Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 98

Para Rasul Masih Mementingkan Kedudukan

Para Rasul Masih Mementingkan Kedudukan

MATIUS 20:17-28 MARKUS 10:32-45 LUKAS 18:31-34

  • YESUS MENUBUATKAN KEMATIANNYA SEKALI LAGI

  • PARA RASUL MENGINGINKAN KEDUDUKAN YANG TINGGI

Yesus dan para pengikutnya menyeberangi Sungai Yordan berdekatan Yerikho untuk pergi ke Yerusalem. Orang ramai juga menyertai mereka ke situ untuk merayakan Paska tahun 33 M.

Yesus berjalan di hadapan mereka kerana dia ingin berada di Yerusalem sebelum Perayaan Paska bermula. Tetapi pengikutnya berasa takut. Sebelum ini, apabila Lazarus meninggal dan Yesus ingin pergi ke Yudea, Tomas telah berkata, “Mari kita pergi dengannya supaya kita boleh mati bersama-samanya.” (Yohanes 11:16, 47-53) Ya, mereka tahu bahawa nyawa mereka mungkin terancam jika mereka pergi ke Yerusalem.

Untuk mempersiapkan hati mereka, Yesus memberitahu mereka apa yang bakal berlaku. Dia berkata, “Kita sedang menuju ke Yerusalem. Di situ, Anak Manusia akan diserahkan kepada ketua-ketua imam dan para jurutulis hukum. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati atasnya. Kemudian, mereka akan menyerahkannya kepada orang daripada bangsa lain dan dia akan diperolok-olokkan, dicambuk, dan dihukum bunuh pada tiang. Pada hari ketiga, dia akan dibangkitkan.”​—Matius 20:18, 19.

Ini ialah kali ketiga Yesus memberitahu pengikutnya tentang kematiannya dan pembangkitannya. (Matius 16:21; 17:22, 23) Tetapi kali ini, dia berkata bahawa dia akan dibunuh pada tiang. Mereka mendengar kata-katanya itu, tetapi mereka tidak memahami ertinya. Barangkali mereka berharap agar kerajaan Israel akan dipulihkan, dan mereka akan memerintah bersama Kristus di bumi.

Nampaknya Salome, iaitu ibu kepada Yakobus dan Yohanes, ada di situ. Yesus memanggil Yakobus dan Yohanes “Anak Guruh” kerana panggilan ini sesuai dengan sifat mereka. (Markus 3:17; Lukas 9:54) Ibu mereka tahu bahawa mereka ingin mendapat kedudukan yang tinggi dalam Kerajaan Tuhan. Maka dia pergi kepada Yesus dan sujud kepadanya. Yesus pun bertanya, “Apakah yang kamu ingin aku lakukan untuk kamu?” Salome menjawab, “Aku memohon supaya kedua-dua orang anak lelakiku diizinkan untuk duduk bersama Tuan dalam Kerajaan Tuan, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri.”​—Matius 20:20, 21.

Sebenarnya Yakobus dan Yohaneslah yang membuat permintaan itu. Yesus baru sahaja berkata bahawa dia akan dimalukan dan dihina, jadi dia bertanya kepada mereka, “Kamu berdua tidak tahu apa yang sedang kamu minta. Sanggupkah kamu minum daripada cawan yang aku minum?” Mereka berkata, “Kami sanggup.” (Matius 20:22) Nampaknya mereka masih tidak memahami sepenuhnya apa yang dimaksudkan oleh Yesus.

Biarpun begitu, Yesus berkata, “Kamu memang akan minum daripada cawanku, tetapi aku tidak berhak untuk menentukan siapa yang akan duduk di sebelah kanan atau kiriku. Mereka yang akan duduk di situ ditentukan oleh Bapaku.”​—Matius 20:23.

Rasul-rasul yang lain marah setelah mengetahui permintaan Yakobus dan Yohanes. Sebelum ini, semasa mereka bertengkar tentang siapa yang terbesar, Yakobus dan Yohanes mungkin telah menyuarakan hasrat mereka itu. (Lukas 9:46-48) Reaksi para rasul itu menunjukkan bahawa mereka tidak menerapkan nasihat Yesus untuk bersikap rendah hati seperti kanak-kanak. Mereka masih mementingkan kedudukan.

Oleh itu, Yesus memanggil mereka dan menasihati mereka dengan penuh kasih. Dia berkata, “Kamu tahu bahawa orang yang dianggap sebagai raja dan pembesar bangsa-bangsa lain menguasai dan mengawal rakyat mereka. Hal seperti itu sepatutnya tidak berlaku dalam kalangan kamu. Sebaliknya, jika sesiapa antara kamu ingin menjadi besar, dia mesti melayani kamu. Jika sesiapa antara kamu ingin menjadi yang pertama, dia mesti menjadi hamba kepada semua.”​—Markus 10:42-44.

Yesus menyatakan bahawa mereka patut mengikut teladannya. Dia berkata, “Anak Manusia tidak datang untuk dilayani, tetapi untuk melayani dan menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.” (Matius 20:28) Selama kira-kira tiga tahun, Yesus melayani orang. Akhirnya dia bahkan menyerahkan nyawanya demi umat manusia! Pengikut Yesus patut memupuk sikap yang sama. Mereka harus bersikap rendah hati, dan bukannya mementingkan kedudukan. Ya, mereka haruslah sudi melayani orang, dan bukannya asyik meminta untuk dilayani.