Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 80

Gembala yang Baik dan Kandang Biri-Biri

Gembala yang Baik dan Kandang Biri-Biri

YOHANES 10:1-21

  • YESUS BERCAKAP TENTANG GEMBALA YANG BAIK DAN KANDANG BIRI-BIRI

Yesus terus mengajar di Yudea. Sekarang dia menggunakan perumpamaan biri-biri dan kandang biri-biri untuk mengajar para pendengarnya. Orang Yahudi mungkin teringat akan kata-kata Daud yang berikut: “Ya Yehuwa, Engkaulah Gembalaku. Aku tidak akan kekurangan apa-apa. Engkau membaringkan aku di padang rumput yang hijau.” (Mazmur 23:1, 2) Daud juga menulis, “Marilah kita berlutut di hadapan Yehuwa, Pencipta kita. Dialah Tuhan kita, dan kita ialah umat-Nya. Kita seperti biri-biri di padang rumput.” (Mazmur 95:6, 7) Ya, dari dahulu lagi orang Israel digambarkan sebagai kawanan bebiri.

Mereka bagaikan “bebiri” dalam sebuah “kandang” kerana mereka wajib mematuhi Hukum Musa. Hukum Musa bagaikan pagar, atau tembok, yang melindungi mereka daripada amalan buruk bangsa-bangsa lain. Tetapi sesetengah orang Israel melayan kawanan Tuhan dengan buruk. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Sesiapa yang tidak memasuki kandang biri-biri melalui pintu, tetapi memanjat masuk melalui tempat lain, dia seorang pencuri dan perompak.”​—Yohanes 10:1, 2.

Sesetengah orang mendakwa bahawa mereka ialah Mesias atau Kristus. Tetapi mereka sebenarnya seperti “pencuri dan perompak.” Orang Israel tidak patut mengikut mereka. Sebaliknya mereka harus mengikut “gembala kawanan biri-biri.” Yesus menyambung,

“Penjaga kandang membuka pintu baginya, dan kawanan biri-biri mendengar suaranya. Dia memanggil nama setiap biri-birinya dan memimpin kawanan biri-biri itu keluar. Setelah dia membawa semua biri-birinya keluar, dia berjalan di hadapan dan kawanan biri-birinya mengikutnya kerana mengenal suaranya. Kawanan biri-biri itu pasti tidak akan mengikut orang yang tidak dikenali, tetapi akan lari daripadanya kerana tidak mengenal suara orang itu.”​—Yohanes 10:3-5.

Tugas Yohanes Pembaptis adalah seperti penjaga kandang. Dia mengatakan bahawa kawanan Tuhan harus mengikut Yesus. Sesetengah “bebiri” di Galilea dan Yudea juga mengenal suara Yesus dan mengikutnya. Tetapi ada orang di situ yang tidak memahami kata-kata Yesus. (Yohanes 10:6) Yesus membawa mereka ke mana? Apakah yang akan berlaku kepada mereka?

Yesus berkata, “Ketahuilah: Akulah pintu bagi kawanan biri-biri. Semua orang yang berpura-pura menjadi aku ialah pencuri dan perompak, tetapi kawanan biri-biri tidak mendengarkan mereka. Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui aku akan diselamatkan. Dia akan masuk dan keluar, dan dia juga akan menjumpai padang rumput.”​—Yohanes 10:7-9.

Yesus sedang memperkenalkan sesuatu yang baharu. Pendengarnya tahu bahawa dia bukanlah pintu bagi Perjanjian Hukum Musa yang sudah wujud selama berabad-abad. Maka Yesus sedang mengatakan bahawa dia akan memimpin kawanan bebiri Tuhan untuk masuk ke dalam sebuah kandang bebiri yang baharu.

Yesus berkata lagi, “Aku datang supaya biri-biri menerima kehidupan dan memilikinya buat selama-lamanya. Aku ialah gembala yang baik. Gembala yang baik menyerahkan nyawanya demi kawanan biri-birinya.” (Yohanes 10:10, 11) Sebelum ini, Yesus berkata kepada murid-muridnya, “Hai kawanan kecil, janganlah takut, kerana Bapa kamu berkenan untuk memberi kamu Kerajaan-Nya.” (Lukas 12:32) Maka kawanan kecil itu akan dipimpin oleh Yesus ke dalam kandang bebiri yang baharu itu agar mereka dapat “menerima kehidupan dan memilikinya buat selama-lamanya.” Alangkah besarnya berkat yang akan dinikmati oleh mereka!

Selain itu, Yesus berkata, “Aku memiliki biri-biri lain yang bukan dari kandang ini. Aku mesti memimpin kawanan itu juga. Mereka semua akan mendengar suaraku dan menjadi satu kawanan di bawah satu gembala.” (Yohanes 10:16) Ya, kandang “biri-biri lain” berbeza daripada kandang “kawanan kecil” yang akan mewarisi Kerajaan Tuhan di syurga. Namun Yesus tetap bersedia untuk menyerahkan nyawanya bagi mereka semua. Dia berkata, “Bapa mengasihi aku, kerana aku menyerahkan nyawaku.”​—Yohanes 10:17.

Ramai pendengar Yesus berkata, “Dia dirasuk roh jahat, dia sudah gila.” Tetapi orang lain pula mahu mengikut Yesus. Mereka berkata, “Orang yang dirasuk roh jahat tidak akan bercakap sedemikian. Tidak mungkin roh jahat dapat memulihkan penglihatan orang buta, bukan?” (Yohanes 10:20, 21) Mereka merujuk kepada mukjizat yang dilakukan oleh Yesus semasa dia menyembuhkan seorang lelaki yang dilahirkan buta.