Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 81

Yesus dan Bapa Satu—Apakah Maksudnya?

Yesus dan Bapa Satu—Apakah Maksudnya?

YOHANES 10:22-42

  • “AKU DAN BAPA SATU”

  • YESUS TIDAK MENDAKWA BAHAWA DIA IALAH TUHAN

Yesus datang ke Yerusalem untuk menyambut Perayaan Pentahbisan. Lebih daripada satu abad lalu, raja Siria membina sebuah mazbah untuk tuhan palsu di Rumah Tuhan. Kemudian anak-anak kepada seorang imam Yahudi merampas kembali Yerusalem dan mentahbiskan semula Rumah Tuhan. Maka untuk memperingati peristiwa ini, Perayaan Pentahbisan diadakan setiap tahun pada 25 Kislew. Bulan Kislew bermula dari hujung November hingga awal Disember.

Sekarang musim sejuk. Apabila Yesus berjalan di Serambi Salomo, orang Yahudi bertanya kepadanya, “Sampai bila Guru ingin membuat kami tertanya-tanya? Jika Guru ialah Kristus, beritahulah kami secara terus terang.” (Yohanes 10:22-24) Dia menjawab, “Aku sudah memberitahu kamu, tetapi kamu tidak percaya.” Yesus tidak memberitahu mereka dengan terus terang bahawa dia ialah Kristus, seperti yang dilakukannya kepada seorang wanita Samaria. (Yohanes 4:25, 26) Tetapi dia berkata, “Sebelum Abraham dilahirkan, aku sudah ada.”​—Yohanes 8:58.

Yesus mahu orang membuat kesimpulan sendiri bahawa dia ialah Kristus berdasarkan perbuatannya. Itulah sebabnya dia melarang pengikutnya memberitahu orang lain bahawa dia ialah Mesias. Tetapi sekarang dia memberitahu orang Yahudi yang menentangnya, “Perbuatan yang aku lakukan atas nama Bapaku memberikan kesaksian tentang aku. Namun, kamu tidak percaya.”​—Yohanes 10:25, 26.

Yesus berkata, “Kamu tidak percaya, kerana kamu bukan biri-biriku. Biri-biriku mendengarkan suaraku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut aku. Aku memberi mereka kehidupan kekal, dan mereka sama sekali tidak akan musnah.” Kemudian dia menyatakan betapa erat hubungannya dengan Tuhan dengan berkata, “Aku dan Bapa satu.” (Yohanes 10:26-30) Yesus tidak memaksudkan bahawa dia dan Bapanya adalah satu secara harfiah, kerana dia di bumi dan Bapanya pula di syurga. Sebaliknya, dia memaksudkan bahawa dia dan Bapanya sefikiran dan mempunyai tujuan yang sama.

Kata-kata Yesus membuat orang Yahudi marah sehingga mereka mahu merejamnya. Tetapi dia tidak takut. Dia berkata, “Aku sudah melakukan banyak perbuatan baik untuk kamu. Perbuatan manakah yang menyebabkan kamu mahu merejam aku?” Mereka menjawab, ‘Kami merejam kamu, bukan kerana perbuatan baikmu, tetapi kerana kamu menghina Tuhan. Kamu menjadikan dirimu tuhan.’ (Yohanes 10:31-33) Yesus tidak pernah mendakwa bahawa dia ialah tuhan, jadi mengapakah mereka berkata demikian?

Mereka marah kerana Yesus pernah berkata, “Aku memberi mereka kehidupan kekal.” Bagi mereka, hanya Tuhan yang berkuasa berbuat demikian. (Yohanes 10:28) Walaupun Yesus sering mengakui bahawa kuasanya berasal daripada Bapanya, mereka sengaja mengetepikan hal tersebut.

Untuk menyangkal tuduhan mereka, Yesus berkata, ‘Ada tertulis dalam Hukum kamu [di Mazmur 82:6], “Tuhan berfirman, ‘Kamu ialah tuhan.’” Jika Tuhan menggelar orang yang dikutuk dalam firman-Nya sebagai “tuhan,” wajarkah kamu berkata kepadaku, “Kamu menghina Tuhan” semasa aku mengatakan bahawa “aku ialah Anak Tuhan,” sedangkan aku disucikan dan diutus ke dunia oleh Bapa?’​—Yohanes 10:34-36.

Ayat-Ayat Suci pun menggelar hakim yang tidak adil sebagai “tuhan.” Jadi mereka tidak patut menyalahkan Yesus kerana dia berkata, “Aku ialah Anak Tuhan.” Dia berkata lagi, “Jika aku tidak melakukan kerja yang diberikan oleh Bapaku, janganlah percaya kepadaku. Tetapi jika aku melakukannya, percayalah kepada perbuatanku meskipun kamu tidak percaya kepadaku. Dengan ini kamu akan faham dan tetap percaya bahawa Bapa bersatu dengan aku dan aku bersatu dengan Bapa.”​—Yohanes 10:37, 38.

Akibatnya orang Yahudi mahu menangkap Yesus, tetapi dia dapat melarikan diri. Dia meninggalkan Yerusalem dan pergi ke selatan Tasik Galilea.

Orang ramai datang kepada Yesus dan berkata, “Yohanes tidak pernah melakukan satu mukjizat pun, tetapi semua perkara yang dikatakan oleh Yohanes mengenai lelaki ini adalah benar.” (Yohanes 10:41) Maka banyak orang Yahudi beriman kepada Yesus.