Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 112

Perumpamaan 10 Anak Dara dan Sikap Berjaga-jaga

Perumpamaan 10 Anak Dara dan Sikap Berjaga-jaga

MATIUS 25:1-13

  • PERUMPAMAAN YESUS TENTANG 10 ANAK DARA

Yesus telah menjawab soalan para rasul tentang tanda kehadirannya dan penghujung sistem ini. Sekarang dia menasihati mereka melalui satu perumpamaan. Kejadian yang digambarkan dalam perumpamaan ini akan menjadi kenyataan semasa kehadirannya.

Dia berkata, “Pada masa itu, Kerajaan di syurga adalah seperti 10 orang anak dara yang mengambil pelita mereka dan keluar untuk menyambut pengantin lelaki. Lima orang daripada mereka bodoh, dan lima orang lagi bijaksana.”​—Matius 25:1, 2.

Yesus tidak memaksudkan bahawa separuh pengikutnya bodoh, dan separuh lagi bijaksana. Sebaliknya, dia sedang menunjukkan bahawa setiap pengikutnya mempunyai pilihan untuk bersikap waspada atau cuai. Dia yakin bahawa mereka semua dapat tetap setia dan menerima berkat daripada Bapanya.

Dalam perumpamaan itu, 10 orang anak dara keluar untuk menyambut pengantin lelaki. Anak-anak dara itu akan menerangi jalan yang dilalui oleh pengantin lelaki apabila dia datang ke rumahnya bersama isterinya. Tetapi apakah yang berlaku?

Yesus berkata, “Anak dara yang bodoh membawa pelita tetapi tidak membawa minyak tambahan, manakala anak dara yang bijaksana membawa pelita dan bekas berisi minyak. Memandangkan pengantin lelaki lambat datang, mereka semua mengantuk lalu tertidur.” (Matius 25:3-5) Pengantin lelaki itu lambat datang dan mereka terpaksa menunggu untuk waktu yang agak lama. Oleh itu, mereka semua tertidur. Hal ini mungkin mengingatkan para rasul tentang perumpamaan seorang bangsawan yang pergi ke tempat jauh untuk menjadi raja dan kemudian kembali.​—Lukas 19:11-15.

Selepas itu, Yesus menggambarkan apa yang berlaku apabila pengantin lelaki itu tiba. Dia berkata, “Pada tengah malam, ada orang berseru, ‘Itu dia pengantin lelaki! Pergilah menyambutnya.’” (Matius 25:6) Apakah reaksi anak-anak dara itu? Adakah mereka berjaga-jaga dan bersedia?

Yesus berkata, “Semua anak dara itu bangun dan menyediakan pelita mereka. Anak dara yang bodoh berkata kepada anak dara yang bijaksana, ‘Berilah kami sedikit minyak kerana pelita kami hampir padam.’ Anak dara yang bijaksana menjawab, ‘Mungkin bekalan minyak kami tidak cukup untuk kita semua. Pergilah dan belilah minyak daripada mereka yang menjualnya.’”​—Matius 25:7-9.

Lima orang anak dara itu bodoh kerana mereka tidak berjaga-jaga dan tidak bersedia untuk menyambut pengantin lelaki. Mereka tidak membawa bekalan minyak yang mencukupi dan perlu membelinya. Yesus berkata, “Semasa mereka bertolak untuk membeli minyak, pengantin lelaki sampai. Anak-anak dara yang sudah bersedia mengikutnya ke dalam rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan, lalu pintu ditutup. Kemudian, anak dara yang lain tiba lalu berkata, ‘Tuan, Tuan, bukalah pintu untuk kami!’ Pengantin lelaki menjawab, ‘Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Aku tidak mengenal kamu.’” (Matius 25:10-12) Betapa sedihnya kesudahan mereka!

Para rasul faham bahawa pengantin lelaki itu merujuk kepada Yesus, kerana dia pernah menyamakan dirinya dengan seorang pengantin lelaki. (Lukas 5:34, 35) Anak dara yang bijaksana pula merujuk kepada siapa? Semasa Yesus bercakap tentang “kawanan kecil” yang akan mewarisi Kerajaan Tuhan, dia berkata, “Hendaklah kamu mengikat pinggang dan memastikan pelita kamu dinyalakan.” (Lukas 12:32, 35) Jadi para rasul dapat menyimpulkan bahawa anak dara itu merujuk kepada pengikutnya yang terurap seperti mereka. Oleh itu, apakah yang ingin disampaikan oleh Yesus menerusi perumpamaan ini?

Dia mengakhiri perumpamaannya dengan berkata, “Maka, teruslah berjaga-jaga, kerana kamu semua tidak tahu hari atau waktunya.”​—Matius 25:13.

Jelaslah bahawa Yesus sedang menyuruh para pengikutnya yang setia untuk ‘terus berjaga-jaga’ dan menantikan kehadirannya. Seperti lima orang anak dara yang bijaksana itu, mereka perlu bersedia untuk kedatangannya. Jika tidak, mereka akan kehilangan harapan dan berkat yang telah dijanjikan kepada mereka.