Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 108

Yesus Menggagalkan Usaha Musuhnya

Yesus Menggagalkan Usaha Musuhnya

MATIUS 22:15-40 MARKUS 12:13-34 LUKAS 20:20-40

  • MEMBERIKAN MILIK KAISAR KEPADA KAISAR

  • ADAKAH ORANG YANG DIBANGKITKAN AKAN BERKAHWIN?

  • HUKUM YANG TERPENTING

Musuh-musuh Yesus marah kerana dia baru sahaja mendedahkan kejahatan mereka. Sekarang orang Farisi berkomplot untuk memerangkapnya agar dia dihadapkan kepada gabenor Roma. Maka mereka mengupah pengikut mereka untuk berbuat demikian.​—Lukas 6:7.

Pengikut mereka berkata, “Guru, kami tahu bahawa Guru sentiasa mengatakan dan mengajarkan apa yang betul. Guru tidak pilih kasih dan Guru mengajarkan jalan Tuhan berdasarkan kebenaran. Jadi, patutkah kita membayar cukai kepala kepada Kaisar?” (Lukas 20:21, 22) Yesus tidak terpedaya. Dia tahu bahawa mereka munafik dan licik. Jika dia menjawab, “Tidak patut,” dia akan dituduh memberontak terhadap kerajaan Roma. Tetapi jika dia menjawab, “Patut,” orang ramai mungkin akan menyangka bahawa dia menyokong kerajaan Roma. Jadi bagaimanakah dia akan menjawab?

Yesus berkata, “Hai orang yang bermuka dua, mengapakah kamu menguji aku? Tunjukkanlah duit syiling yang kamu gunakan untuk membayar cukai kepala.” Mereka memberikan satu denari kepadanya. Maka dia bertanya, “Muka dan gelaran siapakah ini?” Mereka menjawab, “Kaisar.” Kemudian Yesus berkata, “Jadi berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.”​—Matius 22:18-21.

Para pengikut orang Farisi itu kagum dengan jawapannya. Selepas itu, para pemimpin orang Saduki pula datang untuk memerangkap Yesus.

Orang Saduki tidak percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan. Mereka menanya Yesus, “Guru, Musa berkata, ‘Jika seorang lelaki mati sebelum mempunyai anak, saudara kandungnya mesti berkahwin dengan balunya supaya dia mempunyai keturunan.’ Bersama kami ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin lalu mati tanpa mempunyai anak. Maka adiknya mengahwini isterinya. Hal yang sama berlaku kepada adik yang kedua, dan yang ketiga, sehingga adik yang ketujuh. Akhirnya, wanita itu pun mati. Memandangkan tujuh orang adik-beradik itu pernah berkahwin dengannya, siapakah antara mereka yang akan menjadi suaminya semasa pembangkitan nanti?”​—Matius 22:24-28.

Yesus tahu bahawa mereka percaya kepada tulisan Musa, maka dia menjawab, “Kamu sudah silap kerana kamu tidak mengetahui Ayat-Ayat Suci ataupun kuasa Tuhan. Semasa pembangkitan orang mati, lelaki dan perempuan tidak akan berkahwin, tetapi menjadi seperti malaikat di syurga. Berkenaan dengan pembangkitan orang mati, belum pernahkah kamu membaca kisah yang ditulis oleh Musa tentang pokok kecil yang bernyala? Tuhan berfirman kepada Musa, ‘Aku Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub.’ Dia ialah Tuhan orang hidup, bukan Tuhan orang mati. Kamu silap sama sekali.” (Markus 12:24-27; Keluaran 3:1-6) Orang ramai kagum dengan jawapan itu.

Yesus telah membungkam orang Farisi dan orang Saduki, jadi sekarang mereka berpakat untuk memerangkapnya. Seorang jurutulis hukum bertanya kepadanya, “Guru, dalam Hukum Musa, hukum manakah yang paling penting?”​—Matius 22:36.

Yesus menjawab, ‘Hukum terpenting ialah “Yehuwa ialah Tuhan kita dan Yehuwalah Tuhan yang esa. Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dengan segenap akal, dan dengan segenap kekuatan.” Yang kedua ialah “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” Tidak ada hukum lain yang lebih penting daripada kedua-dua hukum ini.’​—Markus 12:29-31.

Jurutulis hukum itu berkata, “Kata-kata Guru memang bagus dan berdasarkan kebenaran. ‘Tuhan itu Esa, dan tidak ada yang lain kecuali Dia.’ Manusia harus mengasihi-Nya dengan segenap hati, segenap pengertian, dan segenap kekuatan. Manusia juga harus mengasihi orang lain sepertimana mereka mengasihi diri sendiri. Mematuhi kedua-dua hukum ini lebih bernilai daripada semua persembahan dan korban bakar.” Jurutulis hukum itu menjawab dengan bijak. Maka Yesus berkata, “Kamu tidak jauh daripada Kerajaan Tuhan.”​—Markus 12:32-34.

Yesus mengajar di Rumah Tuhan selama tiga hari (9, 10, dan 11 Nisan). Ada orang menyambut baik ajaran Yesus. Tetapi ada pula yang membencinya, seperti para pemimpin agama yang kini tidak lagi berani untuk menanyakan apa-apa kepadanya.