Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 82

Yesus Menginjil di Perea

Yesus Menginjil di Perea

LUKAS 13:22–14:6

  • BERUSAHA UNTUK MASUK MELALUI PINTU YANG SEMPIT

  • YESUS MESTI MATI DI YERUSALEM

Yesus telah menginjil dan menyembuhkan orang di Yudea dan Yerusalem. Kemudian dia menyeberangi Sungai Yordan untuk menginjil di daerah Perea. Selepas itu, dia akan kembali ke Yerusalem.

Semasa Yesus berada di Perea, seorang lelaki bertanya, “Tuan, sedikit sahajakah orang yang akan diselamatkan?” Barangkali inilah perkara yang menjadi topik perbualan para pemimpin agama di situ. Yesus tidak terus menjawab soalannya, sebaliknya dia berfokus kepada apa yang harus dilakukannya agar diselamatkan. Dia berkata, “Berusahalah sedaya upaya untuk masuk melalui pintu yang sempit.” Mengapakah Yesus berkata demikian? Dia menjelaskan, “Aku berkata kepada kamu: Ramai orang akan berusaha memasukinya tetapi tidak akan berjaya.”​—Lukas 13:23, 24.

Untuk menjelaskan lagi maksud kata-katanya, Yesus berkata, ‘Selepas tuan rumah bangun dan mengunci pintu, kamu akan berdiri di luar dan mengetuk pintu sambil berkata, “Tuan, bukalah pintu untuk kami.” Namun dia akan berkata kepada kamu, “Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Pergilah dari sini, hai kamu semua yang berbuat jahat!”’​—Lukas 13:25-27.

Perumpamaan Yesus menunjukkan apa yang akan berlaku kepada orang yang mementingkan kesenangan diri lalu datang lambat dan mendapati bahawa pintu sudah terkunci. Ramai pendengar Yesus juga bersikap demikian. Mereka tidak mengutamakan ibadat sejati, dan menolak aturan penyelamatan yang disediakan oleh Tuhan. Maka Yesus berkata bahawa mereka akan “menangis dan menggertakkan gigi” apabila mereka dibuang ke luar. Sebaliknya orang daripada segala bangsa, iaitu “orang yang datang dari timur, barat, utara, dan selatan, akan duduk dan makan dalam Kerajaan Tuhan.”​—Lukas 13:28, 29.

Yesus berkata, “Sesetengah orang yang terakhir [iaitu, orang bukan Yahudi dan orang Yahudi yang ditindas] akan menjadi yang pertama, manakala sesetengah orang yang pertama [iaitu, para pemimpin agama yang bangga kerana mereka ialah keturunan Abraham] akan menjadi yang terakhir.” (Lukas 13:30) Mereka “yang pertama” ini akan “menjadi yang terakhir” kerana mereka tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.

Sesetengah orang Farisi datang dan berkata kepada Yesus, “Pergilah dan tinggalkanlah tempat ini, kerana Herodes ingin membunuhmu.” Berita ini mungkin disebarkan oleh Raja Herodes sendiri agar Yesus meninggalkan kawasan itu. Herodes tidak ingin terlibat dalam kematian seorang lagi nabi kerana dia sudah membunuh Yohanes Pembaptis. Namun Yesus menjawab, “Pergilah dan beritahulah si licik itu, ‘Hari ini dan hari esok, aku akan mengusir roh jahat dan menyembuhkan orang sakit. Pada hari ketiga, kerjaku akan selesai.’” (Lukas 13:31, 32) Yesus memang tahu bahawa Herodes sangat licik. Namun dia tidak akan membiarkan Herodes atau sesiapa pun untuk menghalangnya daripada menjalankan tugas mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Bapanya.

Yesus meneruskan perjalanannya ke Yerusalem. Dia berkata, “Seorang nabi tidak boleh dibunuh di luar Yerusalem.” (Lukas 13:33) Tiada nubuat Bible yang menyatakan bahawa Mesias mesti mati di Yerusalem. Jadi mengapakah Yesus berkata bahawa dia akan dibunuh di situ? Hal ini demikian kerana Majlis Orang Yahudi yang terdiri daripada 71 orang ahli terletak di Yerusalem, dan di situlah orang yang dituduh sebagai nabi palsu akan dibicarakan. Selain itu, korban-korban binatang dipersembahkan di situ. Oleh itu, Yesus tahu bahawa dia harus dibunuh di situ.

Dengan sedih, Yesus berkata, “Yerusalem, Yerusalem, kamu membunuh para nabi dan merejam orang yang diutus kepada kamu. Sudah banyak kali aku ingin mengumpulkan anak-anak kamu sepertimana seekor ayam betina mengumpulkan anak-anaknya di bawah sayapnya! Tetapi kamu semua tidak mahu. Lihatlah, rumah ini akan terbiar dan diserahkan kepada kamu!” (Lukas 13:34, 35) Bangsa Israel enggan menerima Anak Tuhan dan mereka harus menanggung akibatnya!

Kemudian Yesus dijemput oleh seorang pemimpin Farisi untuk makan di rumahnya pada hari Sabat. Dalam jamuan itu, ada seorang lelaki yang menderita sejenis penyakit yang menyebabkan tubuhnya bengkak. Para tetamu lain ingin tahu apa yang akan dibuat oleh Yesus terhadap lelaki itu. Yesus bertanya kepada orang Farisi dan mereka yang arif dalam Hukum, “Salahkah untuk menyembuhkan orang pada hari Sabat?”​—Lukas 14:3.

Mereka semua diam sahaja, lalu Yesus menyembuhkan lelaki itu dan berkata, “Jika anak lelaki atau lembu jantan kamu jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, siapakah antara kamu yang tidak akan segera menariknya keluar?” (Lukas 14:5) Sekali lagi mereka diam sahaja.