Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 100

Perumpamaan tentang 10 Mina

Perumpamaan tentang 10 Mina

LUKAS 19:11-28

  • PERUMPAMAAN YESUS TENTANG 10 MINA

Yesus mungkin masih berada di rumah Zakheus bersama murid-muridnya. Mereka menyangka bahawa tidak lama lagi, “Kerajaan Tuhan akan muncul” dan Yesus akan menjadi raja. (Lukas 19:11) Sangkaan mereka tidak betul. Mereka tidak memahami bahawa Yesus mesti mati. Maka Yesus menceritakan perumpamaan berikut untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan tidak akan muncul pada zaman mereka:

“Seorang bangsawan hendak pergi ke tempat yang jauh untuk menjadi raja, dan kemudian dia akan kembali.” (Lukas 19:12) Perjalanan itu memakan masa yang lama. Yesus ialah “bangsawan” itu yang akan pergi ke “tempat yang jauh,” iaitu ke syurga. Di situ, Bapanya akan melantiknya menjadi raja.

Sebelum bertolak, bangsawan itu memanggil 10 orang hambanya. Dia memberikan satu mina kepada setiap hamba dan berkata, “Berniagalah dengan wang ini sampai aku pulang.” (Lukas 19:13) Mina ialah wang perak yang amat berharga. Satu mina ialah upah untuk tiga bulan bagi seorang pekerja ladang.

Murid-murid Yesus mungkin dapat menyimpulkan bahawa 10 orang hamba itu merujuk kepada mereka, kerana Yesus pernah menyamakan mereka dengan pekerja yang mengumpulkan tuaian. (Matius 9:35-38) Tetapi hasil tuaian mereka bukanlah gandum. Sebaliknya mereka akan menggunakan segala yang dimiliki oleh mereka untuk membantu orang memasuki Kerajaan Tuhan.

Kemudian Yesus mengatakan bahawa orang ‘membenci bangsawan itu dan menghantar duta-duta untuk berkata kepadanya, “Kami tidak mahu kamu menjadi raja kami.”’ (Lukas 19:14) Murid-murid Yesus tahu bahawa orang Yahudi membenci Yesus sehingga ada yang ingin membunuhnya. Selepas Yesus mati dan naik ke syurga, orang Yahudi menganiaya pengikutnya. Sememangnya mereka tidak mahu Yesus menjadi raja mereka.​—Yohanes 19:15, 16; Kisah 4:13-18; 5:40.

Bagaimanakah 10 orang hamba itu menggunakan duit mina yang diberikan kepada mereka? Yesus berkata, “Selepas dia dilantik sebagai raja, dia pulang dan memanggil hamba-hamba yang diberinya duit perak itu. Dia ingin mengetahui keuntungan yang diperoleh mereka daripada perniagaan masing-masing. Hamba yang pertama datang dan berkata, ‘Tuan, daripada satu mina yang tuan beri, hamba mendapat 10 mina.’ Maka dia berkata kepada hambanya, ‘Bagus, kamu hamba yang baik! Oleh sebab kamu setia dalam perkara yang sangat kecil, aku memberi kamu kuasa atas 10 buah kota.’ Hamba yang kedua datang lalu berkata, ‘Tuan, daripada satu mina yang tuan beri, hamba mendapat lima mina.’ Dia juga berkata kepada hamba tersebut, ‘Kamu akan diberi kuasa atas lima buah kota.’”​—Lukas 19:15-19.

Murid-murid Yesus perlu sedar bahawa jika mereka menggunakan segala yang dimiliki oleh mereka untuk menjadikan orang pengikut Yesus, mereka pasti akan diberkati. Meskipun hasil usaha mereka berbeza kerana mereka mempunyai keadaan dan kebolehan yang berlainan, Yesus tidak akan melupakan kerja keras mereka, dan dia akan memberkati mereka.​—Matius 28:19, 20.

Yesus mengakhiri perumpamaannya dengan berkata, “Seorang lagi hamba datang lalu berkata, ‘Tuan, inilah duit mina tuan yang hamba sembunyikan dalam sehelai kain. Hamba takut akan tuan kerana tuan seorang yang amat tegas. Tuan mengeluarkan duit daripada bank meskipun tidak memasukkannya terlebih dahulu dan menuai meskipun tidak menanam.’ Dia berkata kepada hamba itu, ‘Hamba yang jahat! Aku akan menghakimi kamu menurut kata-kata kamu. Kamu tahu bahawa aku seorang yang amat tegas dan mengeluarkan duit daripada bank meskipun tidak memasukkannya terlebih dahulu dan menuai meskipun tidak menanam. Kalau begitu, mengapakah kamu tidak menyimpan duit perakku di dalam bank, supaya apabila aku datang, aku dapat menerima wangku dengan bunganya?’ Kemudian dia berkata kepada orang yang berdiri di situ, ‘Ambillah duit mina daripadanya dan berikan duit itu kepada hamba yang mempunyai 10 mina.’”​—Lukas 19:20-24.

Hamba itu dihukum kerana dia tidak berusaha untuk menambah kekayaan tuannya. Para rasul tahu bahawa Yesus akan menjadi Raja Kerajaan Tuhan. Maka kata-kata Yesus ini mungkin menyedarkan mereka bahawa jika mereka tidak berusaha dengan gigih, mereka tidak dapat memasuki Kerajaan Tuhan.

Yesus mahu mendorong pengikutnya untuk menggiatkan usaha mereka, maka dia berkata, “Bagi setiap orang yang mempunyai sesuatu, dia akan diberi lebih banyak. Tetapi bagi orang yang tiada apa-apa, bahkan apa yang dimilikinya pun akan diambil daripadanya.” Dia juga berkata bahawa musuh-musuhnya, yang ‘tidak mahu dia menjadi raja,’ akan dihukum mati. Setelah itu, Yesus meneruskan perjalanannya ke Yerusalem.​—Lukas 19:26-28.