Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 79

Orang Yahudi yang Tidak Beriman Akan Dimusnahkan

Orang Yahudi yang Tidak Beriman Akan Dimusnahkan

LUKAS 13:1-21

  • PENGAJARAN DARIPADA DUA TRAGEDI

  • WANITA BONGKOK DISEMBUHKAN PADA HARI SABAT

Yesus berkali-kali menggalakkan orang untuk mendapatkan nama yang baik di hadapan Tuhan. Dia berbuat demikian sekali lagi semasa dia berada di luar rumah seorang Farisi.

Beberapa orang di situ mengatakan bahawa “orang Galilea telah dibunuh oleh [Gabenor Pontius] Pilatus semasa mereka mempersembahkan korban.” (Lukas 13:1) Apakah maksud mereka?

Sebelum ini, Pilatus menggunakan wang daripada Rumah Tuhan untuk membina saluran air di Yerusalem. Dia mungkin telah mendapatkan persetujuan daripada pihak pengurusan Rumah Tuhan. Tetapi bangsa Yahudi memberontak terhadap Pilatus, dan beberapa orang Galilea mati semasa pemberontakan itu. Maka ada orang berpendapat bahawa orang Galilea itu mati kerana mereka telah berbuat dosa. Tetapi Yesus tidak bersetuju.

Dia bertanya, “Adakah kamu sangka bahawa hal ini terjadi kerana beberapa orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua orang Galilea yang lain? Tidak. Aku berkata kepada kamu: Jika kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa seperti mereka.” (Lukas 13:2, 3) Kemudian dia merujuk kepada satu lagi tragedi yang mungkin berkaitan dengan pembinaan saluran air itu. Dia berkata,

“Fikirkanlah juga tentang 18 orang yang terbunuh semasa menara di Siloam runtuh menimpa mereka. Adakah kamu sangka bahawa dosa mereka lebih besar daripada dosa semua penduduk Yerusalem yang lain?” (Lukas 13:4) Orang ramai mungkin berasa bahawa 18 orang itu mati kerana dosa mereka. Tetapi Yesus tidak bersetuju. Dia tahu bahawa tragedi itu berlaku kerana “waktu dan kejadian yang tidak terduga menimpa semua orang.” (Pengkhutbah 9:11) Kemudian Yesus memberikan amaran berikut: “Jika kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa seperti mereka.”​—Lukas 13:5.

Yesus memberikan amaran itu kerana tidak lama lagi, dia akan menghabiskan kerja penyebarannya di bumi. Dia berkata, “Seorang lelaki telah menanam pokok ara di ladang anggurnya. Semasa dia mencari buah pada pokok itu, dia tidak menjumpai sebiji buah pun. Maka dia berkata kepada pekerja di ladang itu, ‘Sudah tiga tahun aku mencari buah pada pokok ara ini tetapi tidak menjumpai sebiji buah pun. Tebang sahajalah pokok ini! Apa gunanya pokok ini tumbuh di atas tanah tetapi tidak menghasilkan buah?’ Pekerja itu menjawab, ‘Tuan, biarlah pokok ini hidup satu tahun lagi. Aku akan menggali tanah di sekelilingnya dan menabur baja. Selepas itu, jika pokok ini menghasilkan buah, baguslah. Jika tidak, biarlah pokok ini ditebang.’”​—Lukas 13:6-9.

Selama lebih daripada tiga tahun, Yesus mencuba membantu orang Yahudi membina iman mereka. Tetapi usahanya membuahkan sedikit hasil sahaja. Jadi sekarang, pada tahun keempat, dia menggiatkan lagi usahanya dengan menginjil dan mengajar orang di Yudea dan Perea. Tetapi usahanya masih tidak berhasil kerana secara keseluruhan, bangsa Yahudi enggan bertaubat. Maka mereka akan dibinasakan.

Tidak lama kemudian, orang Yahudi sekali lagi menunjukkan bahawa mereka tidak beriman. Hari itu ialah hari Sabat, dan Yesus sedang mengajar di rumah ibadat. Dia nampak seorang wanita yang sudah sakit selama 18 tahun kerana ada roh jahat yang menyebabkannya bongkok. Dengan belas kasihan, Yesus memberitahu wanita itu, “Hai wanita, kamu disembuhkan daripada penyakitmu.” (Lukas 13:12) Dia meletakkan tangannya ke atas wanita itu, lalu wanita itu segera berdiri tegak dan mula memuliakan Tuhan.

Apabila ketua rumah ibadat nampak hal ini, dia marah lalu berkata, “Ada enam hari untuk bekerja. Maka datanglah pada masa itu untuk disembuhkan, bukan pada hari Sabat!” (Lukas 13:14) Dia marah kerana orang datang untuk disembuhkan pada hari Sabat! Oleh itu, Yesus berkata kepadanya, “Orang yang bermuka dua! Pada hari Sabat, tidakkah kamu melepaskan lembu jantan atau keldai masing-masing dan membawanya keluar dari kandang untuk minum air? Wanita ini ialah keturunan Abraham yang telah dibelenggu oleh Syaitan selama 18 tahun. Tidak patutkah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabat?”​—Lukas 13:15, 16.

Semua penentang Yesus berasa malu, tetapi orang ramai bersukacita atas semua perbuatannya yang menakjubkan. Kemudian Yesus mengulangi perumpamaannya tentang Kerajaan Tuhan yang telah diceritakannya di Tasik Galilea.​—Matius 13:31-33; Lukas 13:18-21.