Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

SOALAN 6

Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Tekanan Rakan Sebaya?

Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Tekanan Rakan Sebaya?

MENGAPA PENTING

Jika anda berpendirian teguh, anda dapat mengawal kehidupan sendiri dan bukannya membiarkan diri dikawal oleh orang lain.

APAKAH YANG AKAN ANDA LAKUKAN?

Bayangkan situasi ini: Perut Brian seperti dipulas apabila dua rakan sekolahnya menghampirinya. Minggu ini, sudah dua kali mereka mengajaknya merokok. Hari ini ialah kali ketiga.

Budak yang pertama berkata,

“Sendiri lagi? Mari saya perkenalkan seorang kawan.”

Dia mengangkat-angkat keningnya semasa menyebut perkataan “kawan.” Kemudian, dia mengeluarkan sesuatu dari poketnya lalu menghulurkannya kepada Brian.

Jantung Brian berdegup kencang semasa melihat rokok yang dipegang rakannya.

Brian menjawab, “Saya sudah cakap saya tidak . . . ”

Budak kedua mencelah, “Kamu ini penakutkah?”

“Tidak!” kata Brian dengan berani.

Budak kedua meletakkan tangannya atas bahu Brian lalu berkata dengan lembut: “Ambillah.”

Budak pertama mendekatkan rokok itu ke muka Brian dan berbisik, “Tiada orang akan tahu. Ini antara kita saja.”

Jika anda ialah Brian, apakah yang akan anda lakukan?

FIKIRLAH SEJENAK!

Adakah rakan-rakan Brian sedar akan apa yang dilakukan oleh mereka? Adakah itu keputusan mereka sendiri? Barangkali tidak. Kemungkinan besar mereka terikut-ikut dengan pengaruh yang buruk. Oleh sebab ingin diterima orang, mereka membiarkan diri dikawal orang lain, seperti lembu dicucuk hidung.

Jika anda dalam situasi sebegini, bagaimanakah anda dapat melawan tekanan rakan sebaya dan melakukan apa yang betul?

  1. ELAKKAN BAHAYA

    Bible berkata, “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka.”​—Amsal 22:3.

    Biasanya anda dapat menjangkakan bahaya yang bakal berlaku. Contohnya, jika anda nampak sekumpulan pelajar yang sedang merokok, anda dapat menjangkakan masalah yang mungkin timbul dan bersedia menghadapinya.

  2. BERFIKIR

    Bible menyatakan, “Hendaklah hati nurani kamu sentiasa bersih.”​—1 Petrus 3:16.

    Tanyalah diri anda, “Jika saya terikut-ikut dengan mereka, adakah saya akan menyesal pada kemudian hari?” Jika anda tidak menolak tekanan, anda mungkin terlepas daripada ejekan rakan sebaya. Namun, adakah anda akan menyesali tindakan anda kelak? Sanggupkah anda menggadaikan identiti anda semata-mata untuk mengambil hati rakan sekolah anda?​—Keluaran 23:2.

  3. BUAT KEPUTUSAN

    Nasihat Bible: “Orang bijak berhati-hati.”​—Amsal 14:16.

    Kita tidak dapat mengelak daripada membuat pilihan dan menghadapi baik buruk keputusan kita. Bible mencatatkan kisah Yusuf, Ayub, dan Yesus yang membuat pilihan yang betul, serta Kain, Esau, dan Yudas yang membuat pilihan yang salah. Apakah pilihan anda?

Bible berkata, “Berpautlah pada apa yang baik.” (Roma 12:9) Jika anda telah memikirkan akibatnya dan membuat keputusan, anda patut berpaut pada pilihan anda. Dengan itu, anda dapat menyatakan pendirian anda dengan mudah dan meraih manfaatnya.

Jangan risau. Anda tidak perlu memberikan penjelasan yang panjang lebar. Anda hanya perlu berkata TIDAK dengan tegas. Untuk menunjukkan bahawa anda tidak akan menyerah kepada tekanan, anda boleh berkata,

  • “Saya tidak mahu!”

  • “Saya tidak buat perkara begitu!”

  • “Kamu tahu saya bukan orang macam itu!”

Yang penting, anda harus menjawab dengan cepat dan yakin. Dengan demikian, tekanan daripada rakan sebaya juga akan berhenti dengan cepat.

MENGHADAPI EJEKAN

Jika anda tunduk kepada tekanan rakan sebaya, anda akan menjadi seperti robot yang dikawal mereka

Jika anda diperli, apakah yang dapat anda lakukan? Ingatlah, kata-kata seperti “Kamu ini pengecutlah!” ialah tekanan daripada rakan sebaya. Dalam keadaan sebegini, anda ada sekurang-kurangnya dua pilihan.

  • Bersetuju dengannya. (“Ya, memang saya takut!” Kemudian jelaskan sebabnya dengan ringkas.)

  • Nyatakan sebab anda menolak. Kemudian katakan sesuatu untuk membantu rakan anda berfikir tentang perbuatannya. (“Kamu kan orang yang pandai, jadi kenapa kamu merokok?”)

Jika anda terus diejek, beredarlah dari situ. Semakin lama anda di situ, semakin kuat tekanan yang anda hadapi. Jika anda beredar, anda menunjukkan bahawa anda tidak membiarkan orang lain mengubah pendirian anda.

Anda tidak dapat lari daripada tekanan rakan sebaya. Tetapi anda boleh membuat keputusan, menyatakan pendirian anda, dan tidak membiarkan orang lain mengawal anda. Ingatlah, pilihan ada di tangan anda!​—Yosua 24:15.