Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 139

Yesus Menjadikan Bumi Sebuah Firdaus

Yesus Menjadikan Bumi Sebuah Firdaus

1 KORINTUS 15:24-28

  • KESUDAHAN BEBIRI DAN KAMBING

  • RAMAI AKAN HIDUP DI FIRDAUS DI BUMI

  • YESUS IALAH JALAN, KEBENARAN, DAN KEHIDUPAN

Selepas Yesus dibaptis, Si Iblis mengujinya berkali-kali dan mencuba menghalangnya daripada melaksanakan tugasnya di bumi. Tetapi berkenaan musuhnya itu, Yesus berkata, “Pemerintah dunia ini akan datang. Tetapi dia tidak berkuasa atas diriku.”​—Yohanes 14:30.

Dalam sebuah penglihatan, Yohanes nampak apa yang akan berlaku kepada “naga itu,” iaitu “ular tua yang dipanggil Iblis dan Syaitan.” Dia akan dibuang ke bumi dengan “kemarahan yang besar, kerana dia tahu bahawa masanya tinggal sedikit.” (Wahyu 12:9, 12) Orang Kristian percaya bahawa mereka sedang hidup pada ‘masa yang tinggal sedikit’ itu dan tidak lama lagi, “naga itu” akan diikat dan dibuang ke dalam jurang yang dalam selama 1,000 tahun sementara Yesus memerintah dalam Kerajaan Tuhan.​—Wahyu 20:1, 2.

Pada masa itu, apakah yang akan berlaku di bumi? Siapakah yang tinggal di bumi? Bagaimanakah keadaannya? Yesus memberi kita jawapannya. Dalam perumpamaannya tentang bebiri dan kambing, dia menunjukkan apa yang akan berlaku kepada orang yang bersifat bebiri, iaitu mereka yang bekerjasama dengan saudara-saudaranya. Dia juga menjelaskan apa yang akan berlaku kepada orang yang bersifat kambing, iaitu mereka yang menentangnya. Dia berkata, “Orang sebegini [yang bersifat kambing] akan mati selama-lamanya, tetapi orang yang melakukan apa yang benar [yang bersifat bebiri] akan hidup selama-lamanya.”​—Matius 25:46.

Hal ini membantu kita memahami kata-kata Yesus kepada perompak yang digantung di sebelahnya. Dia tidak memberi perompak itu harapan untuk memasuki Kerajaan di syurga, seperti yang dijanjikannya kepada para rasul yang setia. Sebaliknya dia memberitahu perompak yang bertaubat itu, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini: Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.” (Lukas 23:43) Maka lelaki itu akan hidup di Firdaus, iaitu sebuah taman yang cantik. Orang yang bersifat bebiri juga akan “hidup selama-lamanya” di Firdaus.

Hal ini selaras dengan gambaran Yohanes tentang keadaan bumi. Dia berkata, “Khemah Tuhan ada bersama manusia, dan Dia akan tinggal bersama mereka dan mereka akan menjadi umat-Nya. Tuhan sendiri akan menyertai mereka. Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.”—Wahyu 21:3, 4.

Agar dapat menikmati hidup di Firdaus, perompak itu haruslah dibangkitkan daripada kematian. Tetapi bukan dia sahaja yang akan dibangkitkan kerana Yesus berkata, “Masanya akan tiba apabila semua orang di dalam makam peringatan akan mendengar suaranya lalu keluar. Orang yang melakukan hal-hal yang baik akan meraih kehidupan kekal, tetapi orang yang melakukan hal-hal yang jahat akan dijatuhi hukuman.”​—Yohanes 5:28, 29.

Tetapi bagaimana pula dengan para rasul yang setia dan orang yang akan bersama Yesus di syurga? Bible menyatakan, “Mereka akan menjadi imam-imam Tuhan dan Kristus, dan mereka akan memerintah sebagai raja bersama Kristus selama 1,000 tahun itu.” (Wahyu 20:6) Lelaki dan wanita yang memerintah bersama Kristus pasti akan menjadi raja yang pengasih dan bertimbang rasa kerana mereka berasal dari bumi dan dapat memahami masalah yang dialami oleh umat manusia.​—Wahyu 5:10.

Menerusi korban tebusannya, Yesus akan membebaskan manusia di bumi daripada dosa dan kematian. Dia dan raja-raja yang memerintah bersamanya akan membantu umat manusia menjadi sempurna. Ya, tujuan asal Tuhan untuk memenuhi bumi dengan manusia yang sempurna akan menjadi kenyataan. Pada waktu itu, kematian akan tiada lagi!

Dengan demikian, Yesus akan menyempurnakan tugas yang diamanahkan oleh Yehuwa kepadanya. Pada akhir Pemerintahan Seribu Tahun, dia akan menyerahkan Kerajaan Tuhan dan umat manusia yang sempurna kepada Bapanya. Berkenaan hal ini, Paulus menulis, “Setelah segala sesuatu ditundukkan kepadanya, Anak sendiri akan tunduk kepada Tuhan yang menjadikan segala sesuatu tunduk kepadanya. Dengan ini, Tuhan akan menjadi satu-satunya Pemerintah atas semuanya.”​—1 Korintus 15:28.

Jelaslah bahawa Yesus memainkan peranan penting dalam pelaksanaan kehendak Tuhan. Seraya kehendak Tuhan dilaksanakan pada masa depan, Yesus akan terus membuktikan bahawa dia ialah ‘jalan, kebenaran, dan kehidupan.’​—Yohanes 14:6.