Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 44

Yesus Meredakan Ribut

Yesus Meredakan Ribut

MATIUS 8:18, 23-27 MARKUS 4:35-41 LUKAS 8:22-25

  • YESUS MEREDAKAN RIBUT DI TASIK GALILEA

Yesus sibuk sehari suntuk dan dia sangat letih. Pada waktu petang, dia berkata kepada murid-muridnya, “Marilah kita menyeberangi tasik.” Mereka pun meninggalkan Kapernaum.​—Markus 4:35.

Mereka ingin pergi ke kawasan Gerasa yang terletak di timur Tasik Galilea. Kawasan ini juga dikenali sebagai Dekapolis. Kota-kota di Dekapolis merupakan pusat budaya orang Yunani, tetapi ramai orang Yahudi juga tinggal di situ.

Yesus menaiki perahu dan menyeberangi tasik. Ada juga perahu-perahu lain yang mengikutnya. (Markus 4:36) Tasik Galilea ialah tasik air tawar yang sangat dalam, tetapi panjang tasik ini hanyalah kira-kira 21 kilometer dan lebarnya kira-kira 12 kilometer. Maka perjalanan ini tidak begitu jauh.

Yesus berasa letih meskipun dia manusia yang sempurna. Jadi selepas mereka menaiki perahu, dia pergi ke bahagian belakang perahu itu dan berbaring lalu tertidur.

Meskipun beberapa orang rasul pandai belayar, perjalanan menyeberangi Tasik Galilea tidak semudah yang disangka. Mengapa? Kadangkala angin yang sejuk akan bertiup dari kawasan pergunungan dekat tasik itu dan bertembung dengan udara panas di permukaan tasik. Hal ini akan menghasilkan angin ribut yang kencang. Inilah yang terjadi semasa mereka menyeberangi tasik itu. Perahu mereka dihempas ombak dan “mula dipenuhi air sehingga mereka berada dalam bahaya.” (Lukas 8:23) Tetapi Yesus masih tidur!

Rasul-rasul Yesus yang berpengalaman sebagai nelayan berusaha untuk mengemudi perahu itu. Tetapi angin ribut kali ini sangat kencang dan mereka sangat takut, maka mereka mengejutkan Yesus dan berkata kepadanya, “Tuan, selamatkanlah kami! Kami hampir mati!”​—Matius 8:25.

Yesus terjaga dan berkata, “Mengapakah kamu begitu takut? Alangkah lemahnya iman kamu!” (Matius 8:26) Kemudian dia menegur angin dan tasik dengan berkata, “Diam! Tenanglah!” (Markus 4:39) Angin pun reda dan tasik menjadi tenang. (Buku Markus dan Lukas juga mencatatkan kejadian ini. Mereka menyatakan bahawa Yesus meredakan angin ribut sebelum mengatakan bahawa iman mereka sangat lemah.)

Yesus telah melakukan sesuatu yang amat menakjubkan! Murid-muridnya nampak keadaan tasik menjadi tenang sekali dalam sekelip mata. Mereka sangat takut lalu berkata sesama sendiri, “Siapakah sebenarnya orang ini? Angin dan ombak pun mematuhinya.” Kemudian mereka tiba di seberang tasik dengan selamat. (Markus 4:41–5:1) Mungkin perahu lain yang mengikut mereka juga selamat kembali ke sebelah barat tasik.

Peristiwa ini menunjukkan bahawa Anak Tuhan berkuasa atas alam semula jadi. Apabila dia memerintah bumi, dia pasti akan menghentikan semua bencana alam yang menakutkan, dan semua orang akan hidup aman sejahtera!