Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 50

Menginjil dengan Bersemangat meskipun Ditentang

Menginjil dengan Bersemangat meskipun Ditentang

MATIUS 10:16–11:1 MARKUS 6:12, 13 LUKAS 9:6

  • YESUS MELATIH PARA RASULNYA DAN MENGUTUS MEREKA

Semasa Yesus mengutus rasul-rasulnya untuk menginjil, dia memberi mereka arahan yang spesifik. Dia juga memberikan amaran berikut: ‘Aku mengutus kamu seperti mengutus biri-biri ke tengah-tengah kawanan serigala. Berwaspadalah kerana orang akan membawa kamu ke mahkamah, dan kamu akan dicambuk di rumah ibadat. Kamu akan dihadapkan kepada gabenor dan raja kerana aku.’​—Matius 10:16-18.

Pengikut Yesus akan menghadapi tentangan yang hebat, maka dia menggalakkan mereka dengan berkata, “Semasa kamu diserahkan kepada mereka, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Pada masa itu, kamu akan tahu apa yang harus kamu katakan, kerana yang berkata-kata itu bukan kamu, tetapi kuasa suci Bapa kamu yang berucap melalui kamu.” Dia menyambung, “Seseorang akan menyerahkan saudara kandungnya untuk dibunuh, seorang bapa akan menyerahkan anaknya untuk dibunuh, dan seorang anak akan melawan ibu bapanya lalu menyerahkan mereka untuk dibunuh. Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana namaku. Tetapi orang yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.”​—Matius 10:19-22.

Kerja menginjil amat penting, jadi Yesus menekankan bahawa para pengikutnya harus berhati-hati. Dia berkata, “Apabila mereka menganiaya kamu di sebuah kota, larilah ke kota yang lain. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Anak Manusia akan tiba sebelum kamu selesai mengunjungi semua kota dan pekan di Israel.”​—Matius 10:23.

Yesus telah memberikan arahan, amaran, dan galakan kepada rasulnya. Kata-kata Yesus juga dapat membantu mereka yang akan menginjil selepas pemergiannya. Bagaimanakah kita tahu akan hal ini? Yesus pernah berkata bahawa pengikutnya akan “dibenci oleh semua orang.” Tetapi hal ini tidak terjadi kepada para rasulnya kerana pada waktu itu, mereka menginjil kepada orang Israel sahaja. Selain itu, semasa mereka menginjil di Galilea, mereka tidak pernah “dihadapkan kepada gabenor dan raja,” atau ‘diserahkan oleh saudara kandung mereka untuk dibunuh.’

Maka jelaslah bahawa Yesus sedang merujuk kepada apa yang akan berlaku pada masa depan. Pertimbangkanlah kata-kata Yesus yang berikut: “Anak Manusia akan tiba sebelum kamu selesai mengunjungi semua kota dan pekan.” Hal ini menunjukkan bahawa Raja Yesus akan datang sebagai hakim Tuhan sebelum pengikutnya selesai menyebarkan berita baik ke seluruh dunia.

Para rasul tidak patut berasa hairan apabila mereka ditentang kerana Yesus berkata, “Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya, dan tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya.” Hal ini bererti bahawa jika Yesus dianiaya dan ditentang, apatah lagi mereka. Namun Yesus berkata, “Janganlah takut akan mereka yang dapat membunuh tubuh tetapi tidak dapat memusnahkan nyawa. Sebaliknya takutlah akan Tuhan yang dapat memusnahkan baik nyawa mahupun tubuh dalam Gehena.”​—Matius 10:24, 28.

Meskipun ditentang, Yesus menginjil dengan berani dan tetap setia kepada Yehuwa sampai mati. Hanya Yehuwa yang dapat “memusnahkan nyawa” seseorang, iaitu harapannya untuk memperoleh hidup abadi. Hanya Tuhan juga yang dapat membangkitkan seseorang dan memberinya hidup abadi. Pastinya para rasul digalakkan dengan kata-kata Yesus ini!

Yesus menggambarkan keprihatinan Tuhan dengan berkata, ‘Bukankah dua ekor burung pipit dijual dengan mata wang yang kecil nilainya? Meskipun demikian, tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa diketahui oleh Bapa kamu. Oleh itu, janganlah takut. Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.’​—Matius 10:29, 31.

Kemudian Yesus berkata, “Jangan berfikir bahawa aku datang ke bumi untuk membawa kedamaian.” Hal ini bererti bahawa berita yang disebarkan oleh murid-murid Yesus akan menyebabkan sesetengah keluarga berpecah belah kerana ada ahli keluarga yang akan menerima berita ini dan ada yang akan menolaknya. Jadi seseorang yang ingin menerima kebenaran haruslah berani. Yesus berkata, “Sesiapa yang lebih mengasihi ibu bapanya daripada aku, tidak layak menjadi muridku. Begitu juga, sesiapa yang lebih mengasihi anak lelaki atau anak perempuannya daripada aku, tidak layak menjadi muridku.”​—Matius 10:34, 37.

Tetapi ada juga orang yang akan menyambut berita Kerajaan Tuhan. Dia berkata, “Sesiapa yang memberikan secawan air sejuk kepada salah seorang daripada muridku kerana dia ialah muridku, sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Dia tidak akan kehilangan ganjarannya.”​—Matius 10:42.

Setelah para rasul mendengar arahan, amaran, dan galakan Yesus, mereka pun bertolak dan ‘pergi dari pekan ke pekan di seluruh kawasan itu untuk menghebahkan berita baik dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja.’​—Lukas 9:6.