BAB 16

Pilihlah Cara yang Betul untuk Menyembah Tuhan

Pilihlah Cara yang Betul untuk Menyembah Tuhan

1, 2. Apakah soalan yang perlu anda tanya diri? Mengapakah soalan itu penting?

SETELAH mengkaji Bible, anda belajar bahawa ramai orang berkata mereka menyembah Tuhan, tetapi mereka sebenarnya mengajarkan atau melakukan hal yang dibenci-Nya. (2 Korintus 6:17) Itulah sebabnya Yehuwa menyuruh kita untuk keluar daripada “Babilon Besar,” iaitu agama palsu. (Wahyu 18:2, 4) Apakah pilihan anda? Tanyalah diri, “Adakah saya akan menyembah Tuhan mengikut cara yang diingini-Nya? Atau adakah saya akan menyembah Tuhan mengikut cara saya selama ini?”

2 Jika anda sudah keluar daripada agama palsu, anda harus dipuji. Namun, anda mungkin masih suka sesetengah amalan atau perayaan agama palsu. Mari kita bincangkan beberapa amalan dan perayaan itu dan melihat mengapa pandangan Yehuwa begitu penting.

MENYEMBAH PATUNG, LAMBANG, DAN NENEK MOYANG

3. (a) Mengapakah sesetengah orang mungkin berasa susah untuk berhenti menggunakan patung atau lambang? (b) Apakah yang dikatakan Bible tentang penggunaan patung berhala?

3 Sesetengah orang telah menggunakan patung, lambang, atau tempat sembahyang di rumah untuk menyembah Tuhan selama bertahun-tahun. Mereka mungkin tidak biasa atau berasa bersalah untuk menyembah Tuhan tanpa semua itu. Jika itulah perasaan anda, ingatlah bahawa Yehuwa sudah mengajar kita cara untuk menyembah-Nya. Bible menyatakan dengan jelas bahawa Yehuwa tidak mahu kita menggunakan patung untuk menyembah-Nya.​—Baca Keluaran 20:4, 5; Mazmur 115:4-8; Yesaya 42:8; 1 Yohanes 5:21.

4. (a) Mengapakah kita tidak patut menyembah nenek moyang? (b) Mengapakah Yehuwa melarang orang Israel menghubungi orang mati?

4 Sesetengah orang menghabiskan banyak masa, tenaga, dan wang, untuk menenangkan atau memuja nenek moyang mereka. Tetapi kita sudah belajar bahawa orang mati tidak dapat menolong atau mencederakan kita. Mereka juga tidak tinggal di tempat lain. Sebenarnya menghubungi orang mati sangat bahaya, kerana apa sahaja yang nampaknya dikatakan oleh mereka berasal daripada roh jahat. Itulah sebabnya Yehuwa melarang orang Israel menghubungi orang mati atau roh jahat.​—Ulangan 18:10-12; lihat Penjelasan 26 dan 31.

5. Apakah yang dapat membantu anda berhenti menggunakan berhala untuk menyembah Tuhan atau berhenti menyembah nenek moyang?

5 Apakah yang dapat membantu anda berhenti menggunakan berhala untuk menyembah Tuhan atau berhenti menyembah nenek moyang? Bacalah Bible dan fikirlah pandangan Yehuwa secara mendalam. Semua perbuatan itu “sangat dibenci” oleh-Nya. (Ulangan 27:15) Berdoalah kepada Yehuwa setiap hari supaya Dia membantu anda memiliki pandangan-Nya dan menyembah-Nya dengan cara yang diingini-Nya. (Yesaya 55:9) Yehuwa pasti memberi anda kekuatan untuk membuang semua perkara yang berkaitan dengan ibadat palsu.

PATUTKAH KITA MENYAMBUT KRISMAS?

6. Mengapakah 25 Disember dipilih sebagai hari jadi Yesus?

6 Krismas ialah satu perayaan yang sangat popular, dan ramai orang berfikir bahawa Krismas adalah untuk menyambut hari jadi Yesus. Tetapi Krismas sebenarnya berkaitan dengan agama palsu. Menurut sebuah buku rujukan, orang Roma yang beragama kafir menyambut hari jadi matahari pada 25 Disember. Untuk menarik orang kafir menjadi orang Kristian, para pemimpin gereja memutuskan untuk menyambut hari jadi Yesus pada 25 Disember, walaupun itu bukanlah tarikh kelahiran Yesus. (Lukas 2:8-12) Murid-murid Yesus tidak menyambut Krismas. Sebuah buku menjelaskan bahawa sepanjang 200 tahun selepas kelahiran Yesus, “tiada orang tahu atau peduli tentang tarikh lahirnya.” (Sacred Origins of Profound Things) Krismas mula disambut beratus-ratus tahun selepas kematian Yesus.

7. Mengapakah orang Kristian sejati tidak menyambut Krismas?

7 Ramai orang tahu bahawa Krismas dan kegiatan yang berkaitan dengan Krismas, seperti mengadakan jamuan dan memberikan hadiah, berasal daripada agama kafir. Contohnya, di England dan di beberapa kawasan di Amerika Utara, sambutan Krismas pernah diharamkan kerana berkaitan dengan agama kafir. Sesiapa yang menyambut Krismas telah dihukum. Tetapi Krismas mula disambut lagi pada kemudian hari. Mengapakah orang Kristian sejati tidak menyambut Krismas? Kerana mereka ingin sentiasa menggembirakan Tuhan.

PATUTKAH KITA MENYAMBUT HARI JADI?

8, 9. Mengapakah orang Kristian dahulu tidak menyambut hari jadi?

8 Ramai orang suka menyambut hari jadi. Bagaimana pula dengan orang Kristian? Semua hari jadi yang disebut dalam Bible disambut oleh orang yang tidak menyembah Yehuwa. (Kejadian 40:20; Markus 6:21) Dahulu, hari jadi disambut untuk menghormati tuhan palsu. Itulah sebabnya orang Kristian dahulu “menganggap sambutan hari jadi sebagai amalan kafir.”​—The World Book Encyclopedia.

9 Orang Roma dan Yunani kuno yang beragama kafir percaya bahawa setiap orang dilahirkan pada hari jadi tuhan tertentu. Mereka percaya bahawa seseorang harus menyambut hari jadi agar dilindungi oleh tuhannya seumur hidup.

10. Mengapakah orang Kristian hari ini tidak patut menyambut hari jadi?

10 Adakah Yehuwa akan menerima perayaan yang berkaitan dengan agama palsu? (Yesaya 65:11, 12) Tidak. Maka, kita tidak akan menyambut hari jadi atau apa-apa perayaan yang berkaitan dengan agama palsu.

MENGAPA BEGITU PENTING

11. Mengapakah sesetengah orang menyambut perayaan? Apakah sepatutnya hal yang terpenting bagi anda?

11 Sesetengah orang tahu bahawa Krismas dan perayaan lain berkaitan dengan agama kafir, tetapi mereka masih menyambutnya. Bagi mereka, perayaan sebegitu hanyalah masa untuk bergembira bersama keluarga. Adakah anda juga berasa begitu? Tiada salahnya meluangkan masa bersama keluarga. Yehuwa menciptakan keluarga, dan Dia mahu kita rapat dengan ahli keluarga sendiri. (Efesus 3:14, 15) Namun, menjaga hubungan yang baik dengan Yehuwa lebih penting daripada menyambut perayaan agama palsu untuk menjaga hati saudara-mara. Rasul Paulus berkata, “Teruslah mengenal pasti perkara-perkara yang diperkenankan Tuan kita.”​—Efesus 5:10.

12. Perayaan apakah yang tidak diterima oleh Yehuwa?

12 Ramai orang berasa bahawa asal usul perayaan tidak penting, tetapi itu bukan pandangan Yehuwa. Dia tidak menerima perayaan yang berkaitan dengan agama palsu, yang meninggikan manusia, atau yang bersifat cinta akan negara. Pada zaman dahulu, orang Mesir menyambut banyak perayaan untuk tuhan palsu. Selepas orang Israel keluar dari Mesir, mereka meniru perayaan orang Mesir dan memanggilnya “perayaan untuk Yehuwa.” Tetapi mereka telah dihukum oleh Yehuwa. (Keluaran 32:2-10) Seperti yang dikatakan Nabi Yesaya, kita tidak patut “sentuh apa-apa yang najis!”​—Baca Yesaya 52:11.

BERSIKAP SOPAN TERHADAP ORANG LAIN

13. Semasa anda memilih untuk berhenti menyambut perayaan, apakah soalan yang mungkin anda tanya?

13 Semasa anda memilih untuk berhenti menyambut perayaan, anda mungkin bertanya, “Bagaimana pula jika rakan kerja saya tanya kenapa saya tidak menyambut Krismas bersama mereka? Bagaimana jika orang memberi saya hadiah Krismas? Bagaimana jika pasangan hidup saya mahu saya menyambut perayaan? Bagaimana saya dapat membantu anak saya agar tidak berasa sedih kerana tidak dapat menyambut perayaan atau hari jadi?”

14, 15. Apakah yang dapat anda buat jika orang mengucapkan selamat sempena perayaan atau memberi anda hadiah?

14 Gunakanlah pertimbangan yang baik dalam setiap situasi. Contohnya, jika orang lain mengucapkan selamat sempena perayaan, anda boleh menjawab, “Terima kasih.” Tetapi jika mereka ingin tahu sebabnya anda tidak menyambut perayaan, cubalah menjelaskan sebabnya dengan hormat dan sopan. Bible kata, “Hendaklah kata-kata kamu sentiasa menyenangkan dan enak didengari, seperti makanan yang ditambahkan dengan garam. Dengan demikian, kamu akan tahu cara untuk menjawab setiap orang.” (Kolose 4:6) Mungkin anda dapat menjelaskan bahawa anda suka memberikan hadiah dan menikmati masa riang, tetapi anda tidak mahu melakukannya semasa waktu perayaan.

15 Bagaimana pula jika orang memberi anda hadiah? Bible tiada peraturan tentang hal ini, tetapi Bible menasihati kita agar memelihara hati nurani yang baik. (1 Timotius 1:18, 19) Orang yang memberi anda hadiah mungkin tidak tahu bahawa anda tidak menyambut perayaan, atau dia mungkin berkata, “Saya tahu kamu tidak menyambut perayaan ini, tetapi saya mahu memberikan hadiah ini kepadamu.” Anda boleh memutuskan sama ada untuk menerima atau menolak hadiah itu. Tidak kira apa keputusan anda, pastikan hati nurani anda tetap murni. Janganlah melakukan apa-apa yang akan merosakkan hubungan anda dengan Yehuwa.

ANDA DAN KELUARGA ANDA

Orang yang menyembah Yehuwa akan bahagia

16. Apakah yang harus dilakukan jika keluarga anda ingin menyambut perayaan?

16 Bagaimana pula jika keluarga anda ingin menyambut perayaan? Janganlah bergaduh dengan mereka. Ingatlah, mereka berhak membuat keputusan sendiri. Maka, hormatilah mereka sebagaimana anda mahu mereka menghormati anda. (Baca Matius 7:12.) Namun, jika keluarga anda mahu anda meluangkan masa bersama mereka pada waktu perayaan, apakah yang dapat dilakukan? Sebelum membuat keputusan, berdoalah untuk meminta bantuan Yehuwa. Fikirkan situasi yang anda hadapi, dan buatlah penyelidikan. Ingatlah, anda mahu sentiasa menyenangkan hati Yehuwa.

17. Bagaimanakah anda dapat membantu anak-anak anda supaya tidak berasa tersisih semasa melihat orang lain menyambut perayaan?

17 Apakah yang dapat anda lakukan supaya anak-anak anda tidak berasa tersisih semasa melihat orang lain menyambut perayaan? Dari masa ke masa, aturlah aktiviti yang istimewa untuk mereka. Berilah mereka hadiah sebagai kejutan. Salah satu hadiah yang terbaik untuk mereka ialah masa dan kasih sayang anda.

HIDUP MENGIKUT AGAMA YANG BENAR

18. Mengapakah kita patut menghadiri perjumpaan Kristian?

18 Untuk menggembirakan Yehuwa, kita perlu meninggalkan agama palsu dan apa-apa adat atau perayaan yang berkaitan dengannya. Kita juga perlu hidup mengikut agama yang benar. Bagaimana? Salah satu cara adalah dengan menghadiri perjumpaan Kristian. (Baca Ibrani 10:24, 25.) Perjumpaan sangat penting dalam ibadat yang benar. (Mazmur 22:22; 122:1) Semasa kita berkumpul, kita dapat menggalakkan satu sama lain.​—Roma 1:12.

19. Mengapakah anda perlu memberitahu orang lain kebenaran Bible yang sudah anda pelajari?

19 Satu lagi cara untuk mengikut agama yang benar adalah dengan memberitahu orang lain apa yang sudah anda belajar. Ramai orang susah hati kerana kejahatan yang berlaku di dunia. Jika anda mengenali sesiapa yang berasa begitu, beritahulah mereka tentang harapan masa depan yang cerah. Apabila anda mula menghadiri perjumpaan dan memberitahu orang lain tentang kebenaran Bible, keinginan anda untuk mengikut agama palsu dan adat yang salah akan hilang. Jika anda memilih untuk menyembah Yehuwa dengan cara yang betul, anda pasti akan bahagia, dan Yehuwa akan memberkati usaha anda.​—Maleakhi 3:10.