Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 134

Yesus Dihidupkan Semula!

Yesus Dihidupkan Semula!

MATIUS 28:3-15 MARKUS 16:5-8 LUKAS 24:4-12 YOHANES 20:2-18

  • YESUS DIBANGKITKAN

  • APA YANG BERLAKU DI MAKAM YESUS

  • DIA MENAMPAKKAN DIRI KEPADA PARA WANITA

Para wanita yang datang ke makam Yesus terkejut kerana makam itu kosong! Maria Magdalena berlari untuk mencari Petrus dan Yohanes. (Yohanes 20:2) Wanita-wanita lain pula nampak satu malaikat di makam itu. Semasa mereka masuk ke dalam makam, mereka nampak satu lagi malaikat “yang berjubah putih.”​—Markus 16:5.

Salah satu malaikat memberitahu mereka, “Janganlah takut. Aku tahu bahawa kamu sedang mencari Yesus yang dihukum bunuh pada tiang. Dia tidak ada di sini. Seperti yang dikatakannya, dia sudah dibangkitkan. Marilah dan lihatlah tempat mayatnya diletakkan. Selepas itu, cepatlah pergi dan beritahulah murid-muridnya bahawa dia sudah dibangkitkan daripada kematian. Sekarang dia dalam perjalanan ke Galilea.” (Matius 28:5-7) Jadi dengan ‘hairan dan takut,’ para wanita itu berlari kepada murid-murid Yesus dan melaporkan hal itu kepada mereka.​—Markus 16:8.

Sementara itu, Maria menjumpai Petrus dan Yohanes. Dia berkata kepada mereka, “Tuan sudah dikeluarkan dari makam, dan kami tidak mengetahui tempat dia diletakkan.” (Yohanes 20:2) Petrus dan Yohanes pun lari ke makam itu. Yohanes berlari lebih cepat dan sampai dahulu di makam. Dia menjenguk ke dalam dan melihat kain linen di situ, tetapi dia tidak masuk ke dalam makam.

Apabila Petrus sampai di situ, dia terus masuk ke dalam makam. Dia nampak kain linen dan kain yang digunakan untuk membalut kepala Yesus. Kemudian Yohanes juga masuk, dan melihat semuanya lalu mempercayai kata-kata Maria. Meskipun Yesus pernah berkata bahawa dia mesti dibangkitkan, mereka berdua masih belum memahaminya. (Matius 16:21) Jadi mereka pulang dengan gelisah. Maria pula kembali ke makam itu.

Sementara itu, wanita-wanita lain berlari untuk memberitahukan hal itu kepada murid-murid Yesus. Semasa dalam perjalanan, Yesus berjumpa dengan mereka dan berkata, “Salam sejahtera!” Mereka “sujud di depan kakinya.” Yesus berkata, “Janganlah takut! Pergilah dan beritahukanlah hal ini kepada saudara-saudaraku. Suruhlah mereka pergi ke Galilea dan di sana mereka akan melihat aku.”​—Matius 28:9, 10.

Sebelum itu, apabila gempa bumi berlaku dan para malaikat muncul, askar-askar di makam “begitu takut dan gementar sehingga menjadi seperti orang mati.” Kemudian mereka masuk ke dalam kota untuk “melaporkan segala yang berlaku kepada ketua-ketua imam.” Setelah para imam berbincang dengan pemimpin orang Yahudi, mereka memberikan rasuah kepada askar-askar itu lalu menyuruh mereka berbohong dengan berkata, “Semasa kami tidur pada waktu malam, murid-muridnya datang dan mencuri mayatnya.”​—Matius 28:4, 11, 13.

Askar-askar Roma akan dihukum mati jika mereka tertidur semasa menjalankan tugas. Maka para imam itu berkata, “Janganlah bimbang jika gabenor mendengar hal ini. Kami akan menjelaskan hal itu kepadanya.” (Matius 28:14) Maka askar-askar tersebut mengambil wang itu dan berbuat seperti yang disuruh. Dengan demikian, cerita palsu tentang mayat Yesus dicuri oleh murid-muridnya tersebar luas dalam kalangan orang Yahudi.

Maria masih menangis di luar makam. Dia menjenguk ke dalam makam dan melihat dua malaikat yang berpakaian putih duduk di tempat mayat Yesus diletakkan sebelum ini, satu di sebelah kepala dan satu di sebelah kaki. Malaikat-malaikat itu bertanya, “Hai wanita, mengapakah kamu menangis?” Dia menjawab, “Mayat Tuanku sudah diambil, dan aku tidak mengetahui tempat dia diletakkan.” Kemudian dia berpaling dan nampak seorang lelaki berdiri di situ. Lelaki itu berkata, “Hai wanita, mengapakah kamu menangis? Siapakah yang kamu cari?” Maria menyangka lelaki itu ialah tukang kebun, maka dia berkata, “Tuan, jika tuan sudah mengambil mayatnya, beritahulah aku tempat mayatnya diletakkan, supaya aku boleh mengambilnya.”​—Yohanes 20:13-15.

Apabila lelaki itu memanggilnya, “Maria!” barulah dia tahu bahawa lelaki itu ialah Yesus, kerana dia mengenal cara Yesus bercakap kepadanya. Dengan gembira, dia segera menjawab, “Rabboni!” (yang bererti, “Guru!”) dan memegang Yesus kerana dia takut Yesus akan meninggalkannya dan naik ke syurga. Yesus berkata, “Jangan berpaut padaku, kerana aku belum lagi pergi kepada Bapa. Pergilah kepada saudara-saudaraku dan beritahulah mereka, ‘Aku akan pergi kepada Bapaku yang juga Bapa kamu, kepada Tuhanku yang juga Tuhan kamu.’”​—Yohanes 20:16, 17.

Maria berlari kepada para rasul dan murid-murid Yesus yang lain. Dia memberitahu mereka, “Aku sudah melihat Tuan!” dan menyampaikan kata-kata Yesus kepada mereka. (Yohanes 20:18) Tetapi mereka enggan mempercayai kata-kata Maria dan wanita-wanita lain kerana mereka berasa bahawa para wanita itu sedang “menceritakan hal yang bukan-bukan.”​—Lukas 24:11.