Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 5

Bahtera Nuh

Bahtera Nuh

Tidak lama kemudian, bilangan manusia di bumi semakin bertambah. Namun, kebanyakan daripada mereka bersikap jahat. Selain itu, sesetengah malaikat meninggalkan syurga lalu turun ke bumi. Mengapakah mereka berbuat demikian? Mereka ingin menjadi seperti manusia dan berkahwin dengan wanita di bumi.

Isteri malaikat-malaikat itu melahirkan anak-anak lelaki. Apabila mereka membesar, mereka menjadi sangat kuat dan suka membuli orang. Namun, Yehuwa tidak ingin membiarkan hal ini terus berlaku. Jadi, Tuhan membuat keputusan untuk mendatangkan banjir dan memusnahkan orang jahat.

Pada masa itu, terdapat seorang lelaki yang mengasihi Yehuwa. Namanya ialah Nuh. Dia mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak lelaki yang bernama Sem, Ham, dan Yafet. Mereka masing-masing mempunyai seorang isteri. Yehuwa menyuruh Nuh untuk membina sebuah bahtera agar Nuh sekeluarga dapat selamat daripada banjir itu. Bahtera itu bagaikan kotak yang besar, yang dapat terapung di atas air. Yehuwa juga memberitahu Nuh untuk membawa binatang-binatang ke dalam bahtera.

Tanpa membuang masa, Nuh sekeluarga mula membina bahtera itu. Kira-kira 50 tahun kemudian, bahtera itu telah disiapkan. Mereka mengikut setiap arahan Yehuwa semasa membina bahtera itu. Pada masa yang sama, Nuh juga memberitahu orang lain bahawa banjir akan datang. Tetapi, tiada seorang pun yang mengambil peduli tentang amaran itu.

Sekarang, tibalah masanya bagi Nuh dan keluarganya untuk masuk ke dalam bahtera. Mari kita lihat apa yang berlaku seterusnya.

“Sebagaimana keadaannya pada zaman Nuh, begitulah keadaannya semasa kehadiran Anak Manusia.”​—Matius 24:37