Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 99

Yesus Menyembuhkan Orang Buta dan Membantu Zakheus

Yesus Menyembuhkan Orang Buta dan Membantu Zakheus

MATIUS 20:29-34 MARKUS 10:46-52 LUKAS 18:35–19:10

  • YESUS MENYEMBUHKAN ORANG BUTA DI YERIKHO

  • ZAKHEUS, SEORANG PEMUNGUT CUKAI, BERTAUBAT

Yesus dan orang ramai yang mengikutnya tiba di Yerikho. Yerikho terdiri daripada dua buah kota; kota lamanya terletak kira-kira 1.6 kilometer dari kota baharu yang dibina pada zaman Roma. Semasa mereka meninggalkan salah satu kota untuk pergi ke kota yang satu lagi, terdapat dua orang pengemis buta yang duduk di tepi jalan. Salah seorang daripada mereka bernama Bartimeus.

Ketika mereka mendengar bahawa Yesus sedang lalu di situ, mereka mula berseru, “Tuan, Anak Daud, kasihanilah kami!” (Matius 20:30) Ada orang menyuruh mereka diam, tetapi mereka berseru dengan lebih kuat lagi. Maka Yesus berhenti dan bertanya siapa yang sedang berseru. Orang ramai pun berkata kepada salah seorang pengemis itu, “Teguhkanlah hatimu! Bangunlah, dia sedang memanggilmu.” (Markus 10:49) Dengan gembira, lelaki buta itu membuang jubah luarnya dan segera bangun lalu pergi kepada Yesus.

“Apakah yang kamu ingin aku lakukan untuk kamu?” tanya Yesus. Dua orang lelaki buta itu menjawab, “Tuan, pulihkanlah penglihatan kami.” (Matius 20:32, 33) Yesus mengasihani mereka, maka dia menyentuh mata mereka, dan berkata kepada salah seorang daripada mereka, “Pergilah. Kamu sembuh kerana kamu beriman.” (Markus 10:52) Penglihatan mereka pulih, lalu mereka memuliakan Tuhan dan menjadi pengikut Yesus. Orang ramai nampak apa yang berlaku, dan mereka juga memuji Tuhan.

Ada sekumpulan besar orang yang mengikut Yesus semasa dia berjalan melalui Yerikho. Mereka mengasaknya dari setiap arah kerana mereka ingin melihat lelaki yang telah menyembuhkan dua orang pengemis buta itu. Seorang lelaki kaya yang bernama Zakheus juga berada di situ. Dia ialah ketua pemungut cukai. Dia ingin melihat Yesus tetapi dia tidak dapat berbuat demikian kerana dia pendek. Maka dia berlari mendahului orang ramai dan memanjat sebatang pokok ara agar dia dapat melihat Yesus yang akan lalu di situ. Apabila Yesus tiba di tempat itu, dia memandang ke atas lalu berkata, “Zakheus, cepatlah turun! Hari ini aku mesti menumpang di rumah kamu.” (Lukas 19:5) Zakheus turun dengan segera dan pulang ke rumahnya untuk membuat persiapan.

Orang ramai yang nampak hal itu mula bersungut-sungut. Zakheus ialah seorang pemungut cukai yang tidak jujur dan dia telah memeras duit banyak orang. Mereka berasa bahawa Zakheus ialah seorang pendosa, dan Yesus tidak patut menumpang di rumahnya.

Semasa Yesus memasuki rumah Zakheus, orang ramai berkata, “Dia menumpang di rumah orang yang berdosa.” Tetapi Yesus dapat melihat kebaikan dalam diri Zakheus, dan yakin bahawa lelaki itu ingin bertaubat. Tindakan Zakheus yang seterusnya membuktikan hal ini. Zakheus berdiri dan berkata kepadanya, “Tuan, aku akan memberikan separuh daripada hartaku kepada orang miskin. Apa sahaja yang pernah aku peras daripada orang, akan aku bayar kembali empat kali ganda.”​—Lukas 19:7, 8.

Ya, Zakheus menunjukkan bahawa dia betul-betul bertaubat! Barangkali dia dapat mengira berapa banyak cukai yang telah diperasnya daripada orang Yahudi dengan memeriksa catatan cukainya. Dia bersumpah untuk membayar kembali empat kali ganda apa yang pernah diperasnya. Dia sudi membayar lebih daripada apa yang dituntut oleh Hukum Tuhan. (Keluaran 22:1; Imamat 6:2-5) Selain itu, dia berjanji untuk memberikan separuh daripada hartanya kepada orang miskin.

Yesus senang hati dengan tindakan Zakheus dan berkata kepadanya, “Hari ini, Tuhan telah menyelamatkan lelaki ini dan keluarganya, kerana dia juga keturunan Abraham. Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.”​—Lukas 19:9, 10.

Yesus baru sahaja mengajar orang perumpamaan tentang anak yang sesat. (Lukas 15:11-24) Sekarang dia dapat menunjukkan contoh seseorang yang sesat tetapi sudah ditemui semula. Para pemimpin agama dan penyokong mereka mengkritik Yesus kerana dia bergaul dengan pendosa seperti Zakheus. Tetapi Yesus tetap bertumpu kepada usahanya untuk mencari keturunan Abraham yang sesat dan membantu mereka.