yang bermuka dua.” (Matius 6:1, 2) Jelaslah bahawa kita tidak patut berbuat baik supaya dipuji orang.

Kemudian Yesus berkata, ‘Semasa kamu berdoa, janganlah menjadi seperti orang yang bermuka dua yang suka berdoa sambil berdiri di rumah ibadat dan di simpang jalan utama agar dilihat orang. Sebaliknya, masuklah ke dalam bilik sendiri dan tutuplah pintu, lalu berdoalah kepada Bapamu yang berada di tempat rahsia-Nya.’ (Matius 6:5, 6) Hal ini tidak bererti kita tidak boleh berdoa di hadapan orang kerana Yesus sendiri juga pernah berbuat demikian. Sebenarnya dia sedang mengutuk orang yang berdoa kerana ingin mendapat pujian.

Dia memberitahu para pendengarnya, “Semasa kamu berdoa, jangan asyik mengulangi kata-kata yang sama seperti yang dilakukan oleh orang daripada bangsa-bangsa lain.” (Matius 6:7) Yesus tidak melarang kita untuk berdoa tentang hal yang sama. Dia sedang mengutuk orang yang menghafal doa mereka dan ‘asyik mengulanginya.’ Kemudian dia mengajarkan doa contoh yang merangkumi tujuh permintaan. Tiga permintaan yang pertama ialah penyucian nama Tuhan, kedatangan Kerajaan-Nya, dan pelaksanaan kehendak-Nya. Ketiga-tiga permintaan ini berkaitan dengan hak Tuhan untuk memerintah dan tujuan-Nya. Selepas tiga permintaan ini, barulah kita memohon Tuhan untuk memenuhi keperluan harian kita, mengampunkan dosa kita, membantu kita menghadapi godaan dengan tabah, dan menyelamatkan kita daripada Si Jahat.

Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap harta benda? Yesus berkata, “Jangan lagi mengumpulkan harta di bumi, kerana di bumi terdapat gegat dan karat yang akan merosakkannya, dan terdapat pencuri yang datang untuk mencurinya.” Kata-katanya memang munasabah! Harta benda tidak berkekalan dan tidak dapat membantu kita mendapat perkenan Tuhan. Kemudian Yesus menambah, “Kumpulkanlah harta di syurga.” Kita dapat berbuat demikian dengan mengutamakan khidmat suci. Tiada sesiapa pun yang dapat merampas nama baik kita di hadapan Tuhan ataupun mencuri harapan hidup abadi kita. Memang benar kata-kata Yesus, “Di mana harta kamu, di situ juga hati kamu.”​—Matius 6:19-21.

Untuk menekankan isi penting ini, Yesus menceritakan sebuah perumpamaan, “Mata ialah pelita tubuh. Jadi, jika matamu tertumpu kepada satu perkara sahaja, seluruh tubuhmu akan menjadi terang. Tetapi jika matamu jahat, seluruh tubuhmu akan menjadi gelap.” (Matius 6:22, 23) Mata kita hanya dapat berfungsi dengan baik dan menjadi pelita hidup, jika kita bertumpu kepada satu perkara sahaja. Tetapi jika kita bertumpu kepada perkara yang salah seperti mengejar kekayaan, kita akan mengabaikan kehendak Tuhan. Akibatnya kita mungkin akan tertarik kepada kegelapan atau hal-hal yang jahat.

Kemudian Yesus memberikan satu contoh, “Tiada seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan; dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi, atau dia akan setia kepada yang seorang tetapi menghina yang seorang lagi. Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.”​—Matius 6:24.

Segelintir pendengar Yesus mungkin risau tentang keperluan fizikal mereka. Maka Yesus meyakinkan mereka bahawa jika mereka mengutamakan khidmat suci, mereka tidak perlu risau. Dia berkata, “Perhatikanlah burung di langit yang tidak menyemai benih, menuai, atau mengumpulkan hasil ke dalam jelapang. Namun Bapa kamu yang di syurga masih memberi burung makanan.”​—Matius 6:26.

Berkenaan bunga-bunga di padang, Yesus berkata bahawa “Raja Salomo dengan segala kemuliaannya pun tidak berpakaian seindah salah satu daripada bunga-bunga itu.” Apakah ertinya? Dia menjelaskan, “Jika tumbuh-tumbuhan di padang yang ada hari ini lalu esoknya dibuang ke dalam api pun diberi pakaian yang indah oleh Tuhan, apatah lagi dengan kamu!” (Matius 6:29, 30) Maka Yesus menggalakkan mereka, “Janganlah khuatir dan berkata, ‘Apa yang akan kami makan?’ atau, ‘Apa yang akan kami minum?’ atau, ‘Apa yang akan kami pakai?’ . . . Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua perkara ini. Maka, hendaklah kamu sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan dan apa yang benar di mata-Nya, dan semua perkara itu akan diberikan kepada kamu.”​—Matius 6:31-33.

CARA MEMPEROLEH HIDUP ABADI

Para rasul dan orang yang berhati jujur ingin mendapat perkenan Tuhan, tetapi hal ini tidak mudah kerana ramai orang Farisi suka mencari kesalahan dan mengkritik orang. Maka Yesus memberikan nasihat berikut: ‘Jangan lagi menghakimi orang lain supaya kamu tidak dihakimi kerana kamu akan dihakimi sebagaimana kamu menghakimi orang.’​—Matius 7:1, 2.

Yesus menceritakan satu perumpamaan yang menunjukkan bahawa kita tidak patut meniru perbuatan orang Farisi. Dia berkata, “Bagaimanakah orang buta dapat memimpin orang buta? Kedua-duanya akan jatuh ke dalam lubang, bukan?” Ya, kita tidak patut mencari kesalahan orang kerana hal ini ialah kesalahan yang serius. Yesus juga berkata, “Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudara kamu, ‘Saudara, biarlah aku mengeluarkan jerami dari matamu,’ sedangkan kayu balak di dalam matamu sendiri tidak kamu lihat? Hai orang yang bermuka dua, keluarkanlah dahulu kayu balak dari matamu sendiri, kemudian barulah kamu dapat melihat dengan jelas bagaimana untuk mengeluarkan jerami dari mata saudaramu.”​—Lukas 6:39-42.

Meskipun demikian, kita masih perlu membuat pertimbangan yang wajar kerana Yesus juga berkata, “Jangan berikan apa yang suci kepada anjing dan jangan berikan mutiara kamu kepada babi.” (Matius 7:6) Kebenaran dalam Firman Tuhan amat bernilai seperti mutiara. Jika sesetengah orang berkelakuan seperti binatang yang tidak tahu menghargai kebenaran, pengikut Yesus patut meninggalkan mereka dan mencari orang lain yang ingin mendengar.

Seterusnya Yesus kembali kepada topik doa. Dia menekankan bahawa kita perlu tekun berdoa dengan berkata, “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya.” Yesus memberitahu kita bahawa Tuhan ingin menjawab doa kita. Katanya, ‘Siapakah antara kamu yang akan memberikan batu kepada anaknya apabila anaknya meminta roti? Oleh itu, jika kamu yang jahat pun tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anakmu, apatah lagi Bapa kamu yang di syurga! Sudah pasti Dia akan memberikan apa yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya!’​—Matius 7:7-11.

Kemudian Yesus mengajar kita cara memperlakukan orang lain. Dia berkata, “Semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, kamu juga mesti melakukannya untuk mereka.” Tetapi Yesus sedar bahawa tidak mudah untuk berbuat demikian kerana dia menambah, “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu yang lebar dan jalan yang luas menuju kebinasaan. Ramai orang melalui jalan itu. Tetapi pintu yang sempit dan jalan yang susah menuju kehidupan. Hanya sedikit orang menjumpai jalan itu.”​—Matius 7:12-14.

Yesus tahu bahawa akan ada orang yang cuba menyesatkan murid-muridnya, maka dia memberikan amaran berikut: “Berwaspadalah terhadap nabi-nabi palsu yang datang bertopengkan biri-biri, tetapi sebenarnya mereka ialah serigala yang buas.” (Matius 7:15) Yesus juga berkata bahawa pokok yang baik dan yang buruk dapat dikenal pasti melalui buahnya. Begitu juga, kita dapat mengenal pasti pengikut Yesus melalui tutur kata dan perbuatan mereka. Kita juga dapat mengenal pasti nabi-nabi palsu melalui ajaran dan tindakan mereka. Mereka mengakui Yesus sebagai Tuan tetapi tidak melakukan kehendak Tuhan. Jadi berkenaan mereka, Yesus berkata, “Aku tidak mengenal kamu! Pergilah dari sini, hai orang yang melanggar hukum!”​—Matius 7:23.

Yesus mengakhiri ceramahnya dengan berkata, “Setiap orang yang mendengar kata-kataku dan melakukannya akan menjadi seperti orang bijaksana yang membina rumahnya di atas batu. Hujan lebat turun, banjir melanda, dan angin kencang menimpa rumah itu, tetapi rumah itu tidak roboh kerana dibina di atas batu.” (Matius 7:24, 25) Rumah itu tidak roboh kerana orang itu “menggali lubang yang dalam lalu meletakkan asas rumahnya di atas batu.” (Lukas 6:48) Maksudnya, kita bukan sekadar mendengar ajaran Yesus, kita juga perlu berusaha sedaya upaya untuk mematuhinya.

Bagaimana pula dengan orang ‘yang mendengar kata-kata Yesus tetapi tidak melakukannya’? Orang itu “seperti orang bodoh yang membina rumahnya di atas pasir.” (Matius 7:26) Rumah itu akan roboh semasa ditimpa hujan lebat, banjir, dan angin kencang.

Orang ramai kagum dengan cara Yesus mengajar, kerana dia mengajar mereka sebagai seorang yang berwibawa dan bukan seperti para pemimpin agama. Mungkin ramai antara mereka telah menjadi muridnya.