Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 76

Makan Bersama Orang Farisi

Makan Bersama Orang Farisi

LUKAS 11:37-54

  • YESUS MENGUTUK ORANG FARISI YANG MUNAFIK

Semasa di Yudea, seorang Farisi menjemput Yesus untuk makan bersamanya. Mungkin jamuan itu diadakan pada siang hari. (Lukas 11:37, 38) Sebelum makan, orang Farisi akan membasuh tangan sampai ke siku. Tetapi Yesus tidak berbuat demikian kerana Hukum Tuhan tidak menghalang atau mewajibkan orang untuk membasuh tangan sampai ke siku.​—Matius 15:1, 2.

Orang Farisi itu hairan kerana Yesus tidak mengamalkan adat itu. Maka Yesus berkata kepadanya, “Hai orang Farisi, kamu semua membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan tetapi hati kamu penuh dengan ketamakan dan kejahatan. Kamu orang yang tidak munasabah! Bukankah Tuhan yang menjadikan bahagian luar, juga menjadikan bahagian dalam?”​—Lukas 11:39, 40.

Yesus sebenarnya sedang mengutuk sikap munafik yang ditunjukkan oleh orang Farisi. Mereka dan pengikut mereka membasuh tangan sampai ke siku, tetapi tidak membersihkan hati mereka daripada kejahatan. Oleh itu, Yesus menasihati mereka, “Semasa kamu membuat kebajikan, lakukannya dengan ikhlas dari hati. Dengan demikian, kamu akan bersih dalam segala hal yang lain.” (Lukas 11:41) Ya, seseorang mesti memberi kerana kasih, bukannya kerana ingin menunjuk-nunjuk.

Yesus menyambung, “Kamu memberikan satu persepuluh daripada pudina, inggu, dan semua sayuran yang lain, tetapi kamu tidak mempedulikan keadilan dan kasih Tuhan! Memberikan satu persepuluh itu penting, tetapi hal-hal yang lain tidak patut diabaikan.” (Lukas 11:42) Menurut Hukum Tuhan, orang mesti memberikan satu persepuluh daripada hasil tanaman mereka. (Ulangan 14:22) Hasil tanaman itu termasuk pudina, inggu, dan rempah-ratus yang lain. Tetapi orang Farisi terlalu mementingkan hukum itu sehingga mengabaikan perintah-perintah yang lebih penting, seperti bersikap adil dan rendah hati.​—Mikha 6:8.

Kemudian Yesus berkata, “Malanglah kamu orang Farisi, kerana kamu suka duduk di kerusi yang terdepan di dalam rumah ibadat dan suka menerima salam hormat di tempat awam! Malanglah kamu, kerana kamu seperti kubur yang tidak dapat dilihat. Orang pun tidak sedar bahawa mereka sedang berjalan di atasnya!” (Lukas 11:43, 44) Menurut hukum, orang yang berjalan di atas kubur akan dianggap najis. Maka Yesus ingin menekankan bahawa kenajisan orang Farisi itu tidak ketara.​—Matius 23:27.

Seorang lelaki yang arif dalam Hukum Tuhan berkata, “Apabila Guru berkata demikian, Guru juga menghina kami.” Tetapi Yesus ingin menyedarkan mereka bahawa mereka bersalah kerana tidak membantu orang. Maka dia berkata, “Malanglah kamu yang arif dalam Hukum, kerana kamu memberi orang lain beban yang susah dipikul, padahal kamu sendiri tidak menghulurkan satu jari pun untuk menyentuh beban itu! Malanglah kamu, kerana kamu membina makam bagi para nabi, padahal nenek moyang kamulah yang membunuh mereka!”​—Lukas 11:45-47.

“Beban” yang dimaksudkan oleh Yesus ialah hukum lisan dan fahaman orang Farisi tentang Hukum Tuhan. Mereka menyusahkan hidup orang lain dengan memaksa orang untuk mematuhi peraturan-peraturan yang membebankan. Nenek moyang mereka telah membunuh nabi Tuhan sejak zaman Habel. Sekarang mereka berpura-pura memuliakan nabi-nabi dengan membina makam, tetapi sebenarnya tindakan dan sikap mereka serupa dengan nenek moyang mereka. Mereka bahkan cuba membunuh Nabi Agung, iaitu Yesus. Maka Yesus berkata bahawa Tuhan akan menghukum mereka, dan kata-kata Yesus menjadi kenyataan kira-kira 38 tahun kemudian, iaitu pada tahun 70 M.

Kemudian Yesus berkata, “Malanglah kamu yang arif dalam Hukum, kerana kamu mengambil kunci yang membuka pintu pengetahuan tentang Tuhan. Kamu sendiri tidak masuk ke dalam, dan kamu menghalang orang yang ingin memasukinya!” (Lukas 11:52) Ya, Yesus mengutuk mereka kerana mereka bukan sahaja tidak menjelaskan Hukum Tuhan kepada orang, malah mereka menghalang orang daripada memahaminya.

Apakah reaksi orang Farisi dan para jurutulis hukum? Mereka marah dan mula menentang Yesus serta menyoalnya tanpa henti. Mengapa? Kerana mereka ingin memerangkap Yesus. Mereka tidak ingin mendengar ajaran Yesus, sebaliknya mereka ingin mencari kesalahan Yesus dan menangkapnya.