Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 67

“Belum Pernah Seseorang Bercakap seperti Dia”

“Belum Pernah Seseorang Bercakap seperti Dia”

YOHANES 7:32-52

  • PENGAWAL DIUTUS UNTUK MENANGKAP YESUS

  • NIKODEMUS MEMPERTAHANKAN YESUS

Yesus masih di Yerusalem, dan dia gembira kerana “ramai orang masih beriman kepadanya.” Tetapi para pemimpin agama tidak gembira, dan mereka menghantar para pengawal untuk menangkapnya. (Yohanes 7:31, 32) Namun Yesus tidak menyembunyikan diri.

Yesus terus mengajar di Yerusalem. Dia berkata, “Aku akan bersama kamu untuk sebentar sahaja sebelum aku pergi kepada Dia yang mengutus aku. Kamu akan mencari aku, tetapi kamu tidak akan menjumpai aku, dan kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi.” (Yohanes 7:33, 34) Orang Yahudi tidak memahaminya, jadi mereka berkata, “Ke manakah orang ini mahu pergi sehingga kita tidak dapat mencarinya? Adakah dia hendak pergi kepada orang Yahudi yang tercerai-berai dalam kalangan orang Yunani dan mengajar orang Yunani? Apakah yang dimaksudkannya semasa dia berkata, ‘Kamu akan mencari aku, tetapi kamu tidak akan menjumpai aku, dan kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi’?” (Yohanes 7:35, 36) Maksud Yesus ialah bahawa dia akan dibunuh dan dibangkitkan ke syurga, dan musuhnya tidak dapat mengikutnya ke situ.

Setiap pagi, sepanjang masa perayaan itu berlangsung, seorang imam akan mengambil air dari Kolam Siloam dan mencurahkannya ke atas mazbah di Rumah Tuhan sehingga air itu mengalir ke tapak mazbah. Barangkali Yesus ingin mengingatkan orang tentang amalan ini, maka pada hari ketujuh perayaan itu, Yesus berkata, “Jika sesiapa dahaga, biarlah dia datang kepadaku untuk minum. Bagi sesiapa yang beriman kepadaku, ‘air yang memberikan kehidupan akan mengalir dari lubuk hatinya,’ seperti yang dinyatakan dalam ayat suci.”​—Yohanes 7:37, 38.

Hal ini akan berlaku selepas Yesus mati, iaitu apabila kuasa suci Tuhan dicurahkan ke atas murid-muridnya dan mereka berpeluang untuk hidup di syurga. Pada tahun berikutnya, semasa Pentakosta, “air yang memberikan kehidupan” mula mengalir apabila murid-murid Yesus yang diurapi kuasa suci Tuhan berkongsi kebenaran dengan orang lain.

Selepas itu, beberapa orang berkata, “Sememangnya dia ialah Nabi itu,” iaitu nabi yang lebih besar daripada Musa. Yang lain pula berkata, “Inilah Kristus.” Tetapi ada juga yang berkata, “Adakah Kristus akan datang dari Galilea? Bukankah ayat suci menyatakan bahawa Kristus akan datang daripada keturunan Daud dan berasal dari Betlehem, iaitu tempat asal Daud?”​—Yohanes 7:40-42.

Maka timbullah perpecahan dalam kalangan orang ramai. Ada yang mahu menangkap Yesus, tetapi tiada seorang pun yang berani berbuat demikian. Apabila para pengawal itu kembali, ketua-ketua imam dan orang Farisi bertanya, “Mengapakah kamu tidak menangkap dan membawanya ke sini?” Mereka menjawab, “Belum pernah seseorang bercakap seperti dia.” Para pemimpin agama berkata dengan marah, “Adakah kamu semua turut disesatkan olehnya? Tidak ada seorang pun dalam kalangan penguasa atau orang Farisi yang beriman kepadanya, bukan? Tetapi orang ramai di sini yang langsung tidak memahami Hukum semuanya terkutuk.”​—Yohanes 7:45-49.

Ketika itu, Nikodemus, seorang Farisi dan ahli Majlis Orang Yahudi, mempertahankan Yesus. Dia pernah datang kepada Yesus pada waktu malam dan mengakui bahawa dia beriman kepadanya. Sekarang Nikodemus berkata, “Menurut Hukum kita, bukankah kita mesti mendengar kata-kata seseorang dan mengetahui apa yang dilakukannya terlebih dahulu sebelum dia disabitkan bersalah?” Mereka menjawab, “Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Selidikilah Ayat-Ayat Suci dan kamu akan mendapati bahawa tiada nabi yang akan berasal dari Galilea.”​—Yohanes 7:51, 52.

Ayat-Ayat Suci tidak menyatakan secara terang-terangan bahawa seorang nabi akan datang dari Galilea. Tetapi ada nubuat yang menyatakan bahawa di “Galilea yang didiami bangsa-bangsa lain,” orang akan melihat “cahaya yang gemilang,” yang merujuk kepada Kristus. (Yesaya 9:1, 2; Matius 4:13-17) Selain itu, seperti yang dinubuatkan, Yesus dilahirkan di Betlehem, dan dia ialah keturunan Daud. Meskipun orang Farisi tahu tentang nubuat-nubuat ini, mereka masih menyebarkan berita-berita palsu tentang Yesus.