Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 121

“Teguhkanlah Hati Kamu! Aku Sudah Menakluki Dunia”

“Teguhkanlah Hati Kamu! Aku Sudah Menakluki Dunia”

YOHANES 16:1-33

  • SEKETIKA LAGI, PARA RASUL TIDAK AKAN MELIHAT YESUS

  • DUKACITA AKAN BERUBAH MENJADI SUKACITA

Yesus dan para rasul bersedia untuk meninggalkan bilik tempat mereka mengadakan jamuan Paska. Tetapi Yesus berkata, “Aku memberitahu kamu hal-hal ini supaya kamu tidak tersandung.” Apakah maksudnya? Dia menjelaskan, “Kamu akan dihalau dari rumah ibadat. Sebenarnya, akan tiba masanya apabila setiap orang yang membunuh kamu akan menyangka bahawa dia sedang menjalankan khidmat suci kepada Tuhan.”​—Yohanes 16:1, 2.

Para rasul runsing setelah mendengar kata-kata Yesus. Meskipun dia pernah berkata bahawa dunia akan membenci mereka, dia tidak pernah berkata bahawa mereka akan dibunuh. Dia menyambung, “Aku tidak memberitahu kamu hal-hal ini sebelum ini, kerana aku masih bersama kamu.” (Yohanes 16:4) Tetapi sekarang dia memberikan amaran kepada mereka agar mereka tidak tersandung pada kemudian hari.

Dia menambah, “Kini aku akan pergi kepada Dia yang mengutus aku. Tetapi tidak seorang pun daripada kamu yang bertanya, ‘Ke manakah Guru akan pergi?’” Sebelum ini, mereka telah bertanya ke mana dia akan pergi. (Yohanes 13:36; 14:5; 16:5) Tetapi sekarang, mereka runsing dan sedih. Maka mereka tidak bertanya tentang kemuliaan yang menantikan Yesus dan kesannya terhadap penyembah Tuhan yang sejati. Maka Yesus berkata, “Sekarang kamu bersedih hati kerana aku memberitahu kamu hal-hal ini.”​—Yohanes 16:6.

Kemudian Yesus menjelaskan, “Aku pergi demi kebaikan kamu. Jika aku tidak pergi, penolong itu tidak akan datang kepada kamu. Tetapi jika aku pergi, aku akan mengutusnya kepada kamu.” (Yohanes 16:7) Para pengikut Yesus di serata bumi hanya akan menerima kuasa suci Tuhan selepas Yesus mati dan naik ke syurga.

Kuasa suci Tuhan ‘akan menunjukkan bukti yang kukuh kepada dunia tentang dosa-dosanya, dan tentang siapa yang melakukan apa yang benar dan siapa yang akan dihukum oleh Tuhan.’ (Yohanes 16:8) Ya, kuasa suci Tuhan akan menunjukkan bahawa dunia ini tidak beriman kepada Anak Tuhan. Selain itu, apabila Yesus naik ke syurga, hal ini akan membuktikan bahawa dia melakukan apa yang benar, dan bahawa “pemerintah dunia ini,” iaitu Syaitan, patut dihukum.​—Yohanes 16:11.

Yesus berkata, “Banyak lagi yang hendak aku katakan kepada kamu, tetapi kamu tidak dapat memahaminya buat masa ini.” Apabila dia mengutus kuasa suci Tuhan kepada mereka, mereka akan dibimbing untuk memahami “seluruh kebenaran” dan hidup selaras dengan kebenaran itu.​—Yohanes 16:12, 13.

Kata-kata Yesus yang berikut membuat para rasul bingung: “Seketika lagi, kamu tidak akan melihatku, tetapi seketika kemudian kamu akan melihatku.” Mereka bertanya kepada satu sama lain apa yang dimaksudkan oleh Yesus. Maka Yesus menjelaskan, “Kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersukacita. Kamu akan berdukacita, tetapi dukacita itu akan berubah menjadi sukacita.” (Yohanes 16:16, 20) Apabila Yesus dibunuh pada keesokan hari, para pemimpin agama akan bersukacita, dan pengikut Yesus akan berdukacita. Tetapi dukacita mereka akan berubah menjadi sukacita apabila Yesus dibangkitkan, dan apabila mereka menerima kuasa suci Tuhan.

Yesus membandingkan situasi para rasul dengan keadaan seorang wanita yang hendak bersalin. Setelah anaknya lahir, wanita itu bersukacita dan lupa akan kesakitan yang dialaminya. Maka Yesus menggalakkan para rasul dengan berkata, “Begitu juga, kamu berdukacita sekarang. Tetapi aku akan berjumpa lagi dengan kamu. Hati kamu akan penuh dengan sukacita, dan tiada sesiapa yang dapat merampas sukacita kamu.”​—Yohanes 16:21, 22.

Para rasul tidak pernah meminta apa-apa pun atas nama Yesus, tetapi sekarang Yesus berkata, “Pada hari itu, kamu akan meminta kepada Bapa atas namaku.” Jika mereka berbuat demikian, Bapa akan mengabulkan permintaan mereka. Yesus berkata, ‘Bapa mengasihi kamu, kerana kamu mengasihi aku, yang datang sebagai wakil Tuhan.’​—Yohanes 16:26, 27.

Kata-kata Yesus menggalakkan para rasul, maka mereka berkata, “Melalui hal ini kami percaya bahawa Guru berasal daripada Tuhan.” Yesus tahu bahawa iman mereka akan diuji tidak lama lagi. Dia berkata, “Lihatlah! Masanya akan tiba, malah sudah tiba, apabila kamu akan dicerai-beraikan lalu pulang ke rumah masing-masing. Kamu akan meninggalkan aku seorang diri.” Tetapi dia memberikan jaminan berikut: “Aku memberitahu kamu hal-hal ini supaya kamu menerima kedamaian melalui aku. Kamu akan menghadapi kesengsaraan di dunia ini, tetapi teguhkanlah hati kamu! Aku sudah menakluki dunia.” (Yohanes 16:30-33) Yesus sentiasa menyertai mereka. Dia yakin bahawa jika mereka setia melakukan kehendak Tuhan meskipun ditentang oleh Syaitan dan dunia ini, mereka juga akan berjaya menakluki dunia.