Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 42

Yesus Menegur Orang Farisi

Yesus Menegur Orang Farisi

MATIUS 12:33-50 MARKUS 3:31-35 LUKAS 8:19-21

  • TANDA NABI YUNUS

  • MURID-MURID LEBIH AKRAB DARIPADA AHLI KELUARGA SENDIRI

Para jurutulis hukum dan orang Farisi menghina kuasa suci Tuhan kerana enggan mengaku bahawa Yesus melakukan mukjizat dengan bantuan kuasa Tuhan. Mereka sedang berpihak kepada Tuhan atau Syaitan? Yesus berkata, “Jika pokok kamu baik, buah yang dihasilkan juga baik. Tetapi jika pokok kamu tidak baik, buah yang dihasilkan juga tidak baik. Baik tidaknya sepohon pokok dapat diketahui daripada buahnya.”​—Matius 12:33.

Dengan mengusir roh-roh jahat, Yesus menunjukkan bahawa perbuatannya baik. Seperti yang dikatakannya dalam Ceramah Di Atas Gunung, pokok yang baik akan menghasilkan buah yang baik. Jadi bagaimana pula dengan perbuatan orang Farisi yang menuduh Yesus? Mereka seperti buah yang busuk. Yesus menegur mereka, “Hai keturunan ular berbisa, bagaimanakah kamu dapat menuturkan hal-hal yang baik sedangkan kamu jahat? Apa yang melimpah dalam hati, itulah yang akan diucapkan oleh mulut.”​—Matius 7:16, 17; 12:34.

Ya, tutur kata kita menyingkapkan keadaan hati kita dan Tuhan akan menghakimi kita berdasarkan tutur kata kita. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Aku memberitahu kamu bahawa pada Hari Penghakiman, manusia akan dipertanggungjawabkan atas setiap perkataan sia-sia yang pernah dituturkan. Jika kata-katamu baik, Tuhan akan menyatakan bahawa kamu sedang melakukan apa yang benar. Tetapi jika kata-katamu jahat, Tuhan akan menghakimi kamu.”​—Matius 12:36, 37.

Yesus telah melakukan banyak mukjizat. Namun mereka masih meminta Yesus memberi mereka tanda bahawa dia diutus oleh Tuhan. Maka dia berkata, “Kamu merupakan generasi yang jahat dan tidak setia kepada Tuhan! Kamu asyik meminta tanda. Tetapi tiada tanda yang akan diberikan kepada kamu kecuali tanda Nabi Yunus.”​—Matius 12:38, 39.

Yesus menyambung, “Sepertimana Yunus berada di dalam perut ikan yang besar selama tiga hari dan tiga malam, Anak Manusia juga akan berada di dalam perut bumi selama tiga hari dan tiga malam.” Yunus ditelan oleh seekor ikan yang besar dan dimuntahkan keluar selepas tiga hari. Maka Yesus sedang menubuatkan bahawa dia akan mati dan dibangkitkan pada hari ketiga. Apabila hal itu berlaku pada kemudian hari, guru-guru agama itu menolak “tanda Nabi Yunus” dan enggan bertaubat. (Matius 27:63-66; 28:12-15) Tidak seperti mereka, penduduk Niniwe bertaubat selepas mendengar perkhabaran Yunus. Jadi penduduk Niniwe menunjukkan bahawa generasi ini sangat jahat. Selain itu, ratu dari Syeba juga menunjukkan bahawa mereka sangat jahat kerana dia sanggup datang dari jauh untuk mendengar kata-kata Salomo yang bijaksana. Tetapi meskipun Yesus, iaitu “orang yang lebih besar daripada Salomo,” ada bersama mereka, mereka tidak menerimanya.​—Matius 12:40-42.

Yesus menyamakan generasi yang jahat ini dengan seorang lelaki yang dirasuk roh jahat. Roh jahat itu kemudian keluar daripadanya. (Matius 12:45) Tetapi lelaki itu tidak mengisi kekosongan itu dengan hal-hal yang baik, maka roh jahat itu kembali bersama tujuh roh lain yang lebih jahat daripadanya lalu memasuki lelaki itu. Bangsa Israel seperti lelaki itu. Yehuwa telah mendisiplinkan dan menyucikan mereka. Namun mereka menolak nabi-nabi Tuhan dan akhirnya menentang Yesus meskipun dia diurapi kuasa suci Tuhan. Oleh itu, keadaan mereka menjadi lebih buruk daripada sebelumnya.

Semasa Yesus sedang bercakap, ibu dan adik-adiknya datang. Ada orang memberitahunya, “Ibu dan adik-adik Guru sedang berdiri di luar dan ingin berjumpa dengan Guru.” Yesus mahu mengajar mereka bahawa dia sangat rapat dengan murid-muridnya dan menganggap mereka sebagai ahli keluarganya sendiri. Maka dia berkata, “Ibuku dan adik-adikku ialah orang yang mendengar firman Tuhan dan melakukannya.” (Lukas 8:20, 21) Ya, bagi Yesus hubungannya dengan murid-muridnya lebih akrab daripada hubungannya dengan keluarga sendiri. Meskipun orang lain mencemuh atau mempersoalkan perbuatan baik kita, kita rasa gembira kerana mempunyai rakan seiman yang mengasihi kita.