Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 107

Raja Menjemput Orang ke Majlis Perkahwinan

Raja Menjemput Orang ke Majlis Perkahwinan

MATIUS 22:1-14

  • PERUMPAMAAN TENTANG MAJLIS PERKAHWINAN

Seraya masa kematian Yesus semakin mendekat, dia terus menggunakan perumpamaan untuk mendedahkan sifat sebenar para ketua imam dan jurutulis hukum. Oleh itu, mereka ingin membunuhnya. (Lukas 20:19) Sekarang dia menceritakan satu lagi perumpamaan.

Dia berkata, “Kerajaan di syurga adalah seperti seorang raja yang mengadakan majlis perkahwinan untuk anak lelakinya. Raja itu mengutus hamba-hambanya untuk memanggil para jemputan, tetapi mereka enggan datang.” (Matius 22:2, 3) Yesus menyebut tentang “Kerajaan di syurga,” maka kita dapat menyimpulkan bahawa “raja” itu ialah Yehuwa. ‘Anak lelaki’ raja itu ialah anak Yehuwa, iaitu Yesus. “Para jemputan” pula ialah orang yang akan memerintah bersama Yesus di syurga.

Siapakah yang paling awal dijemput? Orang Yahudi, kerana merekalah yang paling awal mendengar tentang berita Kerajaan Tuhan. (Matius 10:6, 7; 15:24) Orang Yahudi diberi Hukum Musa pada tahun 1513 SM. Dengan demikian, mereka menjadi bangsa pertama yang membentuk “sebuah kerajaan imam” untuk Tuhan. (Keluaran 19:5-8) Tetapi bilakah mereka akan dijemput ke “majlis perkahwinan” itu? Jemputan itu diberikan pada tahun 29 M apabila Yesus mula menyebarkan berita tentang Kerajaan di syurga.

Apakah reaksi kebanyakan orang terhadap jemputan itu? Yesus berkata bahawa “mereka enggan datang.” Sebilangan besar pemimpin agama dan orang biasa enggan menerima Yesus sebagai Mesias dan Raja yang dilantik Tuhan.

Tetapi mereka diberi satu lagi peluang kerana Yesus berkata, “Sekali lagi raja mengutus hamba-hambanya yang lain. Raja berkata, ‘Beritahulah para jemputan, “Beta sudah menyediakan jamuan makan malam. Lembu jantan dan binatang-binatang beta yang terbaik sudah disembelih, dan semuanya sudah tersedia. Datanglah ke majlis perkahwinan putera beta.”’ Tetapi mereka tidak mengambil peduli. Seorang pergi ke ladangnya; seorang lagi pergi menguruskan perniagaannya; yang lain pula menangkap hamba-hamba raja itu lalu memukul dan membunuh mereka.” (Matius 22:4-6) Hal ini berlaku semasa sidang Kristian ditubuhkan. Pada waktu itu, orang Yahudi masih berpeluang untuk memasuki Kerajaan Tuhan. Tetapi mereka menolaknya, dan ada yang bahkan memperlakukan “hamba-hamba raja” dengan buruk.​—Kisah 4:13-18; 7:54, 58.

Oleh itu, Yesus berkata, “Raja menjadi marah lalu mengutus tenteranya untuk membunuh para pembunuh itu dan membakar kota mereka.” (Matius 22:7) Hal ini terjadi kepada orang Yahudi pada tahun 70 M apabila orang Roma memusnahkan “kota mereka,” iaitu Yerusalem.

Kemudian Yesus menunjukkan bahawa orang lain akan dijemput. Dia berkata, “Raja berkata kepada hamba-hambanya, ‘Majlis perkahwinan sudah tersedia, tetapi mereka yang dijemput tidak layak menghadirinya. Maka, pergilah ke jalan-jalan yang menuju ke luar kota dan jemputlah sesiapa sahaja yang kamu jumpa untuk datang ke majlis perkahwinan ini.’ Hamba-hamba itu menurut perintah raja lalu pergi ke jalan-jalan dan mengumpulkan semua orang yang dijumpai, baik yang jahat mahupun yang baik. Maka dewan majlis perkahwinan itu dipenuhi dengan tetamu.”​—Matius 22:8-10.

Pada kemudian hari, Petrus membantu orang asing, iaitu orang yang bukan berbangsa Yahudi atau orang yang bukan pemeluk agama Yahudi, untuk menjadi pengikut Kristus. Pada tahun 36 M, pegawai tentera Roma yang bernama Kornelius dan seisi rumahnya telah diberi kuasa suci Tuhan, maka mereka akan memerintah bersama Yesus dalam Kerajaan di syurga.​—Kisah 10:1, 34-48.

Tetapi “raja” itu tidak akan mengalu-alukan semua orang yang datang ke majlis itu. Yesus berkata, “Semasa raja masuk untuk melihat para tetamunya, dia ternampak seorang lelaki yang pakaiannya tidak sesuai untuk majlis perkahwinan itu. Raja berkata kepadanya, ‘Mengapakah kamu berada di sini sedangkan pakaianmu tidak sesuai?’ Orang itu diam sahaja. Maka raja berkata kepada hamba-hambanya, ‘Ikatlah tangan dan kakinya lalu buanglah dia ke tempat yang gelap di luar. Di situ dia akan menangis dan menggertakkan gigi.’ Hal ini demikian kerana yang dijemput ramai tetapi yang dipilih sedikit.”​—Matius 22:11-14.

Para pemimpin agama mungkin tidak memahami sepenuhnya kata-kata Yesus, tetapi mereka marah dan lebih bertekad untuk membunuhnya.