Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 102

Raja Memasuki Yerusalem dengan Menunggang Keldai

Raja Memasuki Yerusalem dengan Menunggang Keldai

MATIUS 21:1-11, 14-17 MARKUS 11:1-11 LUKAS 19:29-44 YOHANES 12:12-19

  • YESUS MEMASUKI YERUSALEM SEBAGAI RAJA

  • PEMBINASAAN YERUSALEM DINUBUATKAN

Pada hari Ahad, 9 Nisan, Yesus dan murid-muridnya pergi ke Yerusalem. Semasa mereka hampir tiba di Betfagi, Yesus menyuruh dua orang muridnya,

“Pergilah ke pekan yang ada di hadapan itu. Sebaik sahaja kamu tiba, kamu akan menjumpai seekor keldai yang terikat, dan anaknya juga ada di situ. Lepaskanlah dan bawalah kedua-dua ekor keldai itu kepadaku. Jika ada seseorang mengatakan sesuatu kepada kamu, katakan kepadanya, ‘Tuan memerlukan kedua-dua ekor keldai ini.’ Maka dengan segera dia akan membiarkan keldai itu dibawa pergi.”​—Matius 21:2, 3.

Pada masa itu, mereka tidak sedar bahawa arahan Yesus itu berkaitan dengan nubuat Zakharia yang menyatakan bahawa raja yang dijanjikan akan memasuki Yerusalem dengan “menunggang seekor keldai muda.”​—Zakharia 9:9.

Semasa mereka melepaskan seekor anak keldai bersama ibunya, orang di situ bertanya, “Mengapakah kamu melepaskan anak keldai ini?” (Markus 11:5) Mereka menjawab seperti yang disuruh oleh Yesus, lalu orang itu pun membiarkan mereka pergi. Mereka meletakkan jubah luar mereka di atas kedua-dua ekor keldai itu, tetapi Yesus memilih untuk menunggang anak keldai itu.

Seraya Yesus memasuki Yerusalem, orang ramai membentangkan jubah di atas jalan dan “memotong pelepah-pelepah pokok” lalu meletakkannya di atas jalan. Mereka berseru, “Moga Tuhan menyelamatkan dia! Diberkatilah dia yang datang atas nama Yehuwa! Diberkatilah Kerajaan yang akan datang, Kerajaan Daud, bapa kami!” (Markus 11:8-10) Orang Farisi menjadi marah lalu berkata kepada Yesus, “Guru, tegurlah murid-muridmu.” Dia menjawab, “Jika mereka diam, batu-batu akan berseru.”​—Lukas 19:39, 40.

Sambil memandang kota Yerusalem, Yesus menangis dan berkata, “Alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang mendatangkan kedamaian! Tetapi sekarang hal-hal itu telah disembunyikan daripada mata kamu.” Yerusalem akan dimusnahkan kerana penduduknya enggan mematuhi Tuhan. Yesus menubuatkan, “Musuh kamu menancapkan kayu-kayu yang tajam di sekelilingmu. Mereka akan mengepung kamu dan mengasak kamu dari semua arah serta menghempaskan kamu dan anak-anak kamu ke tanah. Mereka tidak akan membiarkan satu batu pun di dalam kota ini tersusun di atas batu yang lain.” (Lukas 19:42-44) Kata-kata ini menjadi kenyataan pada tahun 70 M.

Semasa Yesus masuk ke Yerusalem, seluruh kota itu menjadi gempar. Orang bertanya, “Siapakah dia?” Orang ramai yang ada bersamanya asyik berkata, “Dia ialah Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea!” (Matius 21:10, 11) Mereka juga menceritakan bagaimana Yesus membangkitkan Lazarus. Apabila orang Farisi nampak apa yang berlaku, mereka berkata, “Usaha kita sia-sia sahaja. Seluruh dunia sudah mengikutnya.”​—Yohanes 12:18, 19.

Seperti biasa, Yesus pergi ke Rumah Tuhan untuk mengajar. Dia juga menyembuhkan orang. Hal itu membuat para pemimpin agama marah. Mereka juga marah apabila mendengar kanak-kanak di Rumah Tuhan berseru, “Moga Tuhan menyelamatkan Anak Daud!” Mereka berkata kepada Yesus, “Tidakkah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh mereka?” Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu membaca ayat yang berbunyi: ‘Engkau menyebabkan mulut kanak-kanak dan bayi mengucapkan pujian kepada-Mu’?”​—Matius 21:15, 16.

Yesus memandang segala sesuatu yang ada di Rumah Tuhan. Hari sudah senja, jadi dia kembali ke Betania bersama para rasulnya sebelum 10 Nisan bermula.