Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 39

Generasi yang Jahat Dikutuk

Generasi yang Jahat Dikutuk

MATIUS 11:16-30 LUKAS 7:31-35

  • YESUS MENGUTUK BEBERAPA BUAH KOTA

  • DIA MEMBERIKAN KESEGARAN DAN KELEGAAN

Yesus memandang tinggi Yohanes Pembaptis, tetapi bagaimana pula dengan orang lain? Yesus berkata, “Generasi ini seperti kanak-kanak yang duduk di tempat awam sambil berseru kepada satu sama lain, ‘Kami meniup seruling untuk kamu, tetapi kamu tidak menari; kami meratap, tetapi kamu tidak memukul dada dengan sedih.’”​—Matius 11:16, 17.

Apakah maksud Yesus? Dia menjelaskan, “Semasa Yohanes datang, dia tidak makan ataupun minum wain. Namun orang berkata, ‘Dia kena rasuk roh jahat.’ Semasa Anak Manusia datang, dia makan dan minum wain. Tetapi orang masih berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia gelojoh, pemabuk, dan bersahabat dengan pemungut cukai dan pendosa.’” (Matius 11:18, 19) Yohanes hidup sebagai orang Nazir dan tidak minum wain, tetapi mereka berkata bahawa dia dirasuk roh jahat. (Bilangan 6:2, 3; Lukas 1:15) Sebaliknya, Yesus hidup seperti orang biasa. Dia makan dan minum, tetapi mereka menuduh bahawa dia gelojoh dan pemabuk. Nampaknya mustahil untuk memuaskan mereka.

Yesus menyamakan generasi ini dengan kanak-kanak di tempat awam yang enggan menari apabila orang lain memainkan seruling dan enggan meratap apabila orang lain bersedih. Kemudian dia menyambung, “Meskipun demikian, kebijaksanaan dibuktikan benar oleh perbuatan.” (Matius 11:16, 19) Ya, perbuatan Yohanes dan Yesus membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka adalah palsu.

Selepas itu, Yesus mengutuk kota-kota Korazin dan Betsaida. Meskipun dia telah melakukan mukjizat di kota-kota itu, penduduknya masih tidak bertaubat. Dia berkata bahawa jika mukjizat yang sama dilakukan di kota-kota orang Fenisia seperti Tirus dan Sidon, penduduknya pasti sudah bertaubat. Dia juga mengutuk Kapernaum, yang menjadi tempat tinggalnya buat suatu jangka waktu, kerana penduduk di situ tidak menyambut baik berita yang dikhabarkannya. Maka berkenaan mereka, Yesus berkata, “Pada Hari Penghakiman, kamu akan menanggung hukuman yang lebih berat daripada tanah Sodom.”​—Matius 11:24.

Kemudian Yesus memuji Bapanya yang menyembunyikan kebenaran rohani “daripada orang yang bijak pandai” tetapi menyingkapkannya kepada orang yang rendah hati seperti anak-anak muda. (Matius 11:25) Dia berkata kepada mereka yang rendah hati, “Marilah kepadaku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat, dan aku akan menyegarkan kamu. Pikullah kuk aku dan belajarlah daripadaku, kerana aku lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan pulih segar. Kuk aku senang dipikul, dan pikulan yang aku berikan pun ringan.”​—Matius 11:28-30.

Bagaimanakah Yesus akan menyegarkan mereka? Para pemimpin agama telah membebani orang dengan tradisi manusia, seperti peraturan yang ketat berkenaan hari Sabat. Tetapi Yesus akan menyegarkan mereka dengan kebenaran Tuhan yang tidak dicemari dengan tradisi itu. Dia juga membuka jalan keluar bagi orang yang ditindas oleh pihak berkuasa dan orang yang dibebani dosa. Ya, Yesus mengajar mereka cara mendapat pengampunan dosa dan cara berbaik semula dengan Tuhan.

Semua orang yang memikul kuk Yesus dapat membaktikan diri kepada Tuhan dan menyembah Bapa di syurga yang suka mengampuni dan penuh belas kasihan. Mereka yang berbuat demikian akan mendapat kesegaran jiwa kerana hukum Tuhan tidak membebankan.​—1 Yohanes 5:3.