Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 128

Didapati Tidak Bersalah oleh Pilatus dan Herodes

Didapati Tidak Bersalah oleh Pilatus dan Herodes

Yesus memang seorang raja, tetapi Kerajaannya tidak akan mengancam kerajaan Roma. Dia memberitahu Pilatus, “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini. Jika Kerajaanku sebahagian daripada dunia ini, pengikut-pengikutku tentu berjuang supaya aku tidak diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi, Kerajaanku bukanlah dari dunia ini.”​—Yohanes 18:36.

Pilatus bertanya sekali lagi, “Jadi, adakah kamu seorang raja?” Pilatus telah membuat kesimpulan yang betul, maka Yesus menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakan bahawa aku ialah seorang raja. Aku harus memberikan kesaksian tentang kebenaran, kerana untuk tujuan inilah aku dilahirkan dan datang ke dunia. Setiap orang yang berpihak pada kebenaran mendengarkan suaraku.”​—Yohanes 18:37.

Yesus pernah memberitahu Tomas, “Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan.” Sekarang Pilatus juga tahu bahawa Yesus turun ke bumi untuk memberikan kesaksian tentang “kebenaran,” iaitu kebenaran tentang Kerajaannya. Yesus bahkan sanggup mengorbankan nyawanya untuk mempertahankan kebenaran itu. Pilatus bertanya, “Apakah itu kebenaran?” tetapi dia sebenarnya tidak ingin mendengar jawapan Yesus.​—Yohanes 14:6; 18:38.

Pilatus keluar dari istananya. Nampaknya Yesus berada di sisinya apabila dia memberitahu para ketua imam dan orang ramai di situ, “Aku tidak dapat mencari kesalahan lelaki ini.” Mereka marah dan berkata, “Dia menimbulkan banyak masalah di serata Yudea dengan menyebarkan ajarannya dari Galilea sampai ke sini.”​—Lukas 23:4, 5.

Pilatus terkejut dengan kedegilan mereka. Seraya mereka terus berteriak, Pilatus menanya Yesus, “Tidakkah kamu mendengar tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?” (Matius 27:13) Tetapi Yesus berdiam diri, dan hal ini membuat Pilatus hairan.

Orang Yahudi mengatakan bahawa Yesus “menyebarkan ajarannya dari Galilea.” Apabila Pilatus mendapat tahu bahawa Yesus berasal dari Galilea, dia menggunakan hal ini untuk lari daripada tanggungjawabnya. Herodes Antipas (iaitu anak lelaki Herodes yang Agung) ialah pemerintah Galilea, dan dia berada di Yerusalem untuk Perayaan Paska. Maka Pilatus menghantar Yesus kepada Herodes. Herodes telah memancung kepala Yohanes Pembaptis sebelum ini. Apabila dia mendengar bahawa Yesus melakukan banyak mukjizat, dia berfikir bahawa mungkin Yesus ialah Yohanes yang telah dibangkitkan.​—Lukas 9:7-9.

Herodes teringin berjumpa dengan Yesus. Hal ini bukan kerana dia ingin membantu Yesus atau mengetahui sama ada tuduhan yang dilemparkan terhadap Yesus benar atau tidak. Dia hanya ingin melihat Yesus melakukan mukjizat. (Lukas 23:8) Tetapi Yesus tidak memuaskan rasa ingin tahu Herodes. Apabila Herodes menyoalnya, dia tidak menjawab sepatah kata pun. Oleh itu, Herodes dan askar-askarnya “menghina Yesus.” (Lukas 23:11) Mereka mengolok-olokkan Yesus dengan mengenakan jubah yang cantik padanya. Kemudian Herodes menghantar dia kembali kepada Pilatus. Walaupun Herodes dan Pilatus dahulunya bermusuhan, sejak hari itu mereka berdua menjadi kawan baik.

Setelah itu, Pilatus mengumpulkan para ketua imam, para pemimpin orang Yahudi, dan orang ramai, lalu berkata, “Aku sudah menyoal dia di hadapan kamu, tetapi aku mendapati semua tuduhan yang kamu lontarkan itu tidak berasas. Sebenarnya, Herodes juga mendapati bahawa dia tidak bersalah lalu menghantarnya kembali kepada kami. Dia tidak melakukan apa-apa yang membuatnya patut dihukum mati. Jadi, aku akan mencambuk dia lalu membebaskannya.”​—Lukas 23:14-16.

Pilatus ingin melepaskan Yesus. Dia tahu bahawa para imam membawa Yesus kepadanya kerana mereka cemburu terhadap Yesus. Lagipun, semasa dia duduk di tempat pengadilan, isterinya menghantar orang untuk memberitahunya, “Janganlah mencampuri urusan orang baik itu. Hari ini aku cukup menderita dalam mimpi [daripada Tuhan] kerana dia.”​—Matius 27:19.

Jadi Pilatus tahu bahawa dia sepatutnya membebaskan Yesus. Bagaimanakah dia dapat berbuat demikian?