Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 91

Lazarus Dibangkitkan

Lazarus Dibangkitkan

YOHANES 11:38-54

  • PEMBANGKITAN LAZARUS

  • MAJLIS ORANG YAHUDI BERKOMPLOT UNTUK MEMBUNUH YESUS

Yesus, Marta, dan Maria pergi ke makam Lazarus. Makam itu sebenarnya sebuah gua yang ditutup dengan sebuah batu. Yesus berkata, “Alihkanlah batu itu ke tepi.” Marta tidak tahu apa yang ingin dilakukan oleh Yesus, maka dia berkata, “Tuan, sudah empat hari mayatnya di situ. Tentu busuk baunya.” Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Bukankah aku sudah mengatakan bahawa jika kamu percaya, kamu akan melihat kemuliaan Tuhan?”​—Yohanes 11:39, 40.

Setelah batu itu dialihkan, Yesus menengadah ke langit dan berdoa, “Bapa, aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar doaku. Aku tahu bahawa Engkau selalu mendengar doaku. Tetapi aku berkata demikian demi orang ramai yang berdiri di sekeliling aku, agar mereka percaya bahawa Engkaulah yang telah mengutus aku.” Yesus berdoa di hadapan orang ramai kerana dia ingin menunjukkan bahawa dia akan melakukan mukjizat ini dengan kuasa daripada Tuhan. Kemudian dia berseru dengan lantang, “Lazarus, keluarlah!” Lazarus pun keluar. Tangan, kaki, dan mukanya masih terbalut dengan kain. Maka Yesus berkata, “Tanggalkanlah kain yang membalutnya dan biarlah dia pergi.”​—Yohanes 11:41-44.

Ramai orang Yahudi yang nampak mukjizat ini beriman kepada Yesus. Tetapi ada juga yang pergi memberitahu orang Farisi apa yang telah berlaku. Setelah mendengarnya, orang Farisi dan ketua-ketua imam mengumpulkan ahli Majlis Orang Yahudi. Imam Agung Kayafas turut hadir. Ada antara mereka yang berkata, “Orang ini melakukan banyak mukjizat. Jadi apakah yang harus kita lakukan? Jika kita membiarkan dia terus berbuat demikian, semua orang akan beriman kepadanya. Akhirnya orang Roma akan datang lalu merampas Rumah Tuhan dan bangsa kita!” (Yohanes 11:47, 48) Meskipun orang yang menyaksikan mukjizat Yesus telah menceritakan apa yang berlaku, mereka masih tidak mahu beriman kepadanya. Mereka lebih mementingkan kuasa dan kedudukan mereka.

Pembangkitan Lazarus telah memberikan tamparan hebat kepada orang Saduki kerana mereka tidak percaya akan pembangkitan. Kayafas, yang juga merupakan seorang Saduki, berkata, “Kamu tidak tahu apa-apa. Tidakkah kamu sedar bahawa lebih baik satu orang mati bagi umat kita daripada seluruh bangsa kita dibinasakan?”​—Yohanes 11:49, 50; Kisah 5:17; 23:8.

Memandangkan Kayafas ialah imam agung, Tuhan membuatnya berkata demikian. Dia “tidak berkata demikian menurut fikirannya sendiri.” Kayafas mahu membunuh Yesus supaya kedudukan dan pengaruh para pemimpin agama Yahudi tidak tergugat. Tetapi tanpa disedarinya, dia sedang bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk semua bangsa, termasuk “anak-anak Tuhan yang tercerai-berai.”​—Yohanes 11:51, 52.

Kayafas berjaya mempengaruhi Majlis Orang Yahudi untuk membunuh Yesus. Mungkinkah Nikodemus, seorang ahli Majlis Orang Yahudi dan kawan Yesus, memberitahu Yesus tentang rancangan ini? Kita tidak pasti, tetapi Yesus segera meninggalkan kawasan Yerusalem supaya dia tidak mati sebelum masa yang ditetapkan oleh Tuhan.