Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 70

Yesus Menyembuhkan Seorang Lelaki yang Dilahirkan Buta

Yesus Menyembuhkan Seorang Lelaki yang Dilahirkan Buta

YOHANES 9:1-18

  • PENGEMIS YANG DILAHIRKAN BUTA DISEMBUHKAN

Pada hari Sabat, Yesus dan murid-muridnya berjalan di kota, lalu mereka nampak seorang pengemis yang buta sejak lahir. Mereka bertanya kepada Yesus, “Rabbi, siapakah yang berdosa sehingga lelaki ini dilahirkan buta? Dia atau ibu bapanya?”​—Yohanes 9:2.

Mereka mungkin tertanya-tanya sama ada seseorang boleh berdosa semasa di dalam rahim ibunya. Yesus menjawab, “Lelaki ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya. Hal ini berlaku supaya perbuatan Tuhan dapat disingkapkan.” (Yohanes 9:3) Ya, lelaki ini buta kerana dosa Adam, bukan kerana dia atau ibu bapanya berdosa. Semua manusia tidak sempurna dan mungkin akan dilahirkan cacat. Tetapi kecacatan lelaki ini memberi peluang kepada Yesus untuk menyingkapkan perbuatan Tuhan. Yesus akan menyembuhkan lelaki yang buta ini, sepertimana dia telah menyembuhkan orang lain yang menghidapi pelbagai jenis penyakit.

Yesus menekankan bahawa murid-muridnya harus melakukan kerja yang diberikan oleh Tuhan tanpa berlengah-lengah. Dia berkata, “Semasa hari masih siang, kita harus melakukan kerja yang diberikan oleh Dia yang mengutus aku. Apabila malam tiba, tiada seorang pun dapat bekerja. Selagi aku masih di dunia ini, akulah cahaya dunia.” (Yohanes 9:4, 5) Ya, Yesus membawa cahaya rohani ke dunia. Tetapi tidak lama lagi, dia akan mati. Pada waktu itu, malam akan tiba, dan dia tidak dapat melakukan apa-apa.

Kemudian Yesus menyembuhkan lelaki itu. Dia meludah ke tanah, mencampurkan tanah dengan ludahnya, lalu menyapukan campuran itu pada mata lelaki tersebut dan berkata, “Pergilah basuh mata kamu di Kolam Siloam.” (Yohanes 9:7) Lelaki itu pun pergi membasuh matanya, dan penglihatannya pulih. Dia pasti sangat gembira kerana dia dapat melihat!

Jiran-jirannya dan orang yang tahu bahawa dia buta amat kagum. Mereka bertanya, “Bukankah dia lelaki yang selalu duduk meminta sedekah?” Ada orang yang berkata, “Ya, dialah orangnya.” Ada pula berkata, “Bukan. Orang ini hanya mirip dengan dia.” Tetapi lelaki itu menjawab, “Akulah orang itu.”​—Yohanes 9:8, 9.

Mereka pun bertanya kepadanya, “Bagaimanakah kamu dapat melihat?” Dia menjawab, “Seorang lelaki yang bernama Yesus menyediakan sesuatu lalu menyapukannya pada mataku. Selepas itu, dia berkata kepada aku, ‘Pergilah basuh mata kamu di Kolam Siloam,’ maka aku pun pergi. Selepas membasuh mata, aku dapat melihat.” Mereka bertanya, “Di manakah lelaki itu?” Dia menjawab, “Aku tidak tahu.”​—Yohanes 9:10-12.

Orang ramai membawa lelaki itu kepada orang Farisi, yang ingin tahu bagaimana dia dapat melihat. Dia berkata kepada mereka, “Dia menyapukan sesuatu pada mataku lalu aku membasuh mata dan dapat melihat.” Orang Farisi patut bergembira atas apa yang terjadi, tetapi ada antara mereka yang mengutuk Yesus dan berkata, “Dia tidak berasal daripada Tuhan kerana dia tidak mematuhi hukum Sabat.” Yang lain pula berkata, “Bagaimanakah seorang pendosa dapat melakukan mukjizat-mukjizat seperti ini?” (Yohanes 9:15, 16) Maka timbullah perpecahan antara mereka.

Mereka pun bertanya kepada lelaki itu, “Memandangkan dia telah menyembuhkan mata kamu, apakah pendapat kamu tentangnya?” Lelaki itu menjawab dengan penuh yakin, “Dia seorang nabi.”​—Yohanes 9:17.

Orang Yahudi tidak mempercayai lelaki itu. Mereka berfikir bahawa Yesus berpakat dengan lelaki itu untuk menipu mereka. Maka mereka memanggil ibu bapa lelaki itu untuk memastikan bahawa dia betul-betul dilahirkan buta.