Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 106

Dua Perumpamaan tentang Ladang Anggur

Dua Perumpamaan tentang Ladang Anggur

MATIUS 21:28-46 MARKUS 12:1-12 LUKAS 20:9-19

  • PERUMPAMAAN TENTANG DUA ORANG ANAK

  • PERUMPAMAAN TENTANG PELADANG YANG JAHAT

Yesus baru sahaja membungkam para ketua imam dan pemimpin orang Yahudi yang mencabar kuasanya. Sekarang dia menceritakan perumpamaan berikut untuk mendedahkan sifat sebenar mereka:

“Seorang lelaki mempunyai dua orang anak. Dia pergi kepada anak yang pertama dan berkata, ‘Nak, pergilah bekerja di ladang anggur hari ini.’ Anaknya menjawab, ‘Saya tidak mahu pergi,’ tetapi dia kemudiannya menyesal lalu pergi ke ladang anggur. Ayah itu pergi kepada anaknya yang kedua dan mengatakan hal yang sama. Anak itu menjawab, ‘Saya akan pergi, ayah,’ tetapi dia tidak pergi. Yang manakah antara kedua-dua orang anak itu yang melakukan kehendak ayahnya?” (Matius 21:28-31) Memang jelas bahawa anak pertamalah yang telah melakukan kehendak bapanya.

Maka Yesus berkata, “Ketahuilah bahawa pemungut cukai dan pelacur akan masuk dalam Kerajaan Tuhan lebih dahulu daripada kamu.” Pemungut cukai dan pelacur tidak menyembah Tuhan. Tetapi seperti anak yang pertama itu, mereka kemudiannya bertaubat. Para pemimpin agama pula seperti anak yang kedua itu. Mereka berkata bahawa mereka menyembah Tuhan, tetapi sebenarnya mereka tidak berbuat demikian. Yesus berkata, “Yohanes [Pembaptis] datang untuk mengajar kamu jalan hidup yang diperkenankan Tuhan, tetapi kamu tidak percaya kepadanya. Sebaliknya pemungut cukai dan pelacur telah mempercayainya. Meskipun kamu melihat hal ini, kamu masih tidak insaf dan enggan mempercayainya.”​—Matius 21:31, 32.

Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan yang kedua untuk menunjukkan bahawa para pemimpin agama bukan sahaja tidak menyembah Tuhan, mereka bahkan juga jahat. Dia berkata bahawa seorang lelaki menanam anggur dan mendirikan pagar di sekeliling ladangnya. Kemudian dia menyewakan ladang itu kepada beberapa orang peladang lalu berangkat ke luar negeri. Apabila musim anggur tiba, dia berkali-kali mengutus hamba-hambanya kepada para peladang itu untuk menerima sebahagian daripada hasil ladang anggur. Tetapi hamba-hamba itu ditangkap, dipukul, dihina, dan ada yang dibunuh.​—Markus 12:1-5.

Perumpamaan itu mungkin mengingatkan para pendengar Yesus tentang kata-kata Yesaya yang berbunyi, “Israel ialah ladang anggur Yehuwa, ketua angkatan syurga; orang Yehuda ialah pokok anggur yang disukai-Nya. Dia mengharapkan mereka berlaku adil, tetapi mereka berlaku tidak adil.” (Yesaya 5:7) Dalam perumpamaan Yesus, Yehuwa ialah pemilik ladang. Dia telah “mendirikan pagar,” iaitu memberikan Hukum-Nya, untuk melindungi “ladang-Nya,” iaitu bangsa Israel. Dia telah mengutus nabi-nabi-Nya untuk mengajar bangsa itu dan membantu mereka menghasilkan buah yang baik.

Tetapi “para peladang” memukul, merejam, dan membunuh ‘hamba-hamba’ yang diutus oleh pemilik itu. Yesus berkata, ‘Akhirnya, pemilik itu mengutus anak lelakinya kepada mereka. Tetapi para peladang itu bercakap sesama sendiri, “Ini dia pewaris ladang anggur. Mari kita bunuh dia supaya kita mendapat harta yang bakal diwarisinya!” Maka mereka membunuhnya.’​—Markus 12:6-8.

Yesus pun bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang anggur itu?” (Markus 12:9) Para pemimpin agama menjawab, ‘Oleh sebab mereka jahat, dia pasti akan membunuh mereka lalu menyewakan ladang anggurnya kepada peladang lain yang akan memberikan bahagiannya apabila musim anggur tiba.’​—Matius 21:41.

Tanpa disedari, mereka menjatuhkan hukuman atas diri sendiri, kerana merekalah “para peladang” yang dimaksudkan itu. Mereka sepatutnya beriman kepada Anak Tuhan, iaitu Mesias, tetapi mereka tidak berbuat demikian. Maka Yesus berkata kepada mereka, “Belum pernahkah kamu membaca ayat suci ini yang menyatakan, ‘Batu yang dibuang oleh para pembina bangunan telah menjadi batu penjuru yang utama. Batu ini berasal daripada Yehuwa dan betapa indahnya batu ini di mata kita’?” (Markus 12:10, 11) Kemudian dia menyambung, “Inilah sebabnya aku berkata kepada kamu bahawa Kerajaan Tuhan akan diambil daripada kamu dan diserahkan kepada bangsa yang melakukan kehendak Tuhan.”​—Matius 21:43.

Para jurutulis hukum dan ketua imam itu “sedar bahawa perumpamaan Yesus ditujukan kepada mereka.” (Lukas 20:19) Oleh itu, mereka lebih bertekad untuk membunuh Yesus, “pewaris ladang anggur” itu. Tetapi mereka takut kepada orang ramai yang percaya bahawa Yesus ialah seorang nabi. Maka mereka tidak membunuhnya pada masa itu.