Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 72

Yesus Mengutus 70 Orang Murid untuk Menginjil

Yesus Mengutus 70 Orang Murid untuk Menginjil

LUKAS 10:1-24

  • YESUS MEMILIH 70 ORANG MURID DAN MENGUTUS MEREKA UNTUK MENGINJIL

Sekarang ialah penghujung tahun 32 M. Kira-kira tiga tahun sudah berlalu sejak Yesus dibaptis. Dia dan murid-muridnya baru sahaja menyambut Perayaan Pondok Daun di Yerusalem. Mereka mungkin masih ada di sekitar kota itu. (Lukas 10:38; Yohanes 11:1) Yesus bercadang meluangkan masa enam bulan yang seterusnya untuk menginjil di Yudea atau seberang Sungai Yordan di daerah Perea kerana penduduk di situ juga perlu mendengar ajarannya.

Sebelum ini, iaitu sekitar Paska 30 M, Yesus telah meluangkan beberapa bulan untuk menginjil di Yudea dan menjelajahi kawasan Samaria. Kemudian pada Paska 31 M, orang Yahudi di Yerusalem mencuba membunuhnya. Jadi sepanjang masa satu tahun setengah yang berikutnya, Yesus mengajar orang di Galilea. Pada waktu itu, ramai orang menjadi pengikutnya. Di Galilea, Yesus melatih para rasul dan mengutus mereka untuk menginjil dengan arahan berikut: “Sebarkanlah berita ini: ‘Kerajaan di syurga sudah dekat.’” (Matius 10:5-7) Kini dia mengaturkan kempen menginjil di Yudea.

Mula-mula, dia memilih 70 orang muridnya lalu mengutus mereka secara berpasangan. Maka ada 35 pasang penginjil Kerajaan Tuhan di kawasan itu. Ya, “tuaian memang banyak, tetapi pekerja hanya sedikit.” (Lukas 10:2) Murid-murid Yesus akan pergi ke suatu kawasan terlebih dahulu sebelum Yesus pergi ke situ. Mereka akan menyembuhkan orang sakit dan menginjil.

Mereka tidak akan mengajar di rumah-rumah ibadat. Sebaliknya, Yesus menyuruh mereka untuk pergi ke rumah orang. Dia berkata, ‘Semasa kamu memasuki rumah orang, katakan terlebih dahulu, “Semoga rumah ini sejahtera.” Jika orang di situ suka akan kedamaian, salam sejahtera itu akan ada bersamanya.’ Apakah berita yang harus disampaikan? Yesus berkata, “Beritahulah mereka, ‘Kerajaan Tuhan sudah dekat.’”​—Lukas 10:5-9.

Arahan ini serupa dengan arahan yang diberikan oleh Yesus kepada 12 orang rasulnya kira-kira satu tahun yang lalu. Dia memberitahu mereka bahawa bukan semua orang akan menyambut mereka. Tetapi usaha mereka akan mempersiapkan orang yang berhati jujur untuk mendengar ajaran Yesus.

Kemudian, 70 orang penginjil Kerajaan Tuhan itu kembali dengan sukacita. Mereka berkata kepada Yesus, “Tuan, roh-roh jahat pun terpaksa mentaati kami apabila kami menggunakan nama Tuan!” Yesus pasti sangat gembira kerana dia menjawab, “Aku nampak Syaitan sudah jatuh dari langit seperti kilat. Lihatlah! Aku sudah memberi kamu kuasa untuk memijak-mijak ular dan kala jengking.”​—Lukas 10:17-19.

Dengan demikian, Yesus meyakinkan pengikutnya bahawa mereka dapat “memijak-mijak ular dan kala jengking,” iaitu mereka akan mempunyai kuasa untuk mengalahkan hal-hal yang buruk. Mereka juga boleh yakin bahawa Syaitan akan dibuang dari syurga pada masa depan. Namun dia juga menekankan satu perkara yang lebih penting. Dia berkata, “Janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu. Sebaliknya, bersukacitalah kerana nama kamu sudah pun tercatat di syurga.”​—Lukas 10:20.

Yesus sangat bersukacita dan dia memuji Bapanya di hadapan umum, kerana Bapanya telah menggunakan para hamba-Nya yang rendah hati untuk melakukan kerja-kerja yang menakjubkan. Dia memberitahu pengikutnya, “Berbahagialah orang yang melihat apa yang sedang kamu lihat. Aku berkata kepada kamu: Banyak nabi dan raja ingin melihat apa yang sedang kamu lihat tetapi tidak dapat melihatnya. Mereka ingin mendengar apa yang sedang kamu dengar tetapi tidak dapat mendengarnya.”​—Lukas 10:23, 24.