Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 136

Di Tepi Tasik Galilea

Di Tepi Tasik Galilea

YOHANES 21:1-25

  • YESUS MUNCUL DI TEPI TASIK GALILEA

  • PETRUS DAN RASUL LAIN DISURUH MEMELIHARA KAWANAN TUHAN

Sebelum Yesus mati, dia memberitahu para rasul, “Selepas aku dibangkitkan, aku akan mendahului kamu untuk pergi ke Galilea.” (Matius 26:32; 28:7, 10) Jadi sekarang banyak pengikutnya pergi ke Galilea, tetapi apakah yang akan dilakukan oleh mereka di situ?

Petrus memberitahu enam orang rasul, “Aku akan pergi menangkap ikan.” Mereka berkata, “Kami akan ikut kamu.” (Yohanes 21:3) Tetapi sepanjang malam itu, mereka tidak dapat menangkap apa-apa. Semasa hari hampir pagi, seorang lelaki muncul di tepi tasik dan berkata, “Hai anak-anak, adakah kamu mempunyai apa-apa untuk dimakan?” Mereka menjawab, “Tidak ada.” Maka dia berkata, “Tebarkanlah jala ke sebelah kanan perahu, dan kamu akan mendapat ikan.” (Yohanes 21:5, 6) Mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga mereka tidak terdaya menarik jala itu kembali.

Yohanes berkata kepada Petrus, “Dia Tuan Yesus!” (Yohanes 21:7) Jadi Petrus segera memakai jubah luarnya lalu berenang ke darat. Tetapi rasul yang lain datang dengan perahu kecil sambil menyeret jala yang penuh dengan ikan.

Apabila mereka tiba di darat, mereka nampak “ada roti di situ dan ada ikan yang sedang dibakar.” Yesus berkata, “Bawalah beberapa ekor ikan yang baru kamu tangkap.” Petrus menyeret sebuah jala ke darat. Yesus berkata, “Marilah bersarapan.” Tidak seorang pun daripada mereka yang berani bertanya, “Siapakah kamu?” kerana mereka tahu bahawa dia ialah Yesus. (Yohanes 21:10-12) Inilah kali ketiga Yesus menampakkan diri kepada sekumpulan rasulnya.

Yesus memberikan roti dan ikan kepada mereka. Kemudian dia mungkin memandang ke arah ikan-ikan yang ditangkap itu dan berkata, ‘Simon, adakah kamu mengasihi aku lebih daripada semua ini?’ Dalam erti kata lain, adakah Petrus lebih suka menginjil daripada menangkap ikan? Petrus menjawab, “Ya Tuan. Tuan tahu bahawa aku mengasihi Tuan.” Maka Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah anak bebiriku.”​—Yohanes 21:15.

Untuk kali kedua, Yesus bertanya, ‘Simon, adakah kamu mengasihi aku?’ Petrus mungkin hairan, jadi dia berkata dengan lebih bersemangat, “Ya Tuan. Tuan tahu bahawa aku mengasihi Tuan.” Yesus pun berkata, “Hendaklah kamu menggembala anak bebiriku.”​—Yohanes 21:16.

Hal yang sama berlaku buat kali ketiga. (Yohanes 21:17) Sesungguhnya, Yesus sedang menegaskan bahawa mereka yang mengambil pimpinan harus menjaga kawanan bebiri Tuhan.

Yesus ditangkap dan dibunuh kerana dia melakukan kehendak Tuhan. Sekarang dia memberitahu Petrus bahawa Petrus juga akan menerima layanan yang sama. Dia berkata, “Semasa kamu lebih muda, kamu mengenakan pakaianmu sendiri dan berjalan ke mana sahaja kamu mahu. Tetapi apabila kamu menjadi tua, kamu akan menghulurkan tangan dan orang lain akan mengenakan pakaian untukmu dan membawa kamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.” Tetapi dia menggalakkan Petrus, “Teruslah mengikut aku.”​—Yohanes 21:18, 19.

Petrus ingin mengetahui apa yang bakal berlaku kepada Yohanes, maka dia bertanya, “Tuan, bagaimana pula dengan orang ini?” Yesus menjawab, “Jika aku mahu dia hidup sehingga aku datang, apa kena-mengenanya dengan kamu?” (Yohanes 21:21-23) Petrus sepatutnya tidak bimbang tentang apa yang dilakukan oleh orang lain. Namun Yesus menyatakan bahawa Yohanes akan hidup lebih lama daripada semua rasul yang lain dan dia akan diberi penglihatan tentang kedatangan Yesus sebagai Raja Kerajaan Tuhan.

Ada banyak lagi perkara yang dilakukan oleh Yesus. Tetapi jika semuanya ditulis dengan terperinci, seluruh dunia pun tidak cukup untuk memuatkan gulungan-gulungan yang ditulis itu.