Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 62

Pengajaran Penting tentang Kerendahan Hati

Pengajaran Penting tentang Kerendahan Hati

MATIUS 17:22–18:5 MARKUS 9:30-37 LUKAS 9:43-48

  • YESUS MENUBUATKAN KEMATIANNYA SEKALI LAGI

  • DIA MEMBAYAR CUKAI DENGAN DUIT DARI MULUT IKAN

  • SIAPAKAH YANG TERBESAR DALAM KERAJAAN TUHAN?

Selepas rupa Yesus berubah di atas gunung dan dia menyembuhkan seorang budak yang dirasuk di Kaisarea Filipi, dia pergi ke Kapernaum bersama murid-muridnya sahaja. Dia “tidak mahu orang lain mengetahui di mana dia berada,” kerana dia mahu mengajar murid-muridnya tentang kerja yang perlu dilakukan oleh mereka selepas dia mati. (Markus 9:30) Dia berkata kepada mereka, “Anak Manusia akan dikhianati dan diserahkan ke dalam tangan musuhnya. Mereka akan membunuh dia, dan pada hari ketiga, dia akan dibangkitkan.”​—Matius 17:22, 23.

Sebelum ini, mereka pernah mendengar Yesus bercakap tentang hal ini, dan Petrus enggan mempercayainya. (Matius 16:21, 22) Selain itu, tiga orang rasul telah nampak rupa Yesus berubah dan mendengar perbualan tentang ‘pemergiannya.’ (Lukas 9:31) Sekarang mereka semua “berasa sangat sedih” meskipun mereka tidak memahami sepenuhnya kata-kata Yesus itu. (Matius 17:23) Mereka juga takut meminta penjelasan selanjutnya daripada Yesus.

Tidak lama kemudian, mereka tiba di Kapernaum. Yesus biasanya tinggal di kota itu dan kota itu juga merupakan kampung halaman beberapa orang rasulnya. Di situ, orang yang memungut cukai Rumah Tuhan ingin mencari kesalahan Yesus. Maka mereka bertanya kepada Petrus, “Adakah guru kamu membayar cukai Rumah Tuhan?”​—Matius 17:24.

“Ya,” jawab Petrus. Yesus tahu apa yang telah berlaku, jadi apabila Petrus masuk ke dalam rumah, dia bertanya kepadanya, “Simon, pada pendapatmu, raja-raja di bumi memungut cukai barangan dan cukai kepala daripada siapa? Daripada anak mereka atau daripada orang asing?” Petrus menjawab, “Daripada orang asing.” Maka dia berkata, “Jadi sebenarnya, anak mereka tidak perlu membayar cukai.”​—Matius 17:25, 26.

Bapa Yesus ialah Raja alam semesta dan Tuhan yang disembah di Rumah Tuhan. Jadi selaku Anak Tuhan, dia memang tidak perlu membayar cukai Rumah Tuhan. Tetapi dia berkata, “Supaya kita tidak menyebabkan sesiapa pun tersandung, pergilah ke tasik, dan pancinglah ikan. Dalam mulut ikan pertama yang kamu tangkap, kamu akan menjumpai sekeping duit perak [satu stater, atau tetradrakma]. Ambillah duit itu dan berikannya kepada mereka untuk kita berdua.”​—Matius 17:27.

Murid-murid Yesus mahu menanya Yesus siapa yang akan mempunyai pangkat terbesar dalam Kerajaan Tuhan. Sebelum ini, mereka takut untuk bertanya tentang pemergian Yesus, tetapi sekarang mereka tidak takut untuk bertanya tentang masa depan mereka. Yesus tahu bahawa semasa dalam perjalanan ke Kapernaum, mereka bertengkar tentang hal ini. Maka dia bertanya kepada mereka, “Semasa dalam perjalanan tadi, kamu semua bertengkar tentang apa?” (Markus 9:33) Mereka terus berdiam diri kerana malu, tetapi akhirnya mereka menjawab, “Siapakah yang terbesar dalam Kerajaan di syurga?”​—Matius 18:1.

Meskipun mereka telah menghabiskan masa hampir tiga tahun bersama Yesus, mereka masih bertengkar tentang siapa yang terbesar. Mengapa? Kerana mereka tidak sempurna, dan mereka membesar dalam persekitaran yang mementingkan pangkat dan kedudukan sosial. Selain itu, Petrus baru sahaja mendengar Yesus berjanji bahawa dia akan mendapat “kunci-kunci” Kerajaan Tuhan. Jadi dia mungkin berasa bahawa dia diberikan pangkat istimewa. Yakobus dan Yohanes juga mungkin berasa sedemikian kerana mereka telah menyaksikan rupa Yesus berubah semasa di atas gunung.

Yesus mahu membetulkan pandangan mereka yang salah ini, maka dia memanggil seorang anak kecil dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka, lalu Yesus berkata, “Jika kamu tidak mengubah sikap dan tidak menjadi seperti kanak-kanak, kamu pasti tidak akan memasuki Kerajaan di syurga. Oleh itu, sesiapa yang merendahkan diri seperti anak kecil ini, dialah yang terbesar dalam Kerajaan di syurga. Sesiapa yang menerima seorang anak kecil seperti ini demi namaku juga menerima aku.”​—Matius 18:3-5.

Cara Yesus mengajar memang menakjubkan! Dia tidak marah dengan mereka dan berkata bahawa mereka tamak atau bercita-cita tinggi. Sebaliknya dia mengajar mereka dengan menggunakan contoh seorang anak kecil. Dia mahu pengikutnya mencontohi sikap anak-anak kecil yang tidak mengejar kemasyhuran atau kedudukan. Sebagai kesimpulan, Yesus berkata, “Sesiapa dalam kalangan kamu yang berkelakuan seperti orang yang berkedudukan rendah, dialah yang besar.”​—Lukas 9:48.