Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 54

Yesus—“Roti yang Turun dari Syurga”

Yesus—“Roti yang Turun dari Syurga”

YOHANES 6:25-48

  • YESUS IALAH “ROTI YANG TURUN DARI SYURGA”

Yesus telah memberikan makanan kepada ribuan orang dan melarikan diri apabila mereka mahu menjadikannya raja. Pada malam itu, dia berjalan di atas air, menyelamatkan Petrus, dan meredakan ribut supaya perahu murid-muridnya tidak karam.

Sekarang dia balik ke Kapernaum. Orang ramai yang mendapat makanan daripadanya sebelum ini menjumpainya dan bertanya, “Bilakah Rabbi sampai di sini?” Mereka mencarinya kerana ingin mendapatkan lebih banyak makanan. Oleh itu, Yesus menegur mereka, “Janganlah kamu bekerja untuk makanan yang akan basi, tetapi bekerjalah untuk mendapat makanan yang kekal dan yang membawa kehidupan kekal.” Maka mereka bertanya, “Bagaimanakah kami dapat melakukan kerja yang diperkenankan Tuhan?”​—Yohanes 6:25-28.

Mereka menyangka bahawa Yesus bercakap tentang Hukum Musa, tetapi Yesus sedang merujuk kepada kerja yang terpenting. Dia berkata, “Kamu harus beriman kepada dia yang diutus oleh Tuhan. Demikianlah caranya kamu melakukan kerja yang diperkenankan Tuhan.” Tetapi mereka tidak beriman kepada Yesus. Meskipun dia telah melakukan begitu banyak mukjizat, mereka masih memintanya melakukan mukjizat agar mereka percaya kepadanya. Mereka berkata, “Apakah yang akan Guru lakukan? Nenek moyang kami makan manna di padang belantara, seperti yang tertulis, ‘Dia memberi mereka roti dari syurga untuk dimakan.’”​—Yohanes 6:29-31; Mazmur 78:24.

Oleh itu, Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Yang memberi kamu roti sebenar dari syurga bukanlah Musa, tetapi Bapaku, kerana roti yang diberikan oleh Tuhan ialah dia yang turun dari syurga dan memberikan hidup kepada dunia.” Mereka tidak memahami kata-kata Yesus, maka mereka berkata, “Tuan, berilah kami roti ini selalu.” (Yohanes 6:32-34) Apakah “roti” yang dimaksudkan oleh Yesus?

Dia menjelaskan, ‘Akulah roti yang membawa hidup sejati. Sesiapa yang datang kepadaku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang beriman kepadaku tidak akan dahaga lagi. Namun aku pernah mengatakan kepada kamu bahawa kamu masih tidak percaya walaupun kamu sudah melihat aku. Aku turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendakku, tetapi kehendak Dia yang mengutus aku. Kehendak Dia yang mengutus aku adalah supaya aku tidak kehilangan seorang pun daripada semua yang diberikan-Nya kepadaku. Sebaliknya aku harus membangkitkan mereka semua pada hari yang terakhir, kerana Tuhan menghendaki agar setiap orang yang melihat Anak dan beriman kepadanya diberi kehidupan kekal, dan aku akan membangkitkan orang sebegini pada hari yang terakhir.’​—Yohanes 6:35-40.

Mereka terkejut dan mula bersungut-sungut kerana Yesus berkata, “Akulah roti yang turun dari syurga.” (Yohanes 6:41) Di mata mereka, dia hanyalah lelaki biasa yang dilahirkan di kota Nasaret. Mereka berkata, “Bukankah dia ini Yesus anak Yusuf? Tidakkah kita mengenali ibu bapanya?”​—Yohanes 6:42.

Yesus menjawab, “Jangan lagi bersungut-sungut sesama sendiri. Tiada seorang pun dapat datang kepadaku kecuali Bapa yang mengutus aku memimpinnya kepadaku, dan aku akan membangkitkannya pada hari yang terakhir. Dalam Ajaran Para Nabi ada tertulis, ‘Mereka semua akan diajar oleh Yehuwa.’ Setiap orang yang mendengarkan Bapa dan belajar daripada-Nya datang kepadaku. Hal ini tidak bererti bahawa ada orang pernah melihat Bapa. Hanya dia yang datang daripada Tuhan pernah melihat Bapa. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Orang yang percaya akan hidup selama-lamanya.”​—Yohanes 6:43-47; Yesaya 54:13.

Semasa dia bercakap dengan Nikodemus, dia pernah menyebut tentang hidup kekal. Dia berkata, ‘Setiap orang yang beriman kepada Anak tunggal Tuhan tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan.’ (Yohanes 3:15, 16) Sekarang dia memberitahu mereka bahawa manna atau roti yang ada di Galilea tidak dapat memberi mereka hidup kekal. Jadi bagaimanakah mereka dapat memperoleh hidup kekal? Yesus mengulangi kata-katanya, “Akulah roti yang membawa hidup sejati.”​—Yohanes 6:48.

Perbincangan tentang roti yang turun dari syurga ini berterusan sehingga Yesus mengajar di sebuah rumah ibadat di Kapernaum.