Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 57

Yesus Menyembuhkan Seorang Gadis dan Seorang Lelaki Pekak

Yesus Menyembuhkan Seorang Gadis dan Seorang Lelaki Pekak

MATIUS 15:21-31 MARKUS 7:24-37

  • YESUS MENYEMBUHKAN ANAK PEREMPUAN SEORANG WANITA FENISIA

  • DIA MENYEMBUHKAN SEORANG LELAKI YANG PEKAK DAN BISU

Setelah Yesus mengutuk orang Farisi, dia beredar bersama murid-muridnya. Mereka menuju ke arah barat laut, iaitu ke Tirus dan Sidon di Fenisia.

Setibanya di situ, Yesus mencari tempat penginapan kerana dia tidak mahu sesiapa pun tahu bahawa dia sudah tiba, tetapi orang masih mengetahuinya. Seorang wanita Yunani dari situ datang kepadanya dan merayu, “Tuan, Anak Daud, kasihanilah aku! Anak perempuanku sangat terseksa kerana dirasuk roh jahat.”​—Matius 15:22; Markus 7:26.

Selepas seketika, murid-murid Yesus berkata kepadanya, “Suruhlah wanita itu pergi, kerana dia terus mengikut kita sambil menjerit.” Yesus menjelaskan mengapa dia tidak menghiraukan wanita itu dengan berkata, “Tuhan mengutus aku hanya kepada orang Israel, yang bagaikan biri-biri yang sesat.” Namun wanita itu tidak berputus asa. Dia datang lalu sujud di hadapan Yesus sambil merayu, “Tuan, tolonglah aku!”​—Matius 15:23-25.

Untuk menguji iman wanita itu, Yesus berkata, “Adalah tidak wajar untuk mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anak-anak anjing.” (Matius 15:26) Orang Yahudi biasanya memandang rendah bangsa lain, tetapi Yesus menggunakan ungkapan “anak-anak anjing,” untuk menunjukkan bahawa dia berbelas kasihan terhadap orang bukan Yahudi. Pastinya raut wajah dan nada suaranya juga menunjukkan bahawa dia mengambil berat tentang wanita itu.

Wanita itu tidak marah dan menjawab dengan rendah hati, “Betul Tuan, tetapi anak anjing pun makan sisa makanan yang jatuh dari meja tuannya.” Yesus dapat melihat bahawa wanita itu berhati jujur, maka dia berkata, “Hai wanita, alangkah besarnya imanmu! Biarlah terjadi seperti yang kamu inginkan.” (Matius 15:27, 28) Pada masa itu juga, anak perempuan wanita itu sembuh! Apabila wanita itu tiba di rumahnya, dia mendapati anak kecilnya berbaring di atas katil dan “roh jahat itu sudah keluar daripadanya”!​—Markus 7:30.

Kemudian Yesus dan murid-muridnya meninggalkan Fenisia dan pergi ke kawasan Sungai Yordan. Nampaknya mereka menyeberangi sungai itu di sekitar utara Tasik Galilea dan tiba di daerah Dekapolis lalu menaiki sebuah gunung di situ. Tetapi orang ramai menjumpai mereka dan membawa orang yang tempang, cacat, buta, dan bisu kepada Yesus. Mereka menempatkan semua orang itu dekat kakinya, dan dia menyembuhkan mereka semua. Dengan kagum, mereka memuliakan Tuhan umat Israel.

Yesus memberikan perhatian khusus kepada seorang lelaki yang pekak dan bisu. Lelaki itu mungkin cemas kerana ada banyak orang di situ. Maka Yesus membawa lelaki itu jauh daripada orang ramai dan menunjukkan apa yang akan dilakukannya. Dia meletakkan jarinya ke dalam telinga lelaki itu. Selepas itu dia meludah dan menyentuh lidah lelaki tersebut. Kemudian Yesus menengadah ke langit lalu berkata kepadanya, “Terbukalah.” Pada masa itu juga, lelaki itu dapat mendengar dan bercakap seperti biasa. Yesus tidak mahu hal ini disebarkan kerana dia tidak mahu orang percaya kepadanya berdasarkan berita sensasi.​—Markus 7:32-36.

Orang “sangat terpesona” setelah melihat semua mukjizat Yesus. Mereka berkata, “Alangkah hebatnya segala perbuatannya! Dia bahkan membuat orang pekak mendengar dan orang bisu bercakap.”​—Markus 7:37.