Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 58

Memberikan Roti dan Amaran tentang Ragi

Memberikan Roti dan Amaran tentang Ragi

MATIUS 15:32–16:12 MARKUS 8:1-21

  • YESUS MEMBERIKAN MAKANAN KEPADA 4,000 LELAKI

  • AMARAN TENTANG RAGI ORANG FARISI

Ramai orang pergi kepada Yesus di daerah Dekapolis, di timur Tasik Galilea, supaya diajar dan disembuhkan olehnya. Mereka datang dengan bakul besar yang berisi keperluan mereka.

Selepas beberapa hari, Yesus berkata kepada murid-muridnya, “Aku berasa kasihan terhadap orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersamaku dan sekarang mereka telah kehabisan makanan. Jika aku menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka mungkin akan pengsan di tengah jalan. Lagipun ada antara mereka yang datang dari jauh.” Tetapi murid-muridnya menjawab, “Di tempat terpencil ini, di manakah orang dapat mencari roti yang cukup supaya semua orang ini dapat makan sehingga kenyang?”​—Markus 8:2-4.

Yesus pun bertanya, “Berapa banyak roti yang kamu ada?” Mereka menjawab, “Tujuh ketul, dan beberapa ekor ikan kecil.” (Matius 15:34) Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Dia mengambil roti dan ikan itu, lalu berdoa dan memberikannya kepada murid-muridnya untuk diedarkan kepada orang ramai. Terdapat kira-kira 4,000 orang lelaki di situ, tidak termasuk wanita dan kanak-kanak. Mereka semua makan sehingga kenyang dan baki roti yang dikumpulkan telah mengisi tujuh buah bakul yang besar!

Selepas Yesus menyuruh orang ramai pulang, dia dan murid-muridnya menaiki perahu ke Magadan, yang terletak di barat Tasik Galilea. Di situ, orang Farisi dan Saduki datang untuk mengujinya. Mereka memintanya untuk menunjukkan suatu tanda dari syurga.

Dia tahu niat jahat mereka, maka dia menjawab, “Pada waktu senja, kamu biasanya berkata, ‘Esok cuaca akan baik kerana langit merah marak.’ Pada waktu pagi pula, kamu akan berkata, ‘Langit merah tetapi mendung. Nampaknya hari ini akan sejuk dan hujan.’ Kamu dapat menjelaskan keadaan cuaca dengan melihat langit, tetapi tidak dapat menjelaskan tanda-tanda yang berlaku sekarang.” (Matius 16:2, 3) Kemudian dia memberitahu mereka bahawa tiada tanda yang akan diberikan kepada mereka kecuali tanda Yunus.

Yesus dan murid-muridnya menaiki perahu lalu pergi ke Betsaida, di timur laut Tasik Galilea. Mereka lupa membawa roti yang mencukupi. Ketika itu, Yesus berkata kepada mereka, “Berwaspadalah dan berjaga-jagalah terhadap ragi orang Farisi dan ragi Herodes.” Dia sedang memberikan amaran kepada mereka tentang orang Farisi dan orang Saduki yang menyokong parti politik Herodes, tetapi mereka salah faham dan menyangka bahawa dia menegur mereka kerana tidak membawa roti yang mencukupi. Yesus mengetahui apa yang difikirkan oleh mereka lalu berkata, “Mengapakah kamu bertengkar tentang roti yang kamu lupa bawa?”​—Markus 8:15-17.

Yesus baru sahaja memberikan makanan kepada ribuan orang, jadi murid-muridnya sepatutnya tahu bahawa dia bukannya bercakap tentang roti. Dia bertanya kepada mereka, “Tidakkah kamu ingat: Semasa aku membahagi-bahagikan lima ketul roti untuk 5,000 orang lelaki, baki roti yang kamu kumpulkan telah mengisi berapa buah bakul?” Mereka berkata, “Dua belas.” “Semasa aku membahagi-bahagikan tujuh ketul roti untuk 4,000 orang lelaki, baki roti yang kamu kumpulkan telah mengisi berapa buah bakul besar?” Mereka berkata, “Tujuh.”​—Markus 8:18-20.

Yesus berkata, “Mengapakah kamu tidak mengerti bahawa aku bukannya bercakap tentang roti? Aku sedang berkata bahawa kamu perlu berjaga-jaga terhadap ragi orang Farisi dan Saduki.”​—Matius 16:11.

Ragi digunakan untuk membuat adunan naik, jadi Yesus sedang menggunakan ragi untuk menggambarkan pengaruh buruk orang Farisi dan Saduki. Akhirnya mereka sedar bahawa dia sedang mengingatkan mereka agar berjaga-jaga terhadap “ajaran orang Farisi dan Saduki.”​—Matius 16:12.